Sudah lama saya tidak kehilangan ilham untuk menulis blog. Hari ini, saya terasa terlalu lapang dalam kepala. entah apa yang saya mahu kongsikan. Sekiranya saya kehilangan ilham untuk menulis dalam peperiksaan, bagaimana jadinya ya? Nasib baik karangan dalam peperiksaan ada arahan dan tajuknya. Kita dikehendaki menuruti kehendak soalan sahaja dan markah sudah tentu akan kita dapat. Selain itu, bahasa juga harus mudah difahami disamping tulisan yang cantik, kemas dan bukan seperti cakar ayam. Menulis blog pula tidak mempunyai tajuk yang khusus. Bergantung kepada kita sendiri. Apa yang kita mahu tulis boleh sahaja ditamparkan di dinding laman blog kita asalkan tidak melangar peraturan. Sekiranya bertajuk, maknanya ialah berperaturan. Sekiranya tidak bertajuk atau berarahan, maka tiadalah peraturan yang khusus.
Memandangkan SPM semakin hampir, saya terasa semakin sibuk. Kerja sudah tentu bertambah banyak dan kelas tambahan juga akan kerap diadakan atas tujuan memantapkan ilmu untuk menentang SPM nanti. Apa yang saya risau bukan ilmu pengetahuan atau kesibukan tetapi pengurusan emosi. Sesungguhnya, pengurusan emosi yang kurang baik akan menjejaskan prestasi kerana saya pernah mengalami kejatuhan akibat daripada emosi yang kurang stabil. Sehebat mana kita sekali pun kita akan tewas. Ini adalah kesan daripada emosi yang tidak tenang. Sebagai contoh, rakan saya yang selalu menang bermain catur dengan saya kalah semasa dalam pertandingan peringkat zon Keramat kerana dia gagal menguruskan emosinya. (Saya tidak menipu!)
Terdapat banyak cara untuk menguruskan emosi. Tetapi bukan semua cara boleh digunakan dengan berkesan. Hal ini kerana perwatakan setiap orang berbeza-beza dan cara menguruskan tekanan juga mengikut kesesuaian. Mungkin cara Kekasih alam menguruskan tekanan adalah dengan cara menulis blog (Coretan iklas untuk semua) manakala cara saya menguruskan tekanan adalah dengan mendengar muzik pancar ragam dan muzik instrumantal.
Sekiranya kita kehilangan punca untuk menguruskan emosi, bagaimana cara untuk kita kembali tenang? Sesungguhnya, persoalan ini terlalu sukar untuk saya jawab kerana saya bukan seorang pengurus emosi yang baik. Tetapi, kita boleh berjumpa dengan orang yang kita selesa untuk menceritakan segala isi yang ingin kita kongsikan sebagai langkah untuk mengurangkan kesan negatif emosi kita. Kalau tiada rakan atau orang yang boleh kita ceritakan, sukarlah sedikit. Walau bagaimana pun, kita masih boleh memilih untuk melakukan kerja yang kita suka seperti hobi dan perkara yang kita suka tetapi bukan ke arah kejahatan. Kalau kita tiada perkara yang digemari atau hobi, atau mungkin dihalang daripada melakukan hobi, susahlah sedikit.
Cara yang paling baik untuk menguruskan emosi adalah mengunakan pendekatan agama seperti melakukan ibadah, bersembahyang atau apa-apa perbuatan yang serupa. Kalau agama pun kurang kita pegang atau percaya, susahlah sedikit. Oh ya, saya tidak tahu tajuk apa yang saya harus berikan kepada tulisan buat kali ini. Kalau ada cadangan bolehlah cadangan kepada saya.
(Sekadar untuk menulis sahaja)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan