21 Mac, 2012

Iklas dariku

Selamat sejahtera kepada para pembaca. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Hanson Ang Ping Ting (Streight As), Saudara Kekasih Alam (8 As), Saudara Mat Santun/Santai (7 As) dan Saudara-saudara lain yang mendapat keputusan As dalam peperiksaan SPM tahun 2011. Tahniah ini juga saya ingin hadiahkan kepada pihak guru-guru yang berusaha memasukkan input-input berguna sehingga menghasilkan output yang cemerlang buat Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak mahupun diri pelajar itu sendiri. Sesungguhnya, keputusan inilah bukti kebolehan guru-gurunya.

Sebenarnya, tulisan ini bertemakan kesyukuran dan rasa terima kasih saya kepada semua insan yang berjasa untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang khususnya di bekas sekolah menengah saya. Kepada para guru yang berjasa tidak kira sedang atau tidak melawat Blog Meja Logam, di sini saya ingin ucapkan setinggi-tinggi terima kasih yang mampu saya ucapkan. Maafkan saya kerana terima kasih sahaja yang saya mampu hadiahkan setakat ini untuk para guru yang saya hormati. Saya berharap para guru akan terus berusaha dengan gigih untuk menghasilkan output yang ajaib seperti ini pada masa hadapan yang masih belum diketahui. Seperti tulisan saya di atas, kecemerlangan seseorang pelajar adalah bukti kepada kebolehan dan kehebatan guru-gurunya. Sejujurnya, saya seorang pelajar yang malas jika tiada daya penolak daripada pihak guru. Bagai pahat dengan penukul! Secara individunya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih (maaf sebab tiada perkataan lain) kepada para guru, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Tuhan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada ibu bapa saya juga. Sejujur-jujurnya, sebahagian besar keputusan SPM saya adalah milik kalian semua. Semoga saya tidak akan berhenti setakat ini. Doa-doakan ya!
(Iklas dari Penulis MejaLogam Blogspot)

Kerajinan bertopeng?

Ada kerajinan bertopengkan kemalasan. Tak percaya? Bacalah coretan di bawah!

Selamat sejahtera kepada para pembaca. Terlebih dahulu, saya ingin memohon seribu keampunan kerana sudah agak lama tidak memuatkan tulisan dalam laman maya ini. Walau bagaimanapun, saya berasa sangat seronok kerana saya dapat sekali lagi menulis sesuatu yang terhasil daripada kepala 'senget' saya ini!

Oh, sebelum saya menghabiskan tulisan ini, ingin saya kongsikan sesuatu yang menarik, mungkin berkaitan dengan kerajinan dan kemalasan!
"A, kau rajin belajarlah. Aku harap aku boleh menjadi serajin engkau," kata B.
"Eh, janganlah puji macam tu, malulah aku," kata A pula walaupun mukanya masih menampilkan wajah ceria dan tiada garis-garis malu di air mukanya.
"Hoi, kau nak tau sesuatu? Sebenarnya, A tak adalah rajin sangat," sampuk C secara tiba-tiba.
"Apa?!" B kehairanan.
"Sebenarnya, A malas macam kita juga." Apa yang boleh pembaca tafsir sekarang? Tidak mengapa. Simpan tafsiran dalam RAM dulu.
"A sebenarnya malas nak kerja susah dan nak cari kerja. Itulah yang bertungkus lumus nak belajar sekarang." C menjelaskan pemikirannya.
"Aku masih tak fahamlah." B mengelengkan kepalanya tanda pening.
"B, dengar sini. Bila A rajin belajar, keputusan peperiksaannya macamana?" C bertanya.
"Sudah tentulah bagus." Jawapan yang ringkas.
"Kalau bagus, ramai orang akan kagum bukan? Kalau dah kagum, mestilah ramai orang suka dekat dengan dia betul? Kalau dah begitu, senanglah dia mencari kerja nanti." Terang C seakan-akan dunia ini kecil sahaja.
"Tak semestinya." Betul juga kata A.
"Kalau tak sopan dan tiada budi pekerti yang mulia, nescaya orang pun tak pandang." jelas A
"Kalau begitu aku nak tanya. Kalau kau majikan, kau nak pekerja yang berkelulusan baik atau teruk?" soal C.
"Bergantung." ringkas dari A
"Sebab kena kaji dari pelbagai aspek." Alasan A pula
"Betul juga kata kau tapi mungkin kau tak pernah perasan sesuatu. Macam ayat yang berikut:
Contoh 1
'Kalau kau taknak belajar, kau nak jadi apa waktu besar nanti? Lembu, kambing, pengemis? Orang tak pandang orang tak berilmu.'
Contoh 2
'Belajarlah rajin-rajin. Sebab nanti senang cari kerja.' " 3 markah untuk C kerana menjawab menggunakan 2 contoh termasuk satu isi.
"Aa? Apa tu." B kacau steem pula.
"Kata-kata orang tua itu membuktikan orang yang belajar dengan kerajinan akan menjadi berilmu dan seterusnya senang mencari kerja. Waktu itu, kita boleh bergoyang kaki di rumah dan tunggu orang lain carikan kerja untuk kita. Contohnya:
'Encik, kami menawarkan jawatan XXX kepada Encik kerana kami memerlukan Encik.'
Contoh yang lagi hebit,
'Encik, tolonglah selamatkan XX dengan menerima jawatanYYY. Sesungguhnya, XX sangat memerlukan Encik yang berilmu ini untuk menyelamatkan dan mengekalkan repotasinya.' " 2 markah lagi kerana memberikan contoh dan isi. Contoh yang kedua cuma versi Hiperbola, tak diterima.
"Aku tak terima." kata A dengan nada yang sedikit tidak berpuas hati.
"Kalau begitu, kau malas nak kena marah dengan mak atau cikgu sebab tak dapat result yang bagus, atau malas kena cap sebagai budak malas?"

Tak apalah. Biarlah mereka bertenkar. Sebenarnya, kerajinan kita sekarang adalah kemalasan yang akan datang. Buktinya, seseorang itu bertungkus-lumus bekerja pada zaman mudanya supaya hari tuanya tidak perlu rajin lagi. Oh, bukti yang lain juga ada. Contohnya, seorang ibu rajin membasuh baju setiap hari kerana malas nak basuh lebih banyak baju pada hari lain. Memandangkan ada antara kerajinan di dunia ini bertopengkan kemalasan, adalkah kemalasan bertopengkan kerajinan? Sebenarnya, ada pun boleh, tak ada pun boleh. Contoh kemalasan yang bertopengkan kerajinan ialah seseorang yang malas mandi rajin mengumpul daki, bau dan kotoran serta kudis di tubuhnya. Oops, mungkin rajin mengumpul kritikan dan cacian juga. Contoh kemalasan yang tidak bertopeng pula ialah orang yang malas nak basuh stokin malas nak bau stokin kotornya sendiri.
Hahahaha....
(Sekadar hiburan semata-mata)

15 Mac, 2012

Braille on the Beach


Pada 10 hari bulan Mac yang lalu, St. Nicholas Home telah menganjurkan satu program bersama sebuah kolej (jika saya tidak silap) yang dinamakan 'Braille on The Beach". Melalui nama program ini pun kita boleh teka latar tempat yang sepatutnya program ini dijalankan . Walaupun fokus dan watak utama program ini bukan trainees ICDL, Pastry, Massage atau Busketry, kami selaku watak sampingan ini pun dapat juga merasaai pentas pasir ciptaan-Nya itu.

(Jangan terkejut)
Kami bertolak seawal 6:40 pagi dan mengambil sarapan kira-kira 55 minit yang lalu.

Dengan bantuan Kenderaan yang dinamaai bas, Kami pun sampailah. Sebenarnya, cuaca pada pagi itu tidak beberapa baik tetapi cuaca ini seakan-akan faham apa kehendak kami.

Untuk pengetahuan, agenda sulung kami di pantai yang indah itu adalah mendengar muzik hasil bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh bahan terpakai. (RECYCLE BAN) Oops, ada juga bantuan guitar!

Sedang watak utama mengerjakan tugas mereka, kami pula mengadakan beberapa acara yang tidak kurang menariknya. Permain pertama seakan-akan kotak beracun tetapi telah diubah suai sedikit. Kebiasaannya, orang yang memegang kotak beracun sahaja yang akan menerima racun daripada isi kotak itu, tetapi racun dalam kotak kami ini lebih bisa kerana bisanya boleh menjadi tempias untuk orang sebelah. Dapat bayangkan ke?

Permain kedua adalah mengisi air ke dalam balang. Senangkan! Oops, tidak semudah itu sebenarnya. Setiap daripada kami harus menggunakan penyedut minuman yang ada untuk mengubah kedudukan air dari tempat asalnya kepada balang yang telah disediakan. Ada juga antara warga yang bertanding dalam acara itu mandi percuma...

Acara ketiga pula adalah pertandingan makan. Tidaklah susah mana jika disuruh makan tetapi mahu habiskan bijirin sarapan secara berpasangan dengan berorentasikan pertandingan, senang pun jadi susahlah.

Acara yang ke empat ialah menjunjung buku. Malangnya, saya tak berdaya untuk merasainya kerana penat akibat makan.

Setelah kami menamatkan permainan-permainan itu, kami pun berehat dan menikmati nasi lemak disamping pemandangan yang sangat menarik.

Kesimpulannya, saya berasa sangat bersyukur kerana sekali lagi diberi peluang untuk menyaksikan pantai yang menarik seperti itu. Semoga saya akan dapat peluang seperti ini. Oops, mungkin rakan-rakan lain juga!

10 Mac, 2012

Sama Tapi Tak Serupa!

"Sayang, sayang rasa sayang sebab sayang menolak kasih sayang yang sayang curahkan"
Perhatikanlah setiap 'sayang' yang ditempatkan dalam ayat di atas dan cuba mengtafsirnya!

Selamat sejahtera kepada para pembaca. Hari ini, tiba-tiba sahaja saya mendapat ilham untuk menulis tulisan ini.

Sebenarnya, banyak perkara dan banyak benda di dunia ini nampak seperti sama tetapi kenyataannya tidak serupa. Sebagai contoh, Sayang yang pertama dan keempat dalam ayat di atas adalah kata ganti diri untuk orang yang dipanggil si pemanggil. Sayang yang kedua dan ke enam pula merujuk kepada kata ganti diri bagi Si pemanggil. Sayang yang ketiga pula bererti rugi. Tidak ketinggalan juga sayang yang kelima yang membawa erti cinta. Bukankah perkataan yang sama telah digunakan dengan cara yang berbeza? Itulah namanya nampak sama tapi tak serupa.

Cuba pula kita kaji ayat yang seterusnya.
"Cantik BETUL lah baju yang kau reka ni!"
"Cantik BETUL lah baju yang kau reka ni!"
Setelah anda membacanya, anda perasan perbezaannya? Ayat di atas sebenarnya sama sahaja. Tiada apa beza pun.

Persamaan ini termasuk juga dari segi penampilan dan kombinasi konsonan dan wakalnya. Jadi, apa yang menjadikannya berbeza? Saya rasa ramai daripada anda dapat menekanya bahawa jawapan yang saya cuba maksudkan ialah nada dan intonasi. Sekiranya 'cantik' disebut dengan niat memuji yang iklas, telinga si pendengar sudah tentu akan memberi tahu otaknya bahawa kecantikan baju rekaannya masih mendapat penghargaan. Sebaliknya perkataan 'cantik' disebut dengan nada dan intonasi yang sinis, (faham-faham sajalah)

Mari kita lihat pula keadaan yang sama tapi tak serupa yang seterusnya.
"Kita mahukan keamanan." Jeritan perdana menteri Negara A (contoh)
"Kita mahukan keamanan." Ini pula jeritan Pemimpin Kerajaan B (contoh)
Wahl, pemimpin berdua ini pencinta keamananlah. Kalau begitu sudah tentulah kedua-dua buah negara/kerajaan ini tidak akan berperang sesama sendiri, bukan?
"Demi keamanan, hapuskan kerajaan B," Slogan keamanan Negara A
"Atas nama ketenteraman, hancurkan Negara A," Slogan keamanan Kerajaan B.
Nampak gayanya, keamanan yang sama membelakangkan cita-cita yang berbeza. Dalam keamanan yang didefinisikan oleh kerajaan B, Negara A harus ghaib dari atas muka bumi. Sama juga dengan Negara A yang menakrif keamanan adalah keadaan apabila Kerajaan B lesap seperti tidak pernah dilahirkan. Keamanan yang sama, tetapi berbeza.

Okay, ini rasanya perbezaan yang terakhir.
"Satu, Malaysia! Satu, Malaysia!"
"Perpaduan Teras Kejayaan!"
"Bahasa Jiwa Bangsa!"
Slogan-slogan di atas sebenarnya adalah sama tetapi tak serupa.
Anda tahu apa persamaannya?

(Sekadar Tulisan)

07 Mac, 2012

Memberi/Menerima

Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Bahagian pertama:
Selamat sejahtera kepada para pembaca yang masih mencuri masa untuk membaca Tulisan saya yang tidak seberapa. Sebenarnya, tulisan kali ini sangat berkait rapat dengan ayat yang saya nyatakan di atas. Semenjak saya berada di St. Nicholas Home, saya telah menghadiri banyak program anjuran luar yang bertemakan rezeki. Jadi, kesempatan ini saya ingin gunakan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang memberi khususnya. Sesungguhnya, harapkan saya untuk membalas budi, belum tentu lagi ada peluang tetapi, Tuhan tidak pernah lupa kepada mereka yang pemurah. Muda-mudahan, Tuhan memurahkan rezeki mereka.

Bahagian yang kedua:
Bahagian ini tiada kaitan dengan maksud sebenar ayat di atas dan bahagian satu di atas!
Siapa yang kata tangan yang memberi ini lebih mulia daripada tangan yang menerima? Mungkin saya patut tanya memberi itu mesti baik daripada menerima? Tidak sebenarnya. Tetapi kenapa tidak? Tidak kerana bukan semua pemberian itu baik untuk diterima. Sekiranya tangan itu memberikan kesensaraan, adakah tangan itu mulia? Sudah tentu kelaka jika ada ayat yang berbunyi:
"Saya berasa berterima kasih dengan kesensaraan yang telah diberikan kepada saya."
Satu lagi contoh. Jika tangan itu memberikan bantuan untuk mengerjakan keburukan, sekali lagi nama baik pemberian dicemarkan, bukan?
"Saya berasa besyukur kerana saya diberi bantuan untuk merompak kedai emas itu!"
Hahahahahahahahahaha.

Walau bagaimanapun, saya masih bersetuju dengan ayat di atas jika pemberian itu mengibukan keiklasan dan mengayahkan kebaikan. Jadi, berikanlah yang baik dan cuba hindarilah pemberian yang buruk.

06 Mac, 2012

Maafkan saya.

Selamat sejahtera kepada para pembaca. Terlebih dahulu, saya ingin meminta seribu kemaafan kerana tidak menerbitkan apa-apa tulisan untuk tatapan para pembaca. Sebenarnya, saya terlalu sebuk dengan macam-macam aktiviti anjuran St. Nicholas' Home. Masa yang ada ini pun saya cuba juga untuk menghantar sekurang-kurangnya satu tulisan. Tetapi saya akan cuba juga untuk kembali aktif semula.

Tunggu Ya