28 Ogos, 2013

Sambutan Raya di SMPK Setapak + sambutan persaraan Kak Yati.

Pada 23 hari Ogos yang lalu, Saya berpeluang meraikan jamuan Hari Raya yang dianjurkan SMPK Setapak. Sebenarnya, jamuan itu merupakan Jamuan 2 dalam satu, iaitu jamuan raya dan jamuan persaraan Kak Yati, iaitu seorang pembantu pengurusan murid (PPM) di sekolah itu. Beliau merupakan kakitangan SMPK yang berkhidmat paling lama, iaitu rekod 38 tahun.
Semasa saya bertugas sebagai Ahli Lembaga Koperasi di Koperasi SMPKS, Kak Yatilah yang menjadi penjaga kaunter dan bertugas sebagai tukang jual setia sehingga koperasi itu tutup pintu. Sebelum ini, Kak Yati pernah bertugas di dewan makan, iaitu tempat murid-murid SMPK mengenyangkan perut. Menurut sumber dalam majlis itu, beberapa orang guru SMPK sekarang pernah menerima khidmat beliau semasa zaman persekolahan dulu.

Kak Yati seorang yang mesra dan sentiasa nampak ceria. Kekuatannya sebagai seorang pekerja tidak kalah dengan mereka yang masih muda. Sesungguhnya, jasanya akan dikenang dan semangat bekerjanya akan menjadi pedoman.

Oh ya, beralih kepada sambutan hari raya SMPK pula. Pada hari tersebut, banyak juadah yang lazat-lazat telah dihidang untuk semua warga SMPK, tidak kira guru-guru, murid-murid mahupun kakitangan-kakitangan yang lain. Pada pendengaran saya, masakan kambing pun ada hasil sumbangan murni orang.

Sebenarnya, majlis itu tidak tamat setakat itu sahaja. Selain hidangan yang menarik, terdapat acara hiburan yang menarik juga. Acara tersebut tidak lain tidak bukan melainkan kara ok! Guru-guru dan staf sokongan mengambil kesempatan ini untuk bernyanyi dan menghiburkan diri. Cabutan bertuah juga ada untuk menceriakan lagi suasana majlis yang bermakna itu.

Sesungguhnya, saya benar-benar bertuah dapat mengikuti sendiri sambutan majlis itu. Kepada warga SMPK Setapak, jutaan terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Kalau ada rezeki, boleh saya datang beraya lagi!

(Sekadar berkongsi)

26 Ogos, 2013

Kem Math SMPKSetapak 2013

Pada 23 Ogos yang lalu, ssaya telah berpeluang melawat ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, iaitu tempat saya menadah ilmu semasa zaman awal remaja dulu. Tempat ini mengukir seribu kenangan manis mahupun pahit, masam dan juga masin. Mungkin juga pedas dalam memori. Uniknya, lawatan saya ini atas nama seorang sukerelawan yang memberi kerjasama kepada guru Matematik tingkatan 3 yang menjalankan kem subjek tersebut. Mungkin saya bukan pelawat tetapi sepatutnya sukerelawan!

Kem Matematik PMR yang diketuai Pn. Suriani binti Yusof, penolong kanan koko ini mempunyai corak yang unik dan tersendiri. Jika dibandingkan dengan kem-kem pendidikan yang pernah saya ikuti beberapa tahun dahulu, kem ini mempunyai bilangan fasilitator yang paling banyak. Ini bererti koncentrasi penuh boleh diberikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, di mana seorang fasilitator bertanggung Jawab mendidik satu hingga enam orang pelajar.

Kem ilmu ini bermula 2:50 petang 23 Ogos dan secara rasminya berakhir kira-kira 10:30 pagi 25 Ogos. Selain waktu rehat untuk pengurusan diri seperti makan, sembahyang dan tidur, masa yang selebihnya telah dimananfaatkan sepenuhnya untuk pendidikan.

Kumpulan fesilitator pula terdiri daripada guru-guru matematik SMPK Setapak, sukerelawan dari sekolah luar dan bekas pelajar SMPKS sendiri.

Secara keseluruhannya, kem ini berlangsung dengan bergitu lancar sekali. Dengan izin-Nya, aktiviti-aktiviti dan sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung seperti mana yang telah dijadualkan. Walau bagaimanapun, kem ini akan menjadi lebih bermakna jika pelajar pelajar PMR yang menjadi watak utama dalam kem ini boleh mencapai keputusan yang lebih baik dengan menggunakan kesempatan yang sedia terbentang ini.

Dengan kesempatan yang ada juga, ingin sekali saya menghadiahkan setinggi-tinggi penghargaan dan beribu-ribu terima kasih kepada Pn. Suriani dan SMPK Setapak kerana telah menyediakan banyak kemudahan seperti tempat tinggal, makanan yang lazat-lazat disamping pengiktirafan dengan pemberian sijil penghargaan kepada saya dan sukerelawan yang lain. Semoga usaha kem pendidikan ini dapat mencapai objektifnya dan sekali gus meningkatkan gred purata dan kecermelangan subject kira-kira untuk PMR 2013!

Kepada rakan-rakan PMR yang lain, semoga berjaya saya ucapkan!

(Sekadar berkongsi)

08 Ogos, 2013

Selamat hari raya!

Sudah lebih sebulan MejaLogam dibiarkan dalam kekosongan tanpa pembaharuan entries. Mujurlah MejaLogam ini hanya sebuah meja dunia maya. Jikalau tidak, nescaya penuhlah ia dengan segala angkatan habuk dunia yang bermastautin bersama angin.

Selamat sejahtera dan selamat hari raya saya ucapkan kepada anda di sana. Semoga kedatangan bulan syawal ini akan diraikan dengan kegembiraan disamping keampunan dari insan-insan lain. Sudah tentu sesetengah daripada kita akan pulang beraya di kampung, untuk mengeratkan kembali hubungan siraturahim antara saudara mara yang merupakan sebahagian daripada ahli keluarga kembangan. Dan sudah tentu juga sebahagian daripada kita mengambil kesempatan ini untuk menikmati kuih-muih yang mungkin dihidang sekali dalam setahun. Tetapi, tidak kira bagaimana cara kita meraikannya, perayaan ini tetap perayaan yang bermakna buat kita semua.

Sekali lagi, dengan kesempatan yang ada, izinkan saya menghadiahkan ucapan raya ini kepada anda (bukan sahaja yang sedang membaca MejaLogam sekarang tetapi kepada semua yang meraikannya). Tidak ketingalan juga ucapan selamat bercuti kepada diri saya dan golongan bukan muslim yang lain.

oh ya, kepada pelajar PMR dan SPM, jangan terlalu ghairah sehingga lupa ilmu yang dicurahkan pendeta di sekolah sana!

(Sekadar menghadiahkan ucapan)