31 Disember, 2012

Selamat Tahun Baru 2013

Tidak lebih daripada 5 jam lagi, 2012 akan ditambahkan dengan 1 anka, lalu anka dua yang terakhir akan berganti tiga. Sepanjang tahun ini, banyak perkara telah berlaku seperti tahun-tahun sebelumnya. Yang berkaitan dengan bencana alam seperti taufan di Amerika, yang berkaitan dengan pemergian tokoh-tokoh penting seperti bekas Presiden parti gerakan, Dato Lim Keng Yaik, yang berkaitan dengan peperangan yang masih berlaku di kawasan timur tengah, yang berkiatan dengan ramalan hari kiamat dalam kalandar Mayan, dan macam-macam lagi peristiwa yang tidak tahu bagaimana untuk dikatagorikan.

Sekarang, peristiwa-peristiwa ini sudah pun berlalu dan peristiwa-peristiwa yang akan datang sudah menanti di nun sana, iaitu 2013 yang tidak berbatu jauh dari kita. Berlallunya 2012 tidak bererti berlalunya segala peristiwa manis pahit sepanjang tahun ini tetapi lahirnya satu lagi guru yang memberi gambaran kepada apa yang boleh manusia lakukan di atas muka bumi ini. Sejarah yang sudah menjadi ilmu ini tidak boleh diabaikan. Kerana mereka yang mengabaikannya akan dihukum dengan melakukannya. (George Santayana).

Selamat sejahtera kepada para pembaca yang masih sudi meluangkan masa untuk berkunjung ke laman blog yang tak seberapa ini. Dengan kesempatan yang ada (walaupun masih terlalu awal), ingin sekali saya mengucapkan selamat tahun baru kepada semua yang mengenali saya dan saya kenali. Tidak diabaikan juga mereka yang tidak kenal saya dan mereka yang tidak saya kenali. Semoga kita yang bakal berada dalam tahun baru ini akan menjadi insan yang lebih baik daripada diri kita yang semalam. Oh ya, semenjak kebelakangan ini, saya sedikit kehilangan idea dalam penulisan. Bukan itu sahaja, saya juga kehilangan daya pemikiran yang bernas. Ini menjadikan saya sangat sukar untuk menghasilkan tulisan dengan tempoh yang singkat dalam peperiksaan mahupun Blog. Kesannya, situasi skrip jawapan peperiksaan 'Bahasa Ingeris dalam komunikasi' yang telah saya goreng tempoh hari diibaratkan seperti telur di hujung tanduk disamping meletakan markah yang bakal saya terima di atas pagar antara syurga dan neraka (kalaulah surga dan neraka itu berjiran, hahahaha).
Alamak, terpesong pulak!

Kepada mereka yang bakal menerima keputusan SPM dan STPM, semoga kecemerlangan yang akan anda gengam. Kepada Parti-parti politik di Malaysia, semoga undian-undian halal yang setimpal dengan kewibawaan pucuk kepinpinan masing-masing akan diperoleh dalam pilihan raya yang bakal mendatang. (macam-macamlah penulis ni)
Selamat tahun baru 2013.

(Sekadar ucapan)


20 Disember, 2012

OKU penglihatan PMR Cemerlang 2012

Apa yang ditanam, itulah hasil yang dipetik. Itu adalah hukum alam yang kekal dan tidak akan berubah. Tetapi, sekiranya yang ditanam itu tidak ditempatkan di tempat yang sepatutnya maka penamanan benih itu tidak ada bezanya bagai mencurah air ke daun keladi atau membakar kain sutera.

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada para pembaca yang sangat saya hormati. Untuk pengetahuan semua khususnya golongan yang senasib dengan saya, seorang lagi pelajar cemerlang PMR (dari SMPK Setapak) telah lahir pada akhir tahun ini. Beliau yang dimaksudkan ialah saudara Teh Yong Shing; yang mendapat 7 A dalam keputusan PMRnya. Sepanjang pengalaman saya bersahabat dengan beliau, kecekapan dalam IT adalah salah satu ciri dominannya. Beliau juga merupakan antara blogger OKU penglihatan yang paling muda di Malaysia.

Kepada saudara Teh Yong Shing, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan. Semoga anda akan memperoleh kecemerlangan demi kecemerlangan pada masa hadapan.

Kepada anda yang berminat untuk melawat laman Blog beliau, silalah berkunjung ke
http://tehyongshing.blogspot.com/


Diari memory

15 Oktober
Aku tiba-tiba sahaja teringat saat-saat kecil, dimana aku ini masih seorang yang bertegur sapa, mesra dan tulus. Pada saat itu, aku seakan-akan kenal dan berkawan dengan semua yang berada di sekeling. Selagi aku masih boleh berkata-kata, selagi itulah mulut kecil waktu itu akan menyusun perkataan-perkataan. Tidak sempurna namun itulah komunikasi namanya. Hari ini, aku hairan dengan perkembangan diri ini. Orang kata hari esok harus lebih baik daripada hari semalam. tetapi aku yang semakin matang ini semakin jauh dengan istilah "komunikasi". Apakah semakin dewasa seseorang itu, semakin tertutup jadinya? Aku sentiasa buntu, mengapa wujudnya sempadan pada saat aku mahu mula membuka topik perbincangan atau berkomunikasi dengan orang lain.

23 Oktober
Hari ini, aku terlihat seorang budak lelaki berari anak, memeluk ayahnya dan mencium ayahnya dengan tangan yang mengengam hadiah. Mungkin hadiah semperna kejayaannya dalam pertandingan di taskanya. Mesra, sungguh mesra. Aku mula berasa sebak dalam hati. kerana aku sudah tidak dapat lagi melakukannya. Malahan perbuatan itu sungguhlah janggal walaupun aku mengharapkannya dalam senyap. Aku teringat juga waktu kecil, aku pernah lakukan yang sama, dan senyum dan tawa ibu bapa terlalu mudah untuk dilihat. Kalau boleh, aku mahu lagi melihat senyum dan tawa itu.

1 November
Aku mula terfikir adakah aku harus menjadi aku yang kecil? Aku yang masih mentah dan segar. Aku yang mampu menceriakan environment keluarga. Kerana aku yang sekarang tidak lagi dapat melakukan yang begitu. Saat-saat kecil dahulu, aku banyak kali berkata yang aku nak cepat dewasa dan boleh jadi bapa macam bapa saya. Aku nak berkahwin dan dapat anak. Nak memandu kereta besar. Tapi aku yang kini sudah dewasa sangat rindukan saat-saat dimana aku sedang meluahkan perkataan-perkataan itu. Aku boleh bebas menangis kalau sedih. Ibu boleh pujuk, boleh belai sampai aku berhenti menangis. Bapa boleh dukung aku. Main permainan sorok-sorok, dan baca cerita fantasi sampai aku lena. Malangnya, semua itu sudah menjadi sejarah.

10 November
Hari ini, hujan turun dengan lebat sampai kawasan yang rendah habis banjir. Aku memerhatikan mereka yang bergelar kanak-kanak bersama ibu bapa mereka. Memegang tangan dan ada yang berada dalam pelukan, berpindah dari tempat yang habis basah itu. Kasih sayang kekeluargaan jelas dipamirkan. Di satu sudut yang lain, anak muda sekadar 12 tahun memegang neneknya semasa berjalan. Kedua-dua mereka berbual dan ketawa. Mesra, sungguh mesra. Aku pula?

15 November
Hari semalam akan terus bertambah dan hari esok akan menjadi semakin berkurangan. Ini adalah hakikat yang tiada perubahan. Serindu mana pun aku kepada sejarah kemanisan, kemanisan itu tetap tidak akan kembali mewarnai realiti hari ini. Kerana itu sudah lama berlalu. Sangat melucukan bukan? Semasa kita berada di daratan, langit yang kita impikan. Kononnya langit itu lebih indah. Apabila langit itu kita kecapi, darat pula yang kita rindu. Darat yang penuh dengan warna, tidak seperti langit yang hanya biru, putih, kuning dan kelabu. Darat yang penuh dengan bunga, haiwan dan bahan galian, tidak seperti langit yang hanya terkandung awan.

(Sekadar menyeru ilham)

16 Disember, 2012

Fitnah dalam Media Massa

Tahukah anda bahawa fitnah itu akan memakan diri anda sendiri dalam dunia Media Massa? Media Massa yang telah dimaksudkan ialah buku, akhbar, majalah, siaran radio dan TV, filem serta media yang paling popular iaitu, internet. Ingat, facebook pun tergolong ya.

Terdapat 2 jenis fitnah yang melibatkan media massa iaitu:
1. Fitnah lisan, (Slander)
2. Fitnah bertulis, (Libel)

Ha, mari kita lihat fitnah mana yang lagi hebat.
Fitnah lisan (FL) lahir daripada sebutan mulut manusia. FL boleh happen di mana-mana dan boleh bermain sorok-sorok. Mungkin boleh diputarbelitkan daripada fitnah kepada salah faham, salah tafsir atau tiada niat untuk mengancam pihak yang disasarkan. Kalau tuan punya badan yang buat FL di media massa, yang menjadi mangsa FL itu boleh melancarkan serang balas dengan mengenakan saman (CUKUP-CUKUP!!).

Fitnah Bertulis (FB) bukan facebook; adalah fitnah dalam bentuk tulisan. Ada orang menyatakan mata lidah lebih tajam daripada mata pedang. Tetapi, kenyataannya, Mata pena atau mata printer lagi tajam berbanding mata lidah (dalam media massa sahaja). FB sangat hebat sehingga boleh melalaikan pelapis bangsa daripada kerja yang harus mereka kerjakan. Game satu hal, Gambar seksi dan tidak senonoh satu hal, dan macam-macam lagilah masalah jenayah siber. Ops, tersalah terang pulak. FB (fitnah bertulis) ini muncul dalam bentuk tulisan dan repotasi mangsanya akan teruk dijahanamkan. Sebagai pertukarannya, sesiapa yang melahirkan FB akan TERUK-TERUK disaman oleh mangsa yang kena FB tu. (lebih hebat berbanding FL).

Hmm, Kalau anda terkena FL mahupun FB, terus saja saman tuan punya perkataan (media massa tersebut atau tuan yang bertanggungjawab). Tapi, kalau kes itu dibawa masuk mahkamah, mungkin tuan punya FB/FL boleh menang hujah/bicara sebab peguam upahannya yang hebat bermain perkataan. Walau bagaimana pun, anda harus pastikan/buktikan lima perkara sebelum anda saman yang buat fitnah tu sekiranya anda tergolong atau layak menjadi mangsa kenyataan fitnah tersebut. Perkara-perkara yang dimaksudkan ialah:
1. Dia (mangsa fitnah) telah diancam oleh kenyataan tersebut.
Ini bermaksud repotasi dan nama baik mangsa fitnah terancam secara langsung mahupun tidak langsung. Kesannya, mangsa mungkin kehilangan pelluang pekerjaan, dipandang serong, diragui masyarakat dan hilang punca pencarian.
2. Dia telah dinyatakan dalam kenyataan (walaupun bukan nama)
Bukan semua kenyataan fitnah bersifat aktif dan dituju secara langsung kepada nama. Fitnah juga muncul dalam bentuk pasif iaitu melalui maksud tersirat, simbolik dan objek. Jadi, selagi fitnah itu berkaitan dengan mangsa walaupun bukan dengan namanya, fitnah itu tetap kesalahan yang boleh mengundang saman.
3. Kenyataan fitnah telah disiarkan/diterbitkan dalam media massa.
Memandangkan FL dan FB berkaitan dengan media, kenyataan palsu itu haruslah diterbitkan atau disiarkan dalam media massa. Sebenarnya, fitnah dengan menggunakan media masa sangat serius kerana kenyataan itu tersebar luas dan mencapai sejumlah penonton yang besar bilangannya.
4. Media massa yang bersalah (penyaran tanpa siasatan)
Kenyataan palsu yang telah disiarkan media massa tidak pun disiasat sebaliknya terus disiarkan. Kecuaian ini boleh mengundang saman yang mengorek wang tukang fitnah sebagai pampasan si yang diFitnah.
5. Kenyataan (fitnah) yang telah muncul dalam media massa adalah kepalsuan.
Nama pun fitnah, sudah tentulah sesuatu yang salah. Jika mangsa itu kata kenyataan itu fitnah tapi kenyataannya kenyataan itu nyata, bagaimana si mangsa itu nak menang bicara?

Oh ho...Jaga-jagalah anda di luar sana. Fikirlah sekali dua-dua sebelum buat apa-apa pada media massa anda wahai blogger, facebooker dan sejenis dengannya. Kalau kenyataan atau berita yang bakal anda poskan tidak anda pasti, janganlah siarkan sebaiknya. Bahaya!!

Ok, sampai sini sahaja buat kali ini. Sehingga berjumpa lagi di tulisan yang akan datang.
(sekadar berkongsi)

05 Disember, 2012

Saat-saat menantikan ketibaan peperiksaan

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada para pembaca yang sangat saya hormati. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kerana laman ini agak kurang aktif semenjak kebelakangan ini. Untuk pengetahuan anda semua, saya akan berhadapan dengan peperiksaan semesta yang kedua bermula 27 hari bulan 12 tahun ini. Tempoh yang kurang daripada sebulanlah yang menjadi bekalan waktu mengulang kaji saya. Walau bagaimana pun, semesta kedua ini tidaklah selancar semesta lalu. Hal ini kerana salah satu subjek yang ditawarkan pada tahun ini sangat-sangat memerlukan deria 'penglihatan'. Subjek yang dimaksudkan adalah "introduction to Electronic Publishing", iaitu subjek yang besar kaitannya dengan penerbitan secara digital. Dalam subjek ini, semua pelajar diuji dari segi teori dan praktikal iaitu teori yang berkaitan dengan penerbitan digital dan cara menghasilkannya.

Dari segi bahagian teori, ianya tiada beza dengan corak pembelajaran yang lain (kurang bermasalah), tetapi bahagian praktikal pula memerlukan daya kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan bahan penerbitan yang menarik untuk dilihat dan bererti untuk penontonnya (sedikit bermasalah). Antara output yang harus dihasilkan dalam sesi praktikal ialah
1. Menghasilkan kulit majalah
2. Menghasilkan Brochure (sejenis alat untuk menyebarkan maklumat)
Kedua-dua tugasan ini haruslah dilengkapkan menggunakan Program (software) yang khusus iaitu Adobe InDesign kerana aplikasi inilah yang direka khas untuk menghasilkan bahan seperti yang tertulis di atas. Memandangkan software tersebut tidak beberapa mesra dengan (screen reader) applikasi bercakap di komputer saya, maka saya terpaksa mengorbankan lebih banyak masa untuk melengkapkan kedua-dua tugasan tersebut. Selain itu, reka bentuk yang baik, kesesuaian warna, kejelasan gambar/tulisan dan kekurangan pengalaman saya dalam mengendalikan software keluaran Adobe menyukarkan lagi kerja saya. Namun begitu, tugasan tetap tugasan dan saya perlu melengkapkannya juga.

Kepada anda yang dikurnyakan penglihatan yang baik, hargilah penglihatan anda kerana ia sangat penting dalam banyak perkara. Deria penglihatan sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam kehidupan seharian kita. Kepada anda yang senasib dengan saya, kuatkanlah semangat untuk terus mengejar kejayaan walaupun kesukaran yang tertentu sudah pasti menunggu di masa hadapan.

Oh, nampaknya macam dah lari tajuklah!!
(sekadar berkongsi)