Selamat sejahtera saya ucapkan kepada para pembaca yang sangat saya hormati. Terlebih dahulu, saya ingin meminta maaf kerana laman ini agak kurang aktif semenjak kebelakangan ini. Untuk pengetahuan anda semua, saya akan berhadapan dengan peperiksaan semesta yang kedua bermula 27 hari bulan 12 tahun ini. Tempoh yang kurang daripada sebulanlah yang menjadi bekalan waktu mengulang kaji saya. Walau bagaimana pun, semesta kedua ini tidaklah selancar semesta lalu. Hal ini kerana salah satu subjek yang ditawarkan pada tahun ini sangat-sangat memerlukan deria 'penglihatan'. Subjek yang dimaksudkan adalah "introduction to Electronic Publishing", iaitu subjek yang besar kaitannya dengan penerbitan secara digital. Dalam subjek ini, semua pelajar diuji dari segi teori dan praktikal iaitu teori yang berkaitan dengan penerbitan digital dan cara menghasilkannya.
Dari segi bahagian teori, ianya tiada beza dengan corak pembelajaran yang lain (kurang bermasalah), tetapi bahagian praktikal pula memerlukan daya kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan bahan penerbitan yang menarik untuk dilihat dan bererti untuk penontonnya (sedikit bermasalah). Antara output yang harus dihasilkan dalam sesi praktikal ialah
1. Menghasilkan kulit majalah
2. Menghasilkan Brochure (sejenis alat untuk menyebarkan maklumat)
Kedua-dua tugasan ini haruslah dilengkapkan menggunakan Program (software) yang khusus iaitu Adobe InDesign kerana aplikasi inilah yang direka khas untuk menghasilkan bahan seperti yang tertulis di atas. Memandangkan software tersebut tidak beberapa mesra dengan (screen reader) applikasi bercakap di komputer saya, maka saya terpaksa mengorbankan lebih banyak masa untuk melengkapkan kedua-dua tugasan tersebut. Selain itu, reka bentuk yang baik, kesesuaian warna, kejelasan gambar/tulisan dan kekurangan pengalaman saya dalam mengendalikan software keluaran Adobe menyukarkan lagi kerja saya. Namun begitu, tugasan tetap tugasan dan saya perlu melengkapkannya juga.
Kepada anda yang dikurnyakan penglihatan yang baik, hargilah penglihatan anda kerana ia sangat penting dalam banyak perkara. Deria penglihatan sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam kehidupan seharian kita. Kepada anda yang senasib dengan saya, kuatkanlah semangat untuk terus mengejar kejayaan walaupun kesukaran yang tertentu sudah pasti menunggu di masa hadapan.
Oh, nampaknya macam dah lari tajuklah!!
(sekadar berkongsi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan