15 Oktober
Aku tiba-tiba sahaja teringat saat-saat kecil, dimana aku ini masih seorang yang bertegur sapa, mesra dan tulus. Pada saat itu, aku seakan-akan kenal dan berkawan dengan semua yang berada di sekeling. Selagi aku masih boleh berkata-kata, selagi itulah mulut kecil waktu itu akan menyusun perkataan-perkataan. Tidak sempurna namun itulah komunikasi namanya. Hari ini, aku hairan dengan perkembangan diri ini. Orang kata hari esok harus lebih baik daripada hari semalam. tetapi aku yang semakin matang ini semakin jauh dengan istilah "komunikasi". Apakah semakin dewasa seseorang itu, semakin tertutup jadinya? Aku sentiasa buntu, mengapa wujudnya sempadan pada saat aku mahu mula membuka topik perbincangan atau berkomunikasi dengan orang lain.
23 Oktober
Hari ini, aku terlihat seorang budak lelaki berari anak, memeluk ayahnya dan mencium ayahnya dengan tangan yang mengengam hadiah. Mungkin hadiah semperna kejayaannya dalam pertandingan di taskanya. Mesra, sungguh mesra. Aku mula berasa sebak dalam hati. kerana aku sudah tidak dapat lagi melakukannya. Malahan perbuatan itu sungguhlah janggal walaupun aku mengharapkannya dalam senyap. Aku teringat juga waktu kecil, aku pernah lakukan yang sama, dan senyum dan tawa ibu bapa terlalu mudah untuk dilihat. Kalau boleh, aku mahu lagi melihat senyum dan tawa itu.
1 November
Aku mula terfikir adakah aku harus menjadi aku yang kecil? Aku yang masih mentah dan segar. Aku yang mampu menceriakan environment keluarga. Kerana aku yang sekarang tidak lagi dapat melakukan yang begitu. Saat-saat kecil dahulu, aku banyak kali berkata yang aku nak cepat dewasa dan boleh jadi bapa macam bapa saya. Aku nak berkahwin dan dapat anak. Nak memandu kereta besar. Tapi aku yang kini sudah dewasa sangat rindukan saat-saat dimana aku sedang meluahkan perkataan-perkataan itu. Aku boleh bebas menangis kalau sedih. Ibu boleh pujuk, boleh belai sampai aku berhenti menangis. Bapa boleh dukung aku. Main permainan sorok-sorok, dan baca cerita fantasi sampai aku lena. Malangnya, semua itu sudah menjadi sejarah.
10 November
Hari ini, hujan turun dengan lebat sampai kawasan yang rendah habis banjir. Aku memerhatikan mereka yang bergelar kanak-kanak bersama ibu bapa mereka. Memegang tangan dan ada yang berada dalam pelukan, berpindah dari tempat yang habis basah itu. Kasih sayang kekeluargaan jelas dipamirkan. Di satu sudut yang lain, anak muda sekadar 12 tahun memegang neneknya semasa berjalan. Kedua-dua mereka berbual dan ketawa. Mesra, sungguh mesra. Aku pula?
15 November
Hari semalam akan terus bertambah dan hari esok akan menjadi semakin berkurangan. Ini adalah hakikat yang tiada perubahan. Serindu mana pun aku kepada sejarah kemanisan, kemanisan itu tetap tidak akan kembali mewarnai realiti hari ini. Kerana itu sudah lama berlalu. Sangat melucukan bukan? Semasa kita berada di daratan, langit yang kita impikan. Kononnya langit itu lebih indah. Apabila langit itu kita kecapi, darat pula yang kita rindu. Darat yang penuh dengan warna, tidak seperti langit yang hanya biru, putih, kuning dan kelabu. Darat yang penuh dengan bunga, haiwan dan bahan galian, tidak seperti langit yang hanya terkandung awan.
(Sekadar menyeru ilham)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan