22 April, 2014

Arnab Di Rumah!

Beberapa minggu yang lalu, adalah seekor arnab ini sesat ke bawah kereta jiran. Waktu itu, anak-anak kecil jiran saya itu pun bukan main teruja melihat aksi haiwan kecil yang boleh dikatakan sesuatu yang terlalu jarang muncul di taman perumahan.

Ibu yang kebetulan berada di kawasan luar rumah pun datanlah membantu mengepung dan menangkapnya untuk kanak-kanak itu. Tetapi arnab itu akhirnya berjaya ditangkap oleh ibu mereka selepas arnab itu cuba belari dari kepungan. Memandangkan nenek mereka tidak mengizinkan mereka untuk memeliharanya, arnab itu pun diserahkan kepada ibu. Jadi, rumah kami pun bertambahlah satu lagi ahli!

Berbeza dengan haiwan peliharaan lain, arnab yang ini tidaklah bergitu agrasif. Kalau dicakar sekalipun tidaklah terlalu sakit. Ada juga sekali arnab itu mengigit saya kerana mahu melepaskan diri dari pegangan tangan saya. Namun, jika dibandingkan dengan gigitan kucing, gigitan arnab ini boleh dikatakan kurang sakit. Malahan, kesan gigitan juga tidak muncul! Dari hari pertama sehingga hari ini, tidak sekalipun saya mendengar ia berbunyi. Mungkinkah arnab itu sebenarnya bisu? Arnab peliharaan kami ini juga sangat pemalu. Sekali dilepaskan dari tangan tanpa makanan, arnab itu akan berlari dan menyorok di ruangan yang sempit dan terlindung. Di rumah saya, dua tempat yang sering sahaja arnab ini menyorok ialah di bawah daun pandan dan di celah-celah tembok. Tetapi kalau hujan turun, dua-dua spot ini tidak terlepas daripada siraman air dan arnab pun sebenarnya tak beberapa suka air. Yang lagi kelakar, arnab ini akan terus berada di sana walaupun basah kuyup dimandikan hujan. Oh ya, berdasarkan beberapa bacaan saya di internet, saya mendapati bahawa ada beberapa bahan bahan yang mencadangkan agar tidak memandikan arnab peliharaan kerana bukan sahaja tuannya akan tercedera kerana cakaran dan gigitan arnab tetapi arnab itu juga akan tercedera dalam proses pegelutan untuk melarikan diri dari air. Ternyata secara umumnya, arnab takut kepada air.

Saya percaya semua tahu bahawa arnab suka makan lobak. Tetapi arnab juga makan rumput liar tepi jalan. Arnab kami pula gemar lobak dan pucuk keledek selain rumput liar tepi jalan. Arnab tidak tertarik kepada apa jenis daging dan ini meletakkan haiwan ini dalam kumpulan herbivor atau pemakan tumbuhan sahaja. Untuk pengurusan sisa perkumuhan arnab, ianya tidaklah begitu leceh bagi kami jika dibandingkan dengan anjing dan kucing. Ini kerana najis arnab tidaklah melekek dan bersifat kering. Dengan penyapu sahaja najis pepejal itu dapat di urus. Tetapi, air kencing arnab juga busuk seperti haiwan-haiwan lain.

Salah satu fakta yang menarik berkaitan dengan arnab ialah bulunya yang halus tidak mengundang kutu yang menyerang manusia. Tetapi saya sendiri pun masih tidak pasti sama ada fakta ini tepat atau tidak. Namun, setakat ini, arnab yang ada di rumah kami ini tidak diserang kutu walaupun arnab ini sudah mengembara merata-rata sebelum menjadi haiwan peliharaan kami. Walau bagaimanapun, telinga dan hidung arnab kami sudahpun luka dan dipercayai diserang bakteria atau penyakit. Semasa ibu kali pertama jumpa ia, luka-luka ini sudah pun ada.

Oh ya, lupa tangkap gambar arnab untuk tatapan semua (^.^)

(Sekadar Berkongsi)

15 April, 2014

Pengalaman Cheng Beng yang pertama!

Buat sulung kalinya, saya berpeluang pergi ke tempat persemadian moyang dan juga atuk semperna sambutan hari Cheng Beng. Sebenarnya, sudah lama saya menanam keinginan untuk pergi ke sana tetapi masa kurang mengizinkan memandangkan saya masih bersekolah selain sebab-sebab lain. Pada tahun ini, saya bertemankan ayah telah bertolak pulang ke kampung kelahiran saya iaitu tempat raja bomoh meneropong Pesawat MH 370 beberapa minggu yang lalu! Perjalanan kami bermula pada petang Sabtu yang lalu dan cuaca pada masa itu juga tidaklah terlalu panas. Sepanjang perjalanan pulang ke Teluk Intan, kami singah sebentar di Sekinchan, iaitu di rumah Mak Saudara saya untuk berehat memandangkan ayah juga berhajat hendak membeli sedikit makanan laut yang sudah terkenal di sana selain keindahan sawah padi yang juga mercu tanda di daerah itu. Kami tiba di Teluk Intan sekitar Jam 5 petang dan mulakan aktiviti pertama kami dengan makan malam yang agak awal. Ternyata makanan di tempat asal ini sentiasa melahirkan nostalgia yang tidak dapat digambarkan.

Setelah sudah, kami pun pulang ke rumah lama, iaitu tempat ayah tinggal semasa zaman budak-budak dahulu. Seperti biasa, kami akan disambut oleh Pak Lang, iaitu satu-satunya penghuni tetap di rumah pusaka itu. Ayah berehat mehilangkan kepenatan sementara saya pula pergi ke rumah sepupu saya yant terletak di belakang rumah itu. Adalah sedikit perkara yang kami sembangkan tetapi tidaklah terlalu serius. Sekitar pukul tujuh setengah, saya dan ayah pergi melawat Pak Long untuk mengajak beliau pergi bersama kami ke Cheng Beng. Boleh dikatakan ayahlah pemandu utama bagi adik-beradiknya untuk pergi ke tempat persemadian moyang dan atuk nenek memandangkan ayah selalu sahaja menawarkan khidmat percuma itu setiap tahun. Setelah sudah, kami pun membeli sedikit makanan untuk "Supper" sebelum tidur untuk acara kami pada awal pagi keesokkan harinya.

Seawal 6:45 pagi, kami telah bangun dan bersedia untuk bertolak. Kereta ayah berisi 4 orang termasuk saya, ayah, Pak Long dan Pak Cik saudara saya yang seorang lagi. Perjalanan kami begitu lancar memandangkan sambutan Cheng Beng sudah tiba di penghujungnya. Kami mulakan destinasi kami dengan melawat kubur Moyang, yang dikatakan atuk kepada atuk saya yang datang dari China dan memulakan hidup di Tanah Melayu. Di situ, kami membersihkan kawasan kubur beliau dan menjalankan beberapa adat istiadat yang diturunkan dari generasi ke generasi khususnya untuk sambutan yang unik ini. Memandangkan kawasan itu sempit dan berbukit bukau, selain penyusunan kubur yang tidak sistematik, saya hanya melihat sahaja ayah dan Pak Cik mengerjakan apa yang sepatutnya dikerjakan. Pada permulaannya, saya sangka tanah perkuburan adalah satu tempat yang seram dan bersepah dan terbiar, tetapi kenyataannya ianya tidaklah begitu. Saya juga membayangkan bahawa tanah perkuburan itu seharusnya berbau memandangkan mayat manusia yang disemadikan akan mereput. Ternyata jangkaan saya itu terlalu jauh berbeza. Saya juga diberi tahu bahawa batu nisan moyang saya itu sudah retak sedikit dan tulisan yang terdapat di atasnya sudah mula pudar dan kabur. Ternyata moyang saya sudah lama disemadikan di sana.

Kemudiannya, kami pun pergi ke pusara atuk dan nenek sebelah ayah. Di sana, saya berpeluang menghulurkan sedikit bantuan kerana tempat itu lebih sistematik dan tersusun selain jalannya yang lebih rata. Saya membantu membersihkan persekitaran batu nisan yang berhabuk bersama ayah manakala Pak Cik saya pula menyalakan liling, menyalakan colok dan menaburkan kertas untuk menghiasi kubur itu. Saya berpeluang melihat wajah Atuk dan Nenek dalam gambar hitam putih yang terlekat kemas pada batu nisan mereka. Seterusnya, kami pun pergi bersarapan bersama sebelum ayah menghantar Pak Cik saya pulang dan bertolak ke rumah saya di Puchong Selangor. Kami singgah sebentar di Sekinchan untuk mendapatkan barang yang ayah tempah hari sebelumnya.

Sepanjang perjalanan kali ini, saya berasa bersyukur kerana saya masih diberi peluang melawat tempat persemadian atuk, nenek dan Moyang saya. Apa yang lebih hebat, saya adalah generasi yang ke lima untuk pergi melawat kubur Moyang saya! Dan ini membuatkan saya berasa terlalu bangga. Mungkin Moyang saya pun dah tak tahu cicik siapa saya ni, tetapi ini bukan sesuatu yang penting pun. Yang paling penting, saya berpeluang melihat sendiri dan berada benar-benar dekat dengan tempat persemadian beliau! Mudah-mudahan, saya akan diberi peluang untuk pergi ke sana!

(Sekadar berkongsi)

09 April, 2014

Kekurangan

Sedar tidak sedar, deploma telah pun berlalu dan kini saya ditinggalkan dengan kuasa untuk memilih jalan dalam meneruskan pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi. Terlalu sukar untuk saya mengambil keputusan teruskan degree dalam Perhubungan Awam atau tidak. Sekiranya diteruskan, saya bakal berhadapan dengan beberapa cabaran yang hebat kerana subjek-subjek yang ditawarkan memerlukan penggunaan mata.

Setahun yang lalu, semasa saya memberi kerja sama kepada seorang senior yang membuat kerja kursus berkaitan dengan OKU kategori penglihatan terhad, saya dengan penuh bersemangat memberi tahu bahawa "OKU boleh melakukan perkara-perkara seperti mana yang dapat dilakukan insan biasa". Apabila berfikir kembali tentangnya, saya mula berasa yang saya ini masih budak mentah yang masih tidak jelas akan betapa tingginya langit. Sepanjang hidup saya, sudah terlalu ramai yang telah memberi motivasi dan kata-kata semangat yang berbunyi seperti "kecacatan bukan penghalang" atau mana-mana yang serupa maknanya dalam banyak jenis bahasa. Mungkin sebab itulah saya juga menggunakannya kembali apabila diminta menyumbang maklumat kepada Kerja Kursus Senior itu. Sebenarnya, saya pun berasa saya akan bercakap seperti itu apabila memberikan motivasi kepada rakan senasib. Mungkin sebab inilah ayat pertama yang muncul.

Kenyataannya, kekurangan ini mula saya rasai selepas saya mengambil Deploma di TAR University College. Kekurangan ini bukan sahaja menghadkan pilihan saya. Kemampuan saya dalam banyak perkara juga menjadi sukar berkali ganda. Semenjak kecil lagi, saya tidak berasa diri saya ini kekurangan. Walaupun saya tidak dapat bermain kebanyakkan permainan video, menonton secara live aksi serang menyerang di padang bola sepak, melihat aksi hebat Dato Lee Chong Wei, boleh nampak dan berjalan-jalan pada waktu malam seperti mana adik, mak, ayah, jiran-jiran dan yang lain-lain, saya tidak rasa kekurangan. Tetapi bukan lagi setelah saya mengenali kepentingan "mata" dalam dunia pekerjaan. Namun, kekurangan ini tidak ada kaitan dengan kedua-dua orang tua saya yang sudah cukup penat membesarkan saya. Sebaliknya, saya mungkin tidak boleh membalas jasa mereka dengan mencari sebuah kerja yang menjanjikan "survival" saya sendiri.

Setiap kali saya memikirkan kekurangan ini, perasaan saya bercampur aduk. Antara gembira dengan sedih. Antara bangga dengan kecewa. Gembira kerana saya boleh membanggakan kedua-dua orang tua saya. Sedih kerana saya juga salah satu sumber masalah yang bermain dalam fikiran mereka. Bangga kepada diri saya kerana saya masih boleh melanjutkan pelajaran saya sehingga tahap ini. Kecewa kerana saya tidak mempunyai kemampuan dalam banyak perkara.

Setiap kali saya mula berfikir ke arah yang negatif, saya mula merawat fikiran itu dengan menambahkan nilai positif dalam fikiran itu. Nak tak nak, guna jugalah ayat motivasi yang sudah terlalu banyak kali diperkatakan iaitu "Kecacatan bukan Penghalang". Tetapi, kenyataan tetap kenyataan dan saya harus belajar untuk mengubahsuai diri dan mencari akal untuk terus bermain dalam rentak sejagat yang dimainkan semua. Oh ya, satu lagi cara untuk saya merawat pemikiran yang negatif itu ialah dengan membandingkan saya dengan mereka yang lebih bernasib malang. Mungkin ini fitrah manusia yang akan berasa diri mereka lebih bernilai apabila mereka mengetahui mereka sudah sangat-sangat beruntung berbanding orang lain. Kadang-kala, saya juga memberi motivasi kepada diri saya bahawa saya mempunyai keunikan yang tersendiri. Keunikan yang tidak terdapat pada sesiapa pun. Jadi, syok sendirilah!

Walau apa pun yang terjadi, kenyataan ini tetap kenyataan. Kekurangan tetap kekurangan dan saya sudah boleh menerimanya dari awal lagi. Dengan dilihirkan dengan keadaan sebegini, saya sudah jauh lebih beruntung jika dibandingkan dengan mereka yang kehilangannya. Cuma saya perlu berusaha dengan lebih gigih, itu sahaja. Hmm, Mungkin saya masih belum benar-benar memahami erti sebenar potongan kata "kecacatan bukan penghalang"

(Sekadar luahan hati)

Takut Kepada Kesakitan?

AMARAN!!

1. tulisan ini mengandungi sedikit elemen keseraman.

2. Kesemua watak dalam kisah ini tiada kaitan dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah mati, dan persamaan nama hanya bersifat kebetulan semata-mata.

3. Pandangan yang dihasilkan hanya pandangan semata-mata dan MejaLogam dan penulisnya tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami pembaca hasil daripada pembacaan tulisan ini.

"Sudah lama aku menunggu hari ini! Sudah terlalu lama!". Seakan-akan orang gila lakunya apabila disebut dengan intonasi gembira bercampur pilu. Pandangan matanya yang sukar digambarkan itu hanya menambahkan lagi rasa seram-sejuk kepada mereka yang menatapnya.
"Apa yang kau mahu dari aku kau cakap aja lah, jangan angkat pisau tu macam tu," Roi hanya dapat merendahkan keangkuhannya dalam keadaan yang bagai telur di hujung tanduk ini. Kakinya sedikit begetar ketakutan. Tangannya berpeluh sejuk da bulu romanya tegak. Jejaka tegap itu tidak pernah berasa takut sebegitu rupa walaupun sering dia bermain "game" berdarah yang diharamkan oleh mereka yang lemah jantung. Dia tidak tahu apa yang ditakutkan. Apa yang pasti, dia sudah mengetahui kenyataan bahawa seberani manapun seseorang, ada sahaja ketakutan yang terselit di dalam dirinya.

Zet melangkah pelahan dengan pisau kecil di tangan kanannya. Setiap langkah disusun tenang, kemas dan tidak gopoh. Sekali-sekala, langkahnya menghasilkan bunyi yang cukup jelas dan berdengun hasil pantulan bunyi dari dinding dan bumbung bengkel terbiar itu. Walaupun tidak berlampu, pisau yang dipegangnya itu memantulkan cahaya biru yang kelihatan samar-samar, dan seakan-akan sudah mengambarkan ketajamannya kepada Roi.

"Zet, tolonglah, kau nak apa pun aku kasi, janganlah macam ni. Kita boleh berbincang! Letakkan pisau tu dan kita berbincang kat kedai mamak yang kau suka pergi tu! Aa A Aku belanja!" Roi bertambah cemas melihat Zet yang semakin hampir dengannya. Hendak sahaja dia berlari tetapi posisinya yang terlalu jauh dari pentu keluar menipiskan lagi peluang untuk berbuat sedemikian. Zet yang membelakangkan pintu keluar itu hanya terus ketawa melihat kepucatan wajah kawannya itu. Bengkel yang sudah berada dalam kekuasaannya dijadikan panggungwayang, menonton gelagat seorang pelakon realiti kisah seram di hadapannya . Pelahan-lahan, tangan kirinya pula mengankat sebilah Parang yang sudah lama dia bawa bersama. Langkahnya terhenti dan matanya terbeliak menatap tepat ke arah Roi dengan kedua-dua tangan bersenjata tajam.
"Oh Roi, kau mahu yang mana? Pisau ke parang?". Zet kemudiannya bersambung ketawa gila. Ayatnya dibahasakan separuh garau dan pelahan tetapi cukup jelas kepada pendengarnya. Sekali-sekala, matanya yang terbeliak itu terkelip dan kelipan itu tidak menghalang keseraman pandangan tajamnya. Roi yang sudah kecut perut hanya dapat membisu. Mahu sahaja dia pengsan dan tidak sedarkan diri agar perasaan takut yang menguasai dirinya itu ghaib sekelip mata. Namun, pengsan atau tidak bukan dalam kawalannya.
"Hehehe, Z Z Zet, ko kau je je jangan gurau lah, ni da dah lelebih dah ni. A aku ta tak boleh main dengan gurau yang sehebat tu la.". Bebola mata Roi bergerak liar tidak mampu bertentangan dengan sumber ketakutan di hadapannya itu. Sekali-sekala, tangannya bergerak-gerak tidak senang. Jantungnya berkompang kencang dan nadi-nadinya juga memainkan irama dampingan yang rentaknya berselang-seri. Peluh sejuk mulai mengalir menitis ke bumi.
"Oh Roi, kenapa ni? Aku tak gurau lah. Kau cakaplah nak mana satu? Aku akan bagi! Hehehe. Aku akan bagi. Jangan takut." Zet kembali melangkah dan kini, gengamannya lebih ketat berbanding tadi. Mata pisau itu digesir-gesir dengan mata parang. Dan bunyi nyiring pun bertahta untuk beberapa saat di bengkel. Kemudiannya, langkahnya kembali berhenti dan mata perak kedua-dua senjata pun dihulur ke arah Roi.
"aku aku Aku tak tak n nak. mmamamaamana mana pun aa aku tak nak, Zet. Kau Kau ja jangan la h buat a aku macam ni!".
"Oh, kau tak nak ya. Tak apa. Aku akan pilih untuk kau dan paksa kau rasa juga. hehehe, hehehehehehe."
Tawa seram itu hanya menambahkan lagi ketakutan Roi. kemudian pisau kecil itu pun di angkat tinggi dan langkahnya pula dimajukan ke arah mangsanya.
"Jangan takut, kau tak akan mati. Aku cuma mahu kau belajar dan berkawan dengan rasa sakit saja. Jangan takut."
Langkahnya berubah rentak. Setiap langkah bertambah lambat dan setiap perkataan bertambah jelas.
"Jangan Zet, Jangan Zet!" Roi yang tidak memiliki apa-apa kemakhiran seni mepertahankan dri itu hanya berbekalkan daging dan tulangnya yang sudah jelas lebih rapuh berbanding senjata tajam yang dipegang Zet.
"Aku tak akan terus tikam kau. Kau kawan aku, macamana aku tak kesian dengan kau? Aku kesian dengan kau." Zet pula menangis seperti seorang yang kematian kawan dan kemudiannya ketawa seperti orang gila!
"Aku hanya akan membuat kau cinta kepada kesakitan! Kau cuma takut kepada kesakitan sahaja bukan? Kalau tak sakit, kau tak akan takut! Tapi kau kawan aku. Kau kawan aku."
Air mata Roi mula membanjiri kelopak matanya. Dalam hatinya, dia hanya memohon keampunan dan pertolongan dari Tuhan agar dirinya tidak diapa-apakan.
"Roi, Zet dah tolong Roi pilih. Zet kata dia nak Pisau. Zet kawan Roi, dan Roi pun nak pisau. Lepas tu, parang pun Zet mau. Jadi Roi ambillah dua dua ya! hehehehe. heheheheheheheh" Ketawa Zet bertambah liar dan gila. Dengan sekelip mata pisau kecil itu pun ditikam ke arah Roi yang sudah terpejam matanya. -----------

Adakah kita takut kerana kesakitan yang bakal kita terima? Adakah kesakitan itu yang akan mendisiplinkan kita? Jika kesakitan itu akan menjadikan diri ini mulia, biarlah kesakitan itu dijadikan ingatan agar diri yang penakut ini bebas dari sebarang dosa yang bakal dilakukan atau sedang dilakukan. Ingat, kesakitan di dunia yang sudah kita takut ini tidak setanding dengan kesakitan yang bakal kita terima di neraka kelak. Tidak kira apa agama kita, hukuman di neraka sentiasa hukuman seburuk-buruk hukuman dan kesakitan yang akan dialami adalah sesakit-sakit kesakitan. Bayangkan bertapa pedihnya apabila kita dilukakan dengan luka yang pernah kita alami. Gandakan kesakitan itu dan bayangkan kesakitannya. Bayangkan apakah rasa sakit yang akan kita alami apabila kita diseksa dengan pelahan-lahan sehingga bboleh mengakibatkan kematian. Dan kita akan takut untuk melakukan dosa kerana kita seharusnya takut kepadanya.

(Sekadar menyeru ilham)