22 April, 2014

Arnab Di Rumah!

Beberapa minggu yang lalu, adalah seekor arnab ini sesat ke bawah kereta jiran. Waktu itu, anak-anak kecil jiran saya itu pun bukan main teruja melihat aksi haiwan kecil yang boleh dikatakan sesuatu yang terlalu jarang muncul di taman perumahan.

Ibu yang kebetulan berada di kawasan luar rumah pun datanlah membantu mengepung dan menangkapnya untuk kanak-kanak itu. Tetapi arnab itu akhirnya berjaya ditangkap oleh ibu mereka selepas arnab itu cuba belari dari kepungan. Memandangkan nenek mereka tidak mengizinkan mereka untuk memeliharanya, arnab itu pun diserahkan kepada ibu. Jadi, rumah kami pun bertambahlah satu lagi ahli!

Berbeza dengan haiwan peliharaan lain, arnab yang ini tidaklah bergitu agrasif. Kalau dicakar sekalipun tidaklah terlalu sakit. Ada juga sekali arnab itu mengigit saya kerana mahu melepaskan diri dari pegangan tangan saya. Namun, jika dibandingkan dengan gigitan kucing, gigitan arnab ini boleh dikatakan kurang sakit. Malahan, kesan gigitan juga tidak muncul! Dari hari pertama sehingga hari ini, tidak sekalipun saya mendengar ia berbunyi. Mungkinkah arnab itu sebenarnya bisu? Arnab peliharaan kami ini juga sangat pemalu. Sekali dilepaskan dari tangan tanpa makanan, arnab itu akan berlari dan menyorok di ruangan yang sempit dan terlindung. Di rumah saya, dua tempat yang sering sahaja arnab ini menyorok ialah di bawah daun pandan dan di celah-celah tembok. Tetapi kalau hujan turun, dua-dua spot ini tidak terlepas daripada siraman air dan arnab pun sebenarnya tak beberapa suka air. Yang lagi kelakar, arnab ini akan terus berada di sana walaupun basah kuyup dimandikan hujan. Oh ya, berdasarkan beberapa bacaan saya di internet, saya mendapati bahawa ada beberapa bahan bahan yang mencadangkan agar tidak memandikan arnab peliharaan kerana bukan sahaja tuannya akan tercedera kerana cakaran dan gigitan arnab tetapi arnab itu juga akan tercedera dalam proses pegelutan untuk melarikan diri dari air. Ternyata secara umumnya, arnab takut kepada air.

Saya percaya semua tahu bahawa arnab suka makan lobak. Tetapi arnab juga makan rumput liar tepi jalan. Arnab kami pula gemar lobak dan pucuk keledek selain rumput liar tepi jalan. Arnab tidak tertarik kepada apa jenis daging dan ini meletakkan haiwan ini dalam kumpulan herbivor atau pemakan tumbuhan sahaja. Untuk pengurusan sisa perkumuhan arnab, ianya tidaklah begitu leceh bagi kami jika dibandingkan dengan anjing dan kucing. Ini kerana najis arnab tidaklah melekek dan bersifat kering. Dengan penyapu sahaja najis pepejal itu dapat di urus. Tetapi, air kencing arnab juga busuk seperti haiwan-haiwan lain.

Salah satu fakta yang menarik berkaitan dengan arnab ialah bulunya yang halus tidak mengundang kutu yang menyerang manusia. Tetapi saya sendiri pun masih tidak pasti sama ada fakta ini tepat atau tidak. Namun, setakat ini, arnab yang ada di rumah kami ini tidak diserang kutu walaupun arnab ini sudah mengembara merata-rata sebelum menjadi haiwan peliharaan kami. Walau bagaimanapun, telinga dan hidung arnab kami sudahpun luka dan dipercayai diserang bakteria atau penyakit. Semasa ibu kali pertama jumpa ia, luka-luka ini sudah pun ada.

Oh ya, lupa tangkap gambar arnab untuk tatapan semua (^.^)

(Sekadar Berkongsi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan