15 April, 2014

Pengalaman Cheng Beng yang pertama!

Buat sulung kalinya, saya berpeluang pergi ke tempat persemadian moyang dan juga atuk semperna sambutan hari Cheng Beng. Sebenarnya, sudah lama saya menanam keinginan untuk pergi ke sana tetapi masa kurang mengizinkan memandangkan saya masih bersekolah selain sebab-sebab lain. Pada tahun ini, saya bertemankan ayah telah bertolak pulang ke kampung kelahiran saya iaitu tempat raja bomoh meneropong Pesawat MH 370 beberapa minggu yang lalu! Perjalanan kami bermula pada petang Sabtu yang lalu dan cuaca pada masa itu juga tidaklah terlalu panas. Sepanjang perjalanan pulang ke Teluk Intan, kami singah sebentar di Sekinchan, iaitu di rumah Mak Saudara saya untuk berehat memandangkan ayah juga berhajat hendak membeli sedikit makanan laut yang sudah terkenal di sana selain keindahan sawah padi yang juga mercu tanda di daerah itu. Kami tiba di Teluk Intan sekitar Jam 5 petang dan mulakan aktiviti pertama kami dengan makan malam yang agak awal. Ternyata makanan di tempat asal ini sentiasa melahirkan nostalgia yang tidak dapat digambarkan.

Setelah sudah, kami pun pulang ke rumah lama, iaitu tempat ayah tinggal semasa zaman budak-budak dahulu. Seperti biasa, kami akan disambut oleh Pak Lang, iaitu satu-satunya penghuni tetap di rumah pusaka itu. Ayah berehat mehilangkan kepenatan sementara saya pula pergi ke rumah sepupu saya yant terletak di belakang rumah itu. Adalah sedikit perkara yang kami sembangkan tetapi tidaklah terlalu serius. Sekitar pukul tujuh setengah, saya dan ayah pergi melawat Pak Long untuk mengajak beliau pergi bersama kami ke Cheng Beng. Boleh dikatakan ayahlah pemandu utama bagi adik-beradiknya untuk pergi ke tempat persemadian moyang dan atuk nenek memandangkan ayah selalu sahaja menawarkan khidmat percuma itu setiap tahun. Setelah sudah, kami pun membeli sedikit makanan untuk "Supper" sebelum tidur untuk acara kami pada awal pagi keesokkan harinya.

Seawal 6:45 pagi, kami telah bangun dan bersedia untuk bertolak. Kereta ayah berisi 4 orang termasuk saya, ayah, Pak Long dan Pak Cik saudara saya yang seorang lagi. Perjalanan kami begitu lancar memandangkan sambutan Cheng Beng sudah tiba di penghujungnya. Kami mulakan destinasi kami dengan melawat kubur Moyang, yang dikatakan atuk kepada atuk saya yang datang dari China dan memulakan hidup di Tanah Melayu. Di situ, kami membersihkan kawasan kubur beliau dan menjalankan beberapa adat istiadat yang diturunkan dari generasi ke generasi khususnya untuk sambutan yang unik ini. Memandangkan kawasan itu sempit dan berbukit bukau, selain penyusunan kubur yang tidak sistematik, saya hanya melihat sahaja ayah dan Pak Cik mengerjakan apa yang sepatutnya dikerjakan. Pada permulaannya, saya sangka tanah perkuburan adalah satu tempat yang seram dan bersepah dan terbiar, tetapi kenyataannya ianya tidaklah begitu. Saya juga membayangkan bahawa tanah perkuburan itu seharusnya berbau memandangkan mayat manusia yang disemadikan akan mereput. Ternyata jangkaan saya itu terlalu jauh berbeza. Saya juga diberi tahu bahawa batu nisan moyang saya itu sudah retak sedikit dan tulisan yang terdapat di atasnya sudah mula pudar dan kabur. Ternyata moyang saya sudah lama disemadikan di sana.

Kemudiannya, kami pun pergi ke pusara atuk dan nenek sebelah ayah. Di sana, saya berpeluang menghulurkan sedikit bantuan kerana tempat itu lebih sistematik dan tersusun selain jalannya yang lebih rata. Saya membantu membersihkan persekitaran batu nisan yang berhabuk bersama ayah manakala Pak Cik saya pula menyalakan liling, menyalakan colok dan menaburkan kertas untuk menghiasi kubur itu. Saya berpeluang melihat wajah Atuk dan Nenek dalam gambar hitam putih yang terlekat kemas pada batu nisan mereka. Seterusnya, kami pun pergi bersarapan bersama sebelum ayah menghantar Pak Cik saya pulang dan bertolak ke rumah saya di Puchong Selangor. Kami singgah sebentar di Sekinchan untuk mendapatkan barang yang ayah tempah hari sebelumnya.

Sepanjang perjalanan kali ini, saya berasa bersyukur kerana saya masih diberi peluang melawat tempat persemadian atuk, nenek dan Moyang saya. Apa yang lebih hebat, saya adalah generasi yang ke lima untuk pergi melawat kubur Moyang saya! Dan ini membuatkan saya berasa terlalu bangga. Mungkin Moyang saya pun dah tak tahu cicik siapa saya ni, tetapi ini bukan sesuatu yang penting pun. Yang paling penting, saya berpeluang melihat sendiri dan berada benar-benar dekat dengan tempat persemadian beliau! Mudah-mudahan, saya akan diberi peluang untuk pergi ke sana!

(Sekadar berkongsi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan