12 Oktober, 2011

Jawapan pantun teka-teki

Adakah jawapan anda sama seperti yang telah saya cadangan di sini?

Bijak bestari lagi fatanah,
ilmu isap mengalahkan pendita.
Soal bahasa dijawabnya usah,
kalau tahu apa alatnya.
(Kalkulator)
Sebenarnya, alat ini sangat pantas mengira sehingga mengalahkan manusia yang berpangkat prof walaupun alat ini dicipta oleh manusia sendiri. "Soal bahasa dijawabnya usah" bermaksud alat ini tidak menjawab apa-apa soalan yang berkaitan dengan bahasa walaupun pakar dan pantas dalam pengiraan.

Jatuh menyembah ertinya hina,
terbit tinggi mulia negeri.
Jikalau tuan pencinta negara,
jawaplah soalan pemantun ini.
(Bendera)
Seperti yang kita tahu, bendera adalah salah satu lambang negara. Sekiranya bendera dikibarkan tinggi-tinggi, maka bererti mulialah negerinya. Sebaliknya, bendera itu dipijak-pijak atau dijatuhkan ke bumi, maka perbuatan itu dikatakan menghina negeri tersebut.

Adapun ciptaan yang Maha penyayang,
kebalnya mengalahkan tulang dan besi.
Tidak lut keris sang hulubalang,
tekalah teman batu sejati.
(Batu belian)
Batu ini merupakan bahan yang paling keras di bumi. Siapa penciptanya?

Bergigi enam sang jentera,
dimamah kertas tak pernah puas.
Adapun keras tubuh perkasa,
cubalah teka sejenis perkakas.
(Brailler)


Alat ini merupakan mesin menulis bagi orang buta. Alat ini diperbuat daripada besi. Jadi, saya telah masukan perkataan "Gagah" dalam pantun saya. Untuk pengetahuan, alat ini hanya mempunyai 6 titik untuk membentuk huruf, simbul, singkataan suku kata dan penanda wacana.

Tersebutlah sebuah negeri,
terlalu maju ilmu pengetahuan.
Adapun negeri tidak bertepi,
tekalah medium kepelbagaian.
(Internet) Bolehkah kita mengukur keluasan internet dalam km persegi? Internet akan menjadi sumber mencari maklumat selain berfungsi sebagai laman sosial, perniagaan dan macam-macam lagi pada peringkat global.

Panas sejuk bukan masalah,
bila disuruh buat sahaja.
Selera makan sangat dasyatlah,
apakah jentera penhancur dunia.
(Alat pendingin hawa)
Alat ini merupakan alat yang boleh menghasilkan udara sejuk. Tetapi jangan lupa bahawa enjen yang dipasang di luar primis turut menghasilkan udara panas! Pembebasan gas CFC pula merupakan elemen "penhancur dunia" kerana CFC akan menghapuskan ikatan 3 atom oksigen di lapisan Ozon. Lapisan yang menipis ini akan memberikan peluang sinaran UV masuk dengan berleluarsa!

Tersebutlah air harum kasturi,
menjadi teman orang bergaya.
Topeng kepada orang takmandi,
tekalah bahan pemikat jelita.
(Minyak wangi)
Sudah tentulah jawapan ini mudah untuk diteka.

Sudah puas teman meneka,
sudah tentu mahu jawapan.
Pintu apa yang masih terbuka,
untuk orang kembali beriman.
(Pintu taubat)
Seperti apa yang saya tahu, pintu taubat akan ditutup pada hari kiamat. Pintu ini sentiasa terbuka untuk umat manusia insaf dan terus menjauhi perbuatan keji yang diinsafkan itu.
Inilah antara jawapan yang saya cadangkan. Kalau ada yang lebih kurang dengannya, sudah tentu boleh diterima. Berjayakah anda menjawab semuanya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan