Semalam, sedang saya tekun membasuh pakaian, saya telah didatangi seorang pelajar yang ingin membasuh pakaian juga. Walau bagaimanapun, saya tidak tahu siapakah dia yang sebenarnya walaupun semua pelajar di sekolah saya telah saya kenali. Dia juga tidak memberikan sebarang klu kepada saya untuk meneka. Jadi, saya hanya terus terdiam sahaja begitu juga dia. Setelah diperhatikan lama, saya perasan bahawa dia adalah Ahmad Danial, salah seorang rakan pengendalian blog golongan OKU seperti saya. Tetapi, saya takut juga kalau-kalau orang lain. Malulah saya. Saya mengambil keputusan untuk terus mendiamkan diri.
Dalam tempoh itu, bunyi berus kami sahaja yang bertarung dalam kamar basah tersebut. Saya terus berfikir jika saya terus mendiamkan diri, sudah tentu saya tidak bercakap dengan siapa-siapa dan terus membasuh pakaian dengan melayan fikiran sendiri sahaja. Sebelum saya sempat mengambil keputusan untuk menegur Ahmad yang tidak saya pasti, dia sudah terlebih dahulu menegur saya kerana mengenali suara yang terlepas dari peti suara saya. Ternyatalah dia Ahmad Danial. Seterusnya, perbualan kami terus rancak sambil mengerjakan pakaian kotor masing-masing.
Melalui peristiwa ini, saya telah dapat melihat dengan jelas tentang sesuatu perkara. Perkara yang dimaksudkan ialah sekiranya kita tidak mahu untuk mencuba, maka kita tidak akan tahu. Mungkin sekali, kita akan dapat mencuba sesuatu yang sebenarnya sangat sesuai dengan kita jika kita melonggarkan sempadan diri kita. Siapa tahu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan