27 Mei, 2014

Perpaduan Malaysia yang Sentiasa Retak Berdarah.

Belum lagi diserang musuh, kita sudah berterabur, bertengkar dan berkonflik sesama sendiri.  Inilah yang dikatakan Perpaduan Malaysia!  Saya tidak tahu dan tidak faham, dan tidak dapat faham mengapa ada fahaman yang "pathetic" seperti ini sedangkan masalah ini tidak seharusnya menjadi satu persoalan.  Setelah Pasukan Malaysia mencipta sejarah dalam Piala Thomas baru-baru ini, perpaduan Malaysian yang rapuh dihempas pula oleh mereka yang kononnya bercakap benar dan digelar "bakal lagenda" yang akan mempertahankan kewibawaan kaum.  Ini semangat Ethnosentisme!  Ethnosentisme yang tidak boleh dinafikan sebagai virus yang sudah berdekad di Tanah bertuah ini dan tanah-tanah lain di luar sana.

Pertamanya, Ustaz Dr. Ridwan Tee Abdullah, seorang pemikir yang berilmu dan berpendidikan tinggi, yang sepatutnya menjadi pendidik dan model yang baik kepada rakyat Malaysia telah mengeluarkan pandangan beliau tentang "kebenaran", dimana semangat petiotisme (Malaysian Chinese) hanya sekadar tertumpu kepada kaum (Malaysian Chinese) dan bukannya semangat yang tulin.  Hasil pembacaan saya melalui potongan kata beliau di beberapa buah akhbar, saya tidak ada pilihan selain mentafsirkan bahawa "sokongan kepada Melayu" adalah kayu pengukur semangat petriotisme memandangkan beliau secara tersiratnya menyatakan (Malaysian Chinese) akan menyokong Lin Dan, (Chinese from China) sekiranya terdapatnya pertembungan antara Jaguh Melayu seperti Taufik Hidayat, (Malay from Indonesia).  Atau adakah Taufik Hidayat itu seorang (Malaysian Malay)?  Walaupun tujuan ideologi separuh sempurna beliau sebagai seorang cendekiawan yang jauh lebih terpuji daripada seorang pelajar ijazah seperti saya ini adalah untuk menyedarkan Malaysia tentang sesuatu kebenaran yang tidak saya fahami (kerana saya masih terlalu jahil untuk memahaminya), beliau telah memesongkan fahaman saya bahawa petriotisme itu adalah semangat perkauman.  Mungkin ilmu tak mantab saya yang menjadikan saya terpesong kut.  Merdeka, Merdeka, Merdeka!!!

Keduanya, berdasarkan penilitian saya di beberapa komen akhbar, ramai (bukan semua) yang berpendapat bahawa pasukan badminton Negara yang kesemuanya CINA itu jelas menunjukkan "Kroniogi" (istilah yang saya reka mengantikan kroni).  Saya tidak tahu mengapa mereka boleh berfikir bahawa pemilihan 5 orang CINA itu menunjukkan PENGHINAAN kepada (Malaysian Malays).  Sedangkan Dr Ridwan Tee pun setuju bahawa fakta permukaan tidak memberikan apa-apa nilai yang tepat menerusi hujahnya yang menyatakan bahawa 'pembinaan gerija, kuil Hindu,  tok kong Buddha dan lain-lain... bersebelahan dengan Masjid itu tidak mewakili apa-apa kerana masing-masing mempunyai curiga dan masalah dalaman'.  Jadi, adakah mereka yang semuanya Cina (fakta permukaan) ini mewakili pemikiran dalaman?  Oh ya, kerana sengaja tunjuk CINA itu bagus dan Melayu itu tak bagus main Badminton!  Itulah perasaan dalaman yang cuba digambarkan!  Sekarang siapa yang mempunyai rasa curiga dan masalah dalaman?  Siapa yang berfikir sedemikian?  Sekiranya tiada kecurigaan, keahlian pasukan negara ini tidak akan wujud sebagai satu persoalan.  Jadi siapa yang ada kecurigaan sekarang?  Oh ya, mungkin ini sandiwara Cina untuk bermain atau mempermainkanMelayu, Begitukah?  Seronok kah?  Puaskah?  Kedaulatan kaum berjaya dipertahankankah?  Atau harus kaum itu dihapuskan dari muka bumi ini baru puas?  Merdeka, Merdeka, Merdeka!!!

Mengapa harus ada pemikiran yang sempit seperti ini?  Ini kerana kita semua hidup dalam dunia kita.  Kita tidak mahu menerima mereka yang lain dan kita juga tidak sudi menerima pun.  Kita dibezakan dengan budaya dan agama.  Kita juga dibezakan dengan pemikiran dan corak social.  Kita juga terbatas kepada ciri-ciri fizikal kaum kita sendiri dan sekali gus menjadikan kita rusa di kampung.  Yang lebih teruk lagi, kita tidak mahu berubah kerana perubahan itu adalah agenda buruk yang cuba dibawa pihak lain yang berkepentingan, dan mereka ini sentiasa sahaja cuba memanipulasi kita.  Sekali lagi, kita adalah mangsa.  Mangsa, mangsa, mangsa, mangsa, mangsa!  Merdeka!

Dahulunya, saya diajar bahawa Malaysia unik kerana kepelbagaian budaya.  Dan sekarang, saya berasa kepelbagaian ini hanyalah beban dan propaganda untuk menarik perlancong luar untuk meraih keuntungan dan membina ekonomi yang stabil untuk negara.  Sudah bertahun-tahun semangat perpaduan cuba diterapkan tetapi perpaduan itu sebenarnya tidak boleh dipupuk kerana tiada yang benar-benar menghayatinya.  13 May bukannya sejarah tetapi satu hakikat yang tidak dapat diubah.  Kerana Rakyat Malaysia tidak mungkin dipadukan.

Mahu contoh?  Pembuat polisi perpaduan adalah mereka yang terpisah.  Mengapa pilih calon yang sama kaum dengan pengundi mejoriti semasa pilihan raya?  Mengapa dalam setiap kempen politik, isu-isu yang berkaitan dengan kaum dan agama dibangkitkan?  Itulah cara yang paling senang untuk menang undi dan terus berkuasa, dan itu juga yang digunakan oleh parti pembankang untuk menggulingkan kerajaan dan itu juga cara Adolf Hitler menyatukan dan menyemarakkan semangat Orang German untuk berperang di Perang Dunia Ke-2.  Kalau ceramah yang tak ada pedas, masin dan masam yang optimum, siapa yang nak datang dengar dengan penuh perhatian?  Kerana kita gemar mendengar keburukan dan ini adalah LAW, bukan Hipotesis, bukan Model, Bukan Theory dan Konsep tetapi LAW sejagat.

Suatu ketika dahulu, Orang Barat mengeluarkan istilah "Beban Barat" untuk menyebarkan ketamadunan kepada bumi Timur.  Dan sekarang, saya berasa saya harus keluarkan istilah "Beban Manusia" kerana berakal dan terlalu bijak sehinggakan kemanusiaan yang paling asal pun diabaikan.  Seperti keadaan di zaman perang saraf dahulu.  Blok Kapitalis dan Blok Socialis menghabiskan banyak masa untuk mencipta senjata yang lebih canggih.  Kerana apa?  Kerana mereka bersyakwasangka antara satu dengan yang lain.  Mereka tidak mahu dimangsakan.  Mengapa harus ada senjata cangih?  Kerana ianya adalah untuk mempertahankan negara kita semasa perang.  Apabila kita sudah canggih, orang lain pula berasa mereka sudah menjadi mangsa, lantas mereka pun mencanggihkan senjata mereka juga agar kedaulatan mereka akan terjamin jika berlaku apa-apa.  Kitaran ini akan berlaku tanpa henti kerana takut, kerana istilah "mangsa".

Sekiranya kita semua masih seorang kanak-kanak, kita bercampur dengan sesiapa sahaja tanpa ada rasa curiga.  Kita iklas.  Kita tulen.  Kita tidak berasa kita akan dimangsakan begitu juga dengan mereka.  Tetapi apabila orang dewasa melihat anak-anak mereka bermain dengan mereka yang beraneka jenis itu, mereka pun menarik anak-anak mereka pergi dan mendidik mereka bahawa "mereka itu bukan kawan kita".  Satu generasi demi satu generasi perkara ini diwasiatkan dan ini pun menjadi satu corak.  Bertambah dengan rasa bangga kepada kaum sendiri, semangat ini bertambah hebat.  Ditambah pula dengan minyak kebencian kerana istilah "mangsa", mereka pun berpecah walaupun seakan-akan sepadu.

Mungkin anda berasa tulisan saya ini bias, atau saya harus katakan bahawa anda memang rasa saya bais kerana saya Cina dan saya menulis untuk membela Cina.  Itulah yang akan kita fikir sampai kiamat pun tak habis.  Ya, Ya, Saya CINA.  SAYA "BIAS" BEGITU JUGA KAMU!  Gembirakah kalau begitu?  Kita semua gemar timbulkan persoalan yang tidak seharusnya menjadi soalan. 

Saya sayang Malaysia dan Saya Bangga Sebagai Rakyat Malaysia.  Tetapi kebanggaan ini sudah mula bertukar menjadi kekeciwaan apabila saya sedar bahawa Malaysia tidak seindah fakta tersurat.  Sekiranya tulisan ini melukakan hati anda, saya faham kerana hati saya juga sangat-sangat terluka (bukan kerana Cina tidak diberi hak sama rata di Malaysia).  Saya mempunyai ramai sahabat Melayu dan India di sekolah menengah.  Mereka tinggal seasrama, malah sebilik dengan saya.  Kami berkongsi tawa, tangis, makan, dan minum.  Kami kongsi pendapat dan perasaan dan perbezaan kami tidak pernah mencairkan perpaduan kami.  Mungkin itulah Malaysia seperti mana yang digambarkan dalam tulisan, dengan keunikan kepelbagaian dan perpaduan yang sejati.  Malang, itu hanya akan berlaku di SMPK Setapak, tempat yang saya kira paling seronok untuk tinggal sebagai seorang yang berbangsa Malaysia. 

(Sekadar Tulisan)

23 Mei, 2014

Koleksi Ayat dan "Quotation"

Amaran, tulisan ini mungkin tidak beberapa disenangi anda jika dibaca; dan mengandungi element yang boleh menyingung perasaan (walaupun bukan niat dan tujuan penulis untuk menerbitkan entry ini).  Sekiranya anda berasa anda tidak boleh menerimanya, jutaan kemaafan dipinta.

"Kami harus pertahankan agama kami."
"Mengapa harus kami tunduk kepada mereka yang sesat itu?"
"Jelas sekali ini adalah agenda Mereka untuk menjatuhkan kami."
"Mereka sentiasa mencuba untuk mengancam kami dan haruslah kita pertahankan hak kita sendiri."
"Haruslah kita pertahankan Bangsa, Agama dan Negara kami dan ini juga sudah diseru oleh agama kami."
"Kami sayang akan agama dan tanah air kami."
"Kami tidak perlu berpura-pura baik dengan mereka kerana kami tidak pandai berpura-pura dan ini bukannya kami yang sebenar."
"Kami juga tidak mahu mengkhianati bangsa dan agama kami dengan menyokong, mahupun bersahabat, dan berdiri satu aliran bersama mereka."
"Kami tidak akan berundur kerana berundur akan menjadikan mereka bertindak lebih melampau dan tolak kita berundur-undur."
"Kami keras kepala? Kami tidak bertolak ansur? Kami berfikiran sempit? Tetapi Mereka yang memanipulasikan nilai-nilai ini untuk mengancam kami! Dan  Kami berada di jalan yang benar.  Untuk apa mereka mahu kami bertolak ansur dengan kesesatan mereka?  Kami berani kerana benar dan kebenaran akan memenangi segala-galanya."
"Mereka meletakkan kami dalam golongan yang seakan-akan kurang bertamadun dan bersifat samsing dan mereka pula menjelma dengan imej yang bagus, sempurna, rasional, liberal dan macam-macam lagi dengan kawalan media."
"Kami bersalah?  Kami yang jahat?  Kami sebenarnya mangsa yang ditindas!"
"Penipuan dunia."
"Tidak mungkin kami akan berdiam diri."
"Kami bukan  mereka yang mudah rebah dan mengalah dengan cabaran kerana Tuhan bersama kami."

Manusia dikurniakan akal.  Fikir-fikirkanlah.
Saya tidak berniat untuk melukakan hati sesiapapun, dan jauh sekali saya hendak menghina mana-mana pihak, dan terlalu jauh untuk saya mengkritik ajaran mana-mana agama yang diturunkan oleh Tuhan.  Tulisan ini hanya koleksi ideologi yang saya dapat perhatikan di mana-mana sahaja, sama-ada di media mahupun dalam masyarakat Malaysia sendiri.  Koleksi ayat-ayat ini juga bertujuan untuk tatapan semata-mata dan pertimbangan semata-mata dan bukan digunakan untuk "terasa", "marah" dan "bercelaka sini, bercelaka sana".  Dan hendak saya tegaskan sekali lagi bahawa koleksi ayat-ayat ini bersifat merdeka dan tidak digunakan untuk niat serung seperti mempertikaikan atau mengkritik cara halus, memperkecilkan atau menyindir, atau mengburukan dan mencemarkan, atau apa-apa niat buruk yang dapat difikir, dirasa dan dikaitkan.  Sekiranya anda berasa anda tidak selesa membaca tulisan ini, anda tersinggung dan anda mempunyai apa-apa sahaja emosi negatif hasil pembacaan tulisan ini, saya disini meminta ampun dan maaf atas tulisan saya yang tidak disenangi ini.  Tetapi bukan niat saya untuk merosakkan mood anda.  Saya tidak berniat sebegitu.

(Sekadar Berkongsi)

18 Mei, 2014

Pendirian

Sedang mereka kata dirinya benar, mereka yang lain juga berkata sedemikian. Sekali keraguan menguasai, pendirian yang tidak kuat akan diangkat terbang. Jadi, mereka yang yakin dengan kebenaran pendirian mereka akan menjadi pendirian yang paling kukuh. Menyedari bahawa kebenaran tidak akan begelar kebenaran tanpa bukti, maka bukti pun menjadi alasan untuk terus kekal berdiri mempertahankan pendirian itu.

Tetapi, pendirian tanpa bukti juga ada kerana mereka percaya pendirian mereka itu benar. Pendirian seperti ini tidaklah bersalah kerana mungkin itulah pendirian yang padanya bukanlah pendirian yang salah. Selagi tidak hilang keyakinan, selagi itulah pendirian tersebut tidak dapat digerak ribut taufan. Inilah pendirian bertiangkan kepercayaan.

Mereka yang kuat pendiriannya mungkin bertindak balas dengan ketidakseronokan dan ketidakpuasan hanya kerana pendirian yang lain tidaklah selari dengan arus mereka. Jadilah percangahan dan perebutan. Jadilah pergaduhan dan peperangan. Jadilah pemusnah keamanan. Kenapa tidak bertolak ansur? Kenapa tidak mahu bergostan? Ramai berkata ego manusia tetapi ianya tidak sepenuhnya begitu. Memandangkan mereka hanya yakin dengan pendirian mereka sendiri, pendirian orang lain tidak mereka yakini. Kerana pendirian mereka yang lain bukanlah saudara mereka, bukan sahabat mereka dan berkemungkinan pembunuh mereka. Siapa yang mahu percaya orang luar jika adanya keluarga sendiri? Apatah lagi keluarga sendiri itulah yang tidak pernah mengancam kita? Itulah ibaratnya mempercayai pendirian diri sendiri dan melawan pendirian orang lain. Oleh yang demikian, bukanlah faktor keegoan semata-mata tetapi juga faktor lain seperti ketakutan dan sifat berwaspada untuk melindungi keselamatan diri. Faktor yang lain termasuk kepentingan. Kepentingan juga ibarat tiang pondok pendirian. Pendirian yang bertiangkan kepentingan sukar dihuyung-hayang selagi kepentingan yang lebih bernilai datang berganti. Kepentingan yang bercanggah dengan kepentingan lain mencetuskan konflik; dan perkelahian pun diseru datang. Inilah kehebatan pendirian yang kukuh terbina. Tetapi pendirian yang bagai lalang ditiup angin tidak juga berfaedah dan hanya menyumbang kekosongan kepada dunia keamanan tanpa pertelingkahan. Pendirian ini tidak boleh diharap, dan pendirian ini menghanyutkan kejayaan ke tengah-tengah lautan Pasifik sehingga batang hidung sekecil virus pun tiada kelihatan. Ini kerana pendirian yang cukup mantap/kuat/keras/degil sahaja yang akan menjadi pendirian terulung walaupun mungkin pendirian yang kuat itu bukanlah kebenaran yang sebenar-benarnya.

Inilah kisah pendirian yang berputar belit dan tidak ada jawapan mutlaknya.

(Sekadar Pendapat)

22 April, 2014

Arnab Di Rumah!

Beberapa minggu yang lalu, adalah seekor arnab ini sesat ke bawah kereta jiran. Waktu itu, anak-anak kecil jiran saya itu pun bukan main teruja melihat aksi haiwan kecil yang boleh dikatakan sesuatu yang terlalu jarang muncul di taman perumahan.

Ibu yang kebetulan berada di kawasan luar rumah pun datanlah membantu mengepung dan menangkapnya untuk kanak-kanak itu. Tetapi arnab itu akhirnya berjaya ditangkap oleh ibu mereka selepas arnab itu cuba belari dari kepungan. Memandangkan nenek mereka tidak mengizinkan mereka untuk memeliharanya, arnab itu pun diserahkan kepada ibu. Jadi, rumah kami pun bertambahlah satu lagi ahli!

Berbeza dengan haiwan peliharaan lain, arnab yang ini tidaklah bergitu agrasif. Kalau dicakar sekalipun tidaklah terlalu sakit. Ada juga sekali arnab itu mengigit saya kerana mahu melepaskan diri dari pegangan tangan saya. Namun, jika dibandingkan dengan gigitan kucing, gigitan arnab ini boleh dikatakan kurang sakit. Malahan, kesan gigitan juga tidak muncul! Dari hari pertama sehingga hari ini, tidak sekalipun saya mendengar ia berbunyi. Mungkinkah arnab itu sebenarnya bisu? Arnab peliharaan kami ini juga sangat pemalu. Sekali dilepaskan dari tangan tanpa makanan, arnab itu akan berlari dan menyorok di ruangan yang sempit dan terlindung. Di rumah saya, dua tempat yang sering sahaja arnab ini menyorok ialah di bawah daun pandan dan di celah-celah tembok. Tetapi kalau hujan turun, dua-dua spot ini tidak terlepas daripada siraman air dan arnab pun sebenarnya tak beberapa suka air. Yang lagi kelakar, arnab ini akan terus berada di sana walaupun basah kuyup dimandikan hujan. Oh ya, berdasarkan beberapa bacaan saya di internet, saya mendapati bahawa ada beberapa bahan bahan yang mencadangkan agar tidak memandikan arnab peliharaan kerana bukan sahaja tuannya akan tercedera kerana cakaran dan gigitan arnab tetapi arnab itu juga akan tercedera dalam proses pegelutan untuk melarikan diri dari air. Ternyata secara umumnya, arnab takut kepada air.

Saya percaya semua tahu bahawa arnab suka makan lobak. Tetapi arnab juga makan rumput liar tepi jalan. Arnab kami pula gemar lobak dan pucuk keledek selain rumput liar tepi jalan. Arnab tidak tertarik kepada apa jenis daging dan ini meletakkan haiwan ini dalam kumpulan herbivor atau pemakan tumbuhan sahaja. Untuk pengurusan sisa perkumuhan arnab, ianya tidaklah begitu leceh bagi kami jika dibandingkan dengan anjing dan kucing. Ini kerana najis arnab tidaklah melekek dan bersifat kering. Dengan penyapu sahaja najis pepejal itu dapat di urus. Tetapi, air kencing arnab juga busuk seperti haiwan-haiwan lain.

Salah satu fakta yang menarik berkaitan dengan arnab ialah bulunya yang halus tidak mengundang kutu yang menyerang manusia. Tetapi saya sendiri pun masih tidak pasti sama ada fakta ini tepat atau tidak. Namun, setakat ini, arnab yang ada di rumah kami ini tidak diserang kutu walaupun arnab ini sudah mengembara merata-rata sebelum menjadi haiwan peliharaan kami. Walau bagaimanapun, telinga dan hidung arnab kami sudahpun luka dan dipercayai diserang bakteria atau penyakit. Semasa ibu kali pertama jumpa ia, luka-luka ini sudah pun ada.

Oh ya, lupa tangkap gambar arnab untuk tatapan semua (^.^)

(Sekadar Berkongsi)

15 April, 2014

Pengalaman Cheng Beng yang pertama!

Buat sulung kalinya, saya berpeluang pergi ke tempat persemadian moyang dan juga atuk semperna sambutan hari Cheng Beng. Sebenarnya, sudah lama saya menanam keinginan untuk pergi ke sana tetapi masa kurang mengizinkan memandangkan saya masih bersekolah selain sebab-sebab lain. Pada tahun ini, saya bertemankan ayah telah bertolak pulang ke kampung kelahiran saya iaitu tempat raja bomoh meneropong Pesawat MH 370 beberapa minggu yang lalu! Perjalanan kami bermula pada petang Sabtu yang lalu dan cuaca pada masa itu juga tidaklah terlalu panas. Sepanjang perjalanan pulang ke Teluk Intan, kami singah sebentar di Sekinchan, iaitu di rumah Mak Saudara saya untuk berehat memandangkan ayah juga berhajat hendak membeli sedikit makanan laut yang sudah terkenal di sana selain keindahan sawah padi yang juga mercu tanda di daerah itu. Kami tiba di Teluk Intan sekitar Jam 5 petang dan mulakan aktiviti pertama kami dengan makan malam yang agak awal. Ternyata makanan di tempat asal ini sentiasa melahirkan nostalgia yang tidak dapat digambarkan.

Setelah sudah, kami pun pulang ke rumah lama, iaitu tempat ayah tinggal semasa zaman budak-budak dahulu. Seperti biasa, kami akan disambut oleh Pak Lang, iaitu satu-satunya penghuni tetap di rumah pusaka itu. Ayah berehat mehilangkan kepenatan sementara saya pula pergi ke rumah sepupu saya yant terletak di belakang rumah itu. Adalah sedikit perkara yang kami sembangkan tetapi tidaklah terlalu serius. Sekitar pukul tujuh setengah, saya dan ayah pergi melawat Pak Long untuk mengajak beliau pergi bersama kami ke Cheng Beng. Boleh dikatakan ayahlah pemandu utama bagi adik-beradiknya untuk pergi ke tempat persemadian moyang dan atuk nenek memandangkan ayah selalu sahaja menawarkan khidmat percuma itu setiap tahun. Setelah sudah, kami pun membeli sedikit makanan untuk "Supper" sebelum tidur untuk acara kami pada awal pagi keesokkan harinya.

Seawal 6:45 pagi, kami telah bangun dan bersedia untuk bertolak. Kereta ayah berisi 4 orang termasuk saya, ayah, Pak Long dan Pak Cik saudara saya yang seorang lagi. Perjalanan kami begitu lancar memandangkan sambutan Cheng Beng sudah tiba di penghujungnya. Kami mulakan destinasi kami dengan melawat kubur Moyang, yang dikatakan atuk kepada atuk saya yang datang dari China dan memulakan hidup di Tanah Melayu. Di situ, kami membersihkan kawasan kubur beliau dan menjalankan beberapa adat istiadat yang diturunkan dari generasi ke generasi khususnya untuk sambutan yang unik ini. Memandangkan kawasan itu sempit dan berbukit bukau, selain penyusunan kubur yang tidak sistematik, saya hanya melihat sahaja ayah dan Pak Cik mengerjakan apa yang sepatutnya dikerjakan. Pada permulaannya, saya sangka tanah perkuburan adalah satu tempat yang seram dan bersepah dan terbiar, tetapi kenyataannya ianya tidaklah begitu. Saya juga membayangkan bahawa tanah perkuburan itu seharusnya berbau memandangkan mayat manusia yang disemadikan akan mereput. Ternyata jangkaan saya itu terlalu jauh berbeza. Saya juga diberi tahu bahawa batu nisan moyang saya itu sudah retak sedikit dan tulisan yang terdapat di atasnya sudah mula pudar dan kabur. Ternyata moyang saya sudah lama disemadikan di sana.

Kemudiannya, kami pun pergi ke pusara atuk dan nenek sebelah ayah. Di sana, saya berpeluang menghulurkan sedikit bantuan kerana tempat itu lebih sistematik dan tersusun selain jalannya yang lebih rata. Saya membantu membersihkan persekitaran batu nisan yang berhabuk bersama ayah manakala Pak Cik saya pula menyalakan liling, menyalakan colok dan menaburkan kertas untuk menghiasi kubur itu. Saya berpeluang melihat wajah Atuk dan Nenek dalam gambar hitam putih yang terlekat kemas pada batu nisan mereka. Seterusnya, kami pun pergi bersarapan bersama sebelum ayah menghantar Pak Cik saya pulang dan bertolak ke rumah saya di Puchong Selangor. Kami singgah sebentar di Sekinchan untuk mendapatkan barang yang ayah tempah hari sebelumnya.

Sepanjang perjalanan kali ini, saya berasa bersyukur kerana saya masih diberi peluang melawat tempat persemadian atuk, nenek dan Moyang saya. Apa yang lebih hebat, saya adalah generasi yang ke lima untuk pergi melawat kubur Moyang saya! Dan ini membuatkan saya berasa terlalu bangga. Mungkin Moyang saya pun dah tak tahu cicik siapa saya ni, tetapi ini bukan sesuatu yang penting pun. Yang paling penting, saya berpeluang melihat sendiri dan berada benar-benar dekat dengan tempat persemadian beliau! Mudah-mudahan, saya akan diberi peluang untuk pergi ke sana!

(Sekadar berkongsi)

09 April, 2014

Kekurangan

Sedar tidak sedar, deploma telah pun berlalu dan kini saya ditinggalkan dengan kuasa untuk memilih jalan dalam meneruskan pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi. Terlalu sukar untuk saya mengambil keputusan teruskan degree dalam Perhubungan Awam atau tidak. Sekiranya diteruskan, saya bakal berhadapan dengan beberapa cabaran yang hebat kerana subjek-subjek yang ditawarkan memerlukan penggunaan mata.

Setahun yang lalu, semasa saya memberi kerja sama kepada seorang senior yang membuat kerja kursus berkaitan dengan OKU kategori penglihatan terhad, saya dengan penuh bersemangat memberi tahu bahawa "OKU boleh melakukan perkara-perkara seperti mana yang dapat dilakukan insan biasa". Apabila berfikir kembali tentangnya, saya mula berasa yang saya ini masih budak mentah yang masih tidak jelas akan betapa tingginya langit. Sepanjang hidup saya, sudah terlalu ramai yang telah memberi motivasi dan kata-kata semangat yang berbunyi seperti "kecacatan bukan penghalang" atau mana-mana yang serupa maknanya dalam banyak jenis bahasa. Mungkin sebab itulah saya juga menggunakannya kembali apabila diminta menyumbang maklumat kepada Kerja Kursus Senior itu. Sebenarnya, saya pun berasa saya akan bercakap seperti itu apabila memberikan motivasi kepada rakan senasib. Mungkin sebab inilah ayat pertama yang muncul.

Kenyataannya, kekurangan ini mula saya rasai selepas saya mengambil Deploma di TAR University College. Kekurangan ini bukan sahaja menghadkan pilihan saya. Kemampuan saya dalam banyak perkara juga menjadi sukar berkali ganda. Semenjak kecil lagi, saya tidak berasa diri saya ini kekurangan. Walaupun saya tidak dapat bermain kebanyakkan permainan video, menonton secara live aksi serang menyerang di padang bola sepak, melihat aksi hebat Dato Lee Chong Wei, boleh nampak dan berjalan-jalan pada waktu malam seperti mana adik, mak, ayah, jiran-jiran dan yang lain-lain, saya tidak rasa kekurangan. Tetapi bukan lagi setelah saya mengenali kepentingan "mata" dalam dunia pekerjaan. Namun, kekurangan ini tidak ada kaitan dengan kedua-dua orang tua saya yang sudah cukup penat membesarkan saya. Sebaliknya, saya mungkin tidak boleh membalas jasa mereka dengan mencari sebuah kerja yang menjanjikan "survival" saya sendiri.

Setiap kali saya memikirkan kekurangan ini, perasaan saya bercampur aduk. Antara gembira dengan sedih. Antara bangga dengan kecewa. Gembira kerana saya boleh membanggakan kedua-dua orang tua saya. Sedih kerana saya juga salah satu sumber masalah yang bermain dalam fikiran mereka. Bangga kepada diri saya kerana saya masih boleh melanjutkan pelajaran saya sehingga tahap ini. Kecewa kerana saya tidak mempunyai kemampuan dalam banyak perkara.

Setiap kali saya mula berfikir ke arah yang negatif, saya mula merawat fikiran itu dengan menambahkan nilai positif dalam fikiran itu. Nak tak nak, guna jugalah ayat motivasi yang sudah terlalu banyak kali diperkatakan iaitu "Kecacatan bukan Penghalang". Tetapi, kenyataan tetap kenyataan dan saya harus belajar untuk mengubahsuai diri dan mencari akal untuk terus bermain dalam rentak sejagat yang dimainkan semua. Oh ya, satu lagi cara untuk saya merawat pemikiran yang negatif itu ialah dengan membandingkan saya dengan mereka yang lebih bernasib malang. Mungkin ini fitrah manusia yang akan berasa diri mereka lebih bernilai apabila mereka mengetahui mereka sudah sangat-sangat beruntung berbanding orang lain. Kadang-kala, saya juga memberi motivasi kepada diri saya bahawa saya mempunyai keunikan yang tersendiri. Keunikan yang tidak terdapat pada sesiapa pun. Jadi, syok sendirilah!

Walau apa pun yang terjadi, kenyataan ini tetap kenyataan. Kekurangan tetap kekurangan dan saya sudah boleh menerimanya dari awal lagi. Dengan dilihirkan dengan keadaan sebegini, saya sudah jauh lebih beruntung jika dibandingkan dengan mereka yang kehilangannya. Cuma saya perlu berusaha dengan lebih gigih, itu sahaja. Hmm, Mungkin saya masih belum benar-benar memahami erti sebenar potongan kata "kecacatan bukan penghalang"

(Sekadar luahan hati)

Takut Kepada Kesakitan?

AMARAN!!

1. tulisan ini mengandungi sedikit elemen keseraman.

2. Kesemua watak dalam kisah ini tiada kaitan dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah mati, dan persamaan nama hanya bersifat kebetulan semata-mata.

3. Pandangan yang dihasilkan hanya pandangan semata-mata dan MejaLogam dan penulisnya tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami pembaca hasil daripada pembacaan tulisan ini.

"Sudah lama aku menunggu hari ini! Sudah terlalu lama!". Seakan-akan orang gila lakunya apabila disebut dengan intonasi gembira bercampur pilu. Pandangan matanya yang sukar digambarkan itu hanya menambahkan lagi rasa seram-sejuk kepada mereka yang menatapnya.
"Apa yang kau mahu dari aku kau cakap aja lah, jangan angkat pisau tu macam tu," Roi hanya dapat merendahkan keangkuhannya dalam keadaan yang bagai telur di hujung tanduk ini. Kakinya sedikit begetar ketakutan. Tangannya berpeluh sejuk da bulu romanya tegak. Jejaka tegap itu tidak pernah berasa takut sebegitu rupa walaupun sering dia bermain "game" berdarah yang diharamkan oleh mereka yang lemah jantung. Dia tidak tahu apa yang ditakutkan. Apa yang pasti, dia sudah mengetahui kenyataan bahawa seberani manapun seseorang, ada sahaja ketakutan yang terselit di dalam dirinya.

Zet melangkah pelahan dengan pisau kecil di tangan kanannya. Setiap langkah disusun tenang, kemas dan tidak gopoh. Sekali-sekala, langkahnya menghasilkan bunyi yang cukup jelas dan berdengun hasil pantulan bunyi dari dinding dan bumbung bengkel terbiar itu. Walaupun tidak berlampu, pisau yang dipegangnya itu memantulkan cahaya biru yang kelihatan samar-samar, dan seakan-akan sudah mengambarkan ketajamannya kepada Roi.

"Zet, tolonglah, kau nak apa pun aku kasi, janganlah macam ni. Kita boleh berbincang! Letakkan pisau tu dan kita berbincang kat kedai mamak yang kau suka pergi tu! Aa A Aku belanja!" Roi bertambah cemas melihat Zet yang semakin hampir dengannya. Hendak sahaja dia berlari tetapi posisinya yang terlalu jauh dari pentu keluar menipiskan lagi peluang untuk berbuat sedemikian. Zet yang membelakangkan pintu keluar itu hanya terus ketawa melihat kepucatan wajah kawannya itu. Bengkel yang sudah berada dalam kekuasaannya dijadikan panggungwayang, menonton gelagat seorang pelakon realiti kisah seram di hadapannya . Pelahan-lahan, tangan kirinya pula mengankat sebilah Parang yang sudah lama dia bawa bersama. Langkahnya terhenti dan matanya terbeliak menatap tepat ke arah Roi dengan kedua-dua tangan bersenjata tajam.
"Oh Roi, kau mahu yang mana? Pisau ke parang?". Zet kemudiannya bersambung ketawa gila. Ayatnya dibahasakan separuh garau dan pelahan tetapi cukup jelas kepada pendengarnya. Sekali-sekala, matanya yang terbeliak itu terkelip dan kelipan itu tidak menghalang keseraman pandangan tajamnya. Roi yang sudah kecut perut hanya dapat membisu. Mahu sahaja dia pengsan dan tidak sedarkan diri agar perasaan takut yang menguasai dirinya itu ghaib sekelip mata. Namun, pengsan atau tidak bukan dalam kawalannya.
"Hehehe, Z Z Zet, ko kau je je jangan gurau lah, ni da dah lelebih dah ni. A aku ta tak boleh main dengan gurau yang sehebat tu la.". Bebola mata Roi bergerak liar tidak mampu bertentangan dengan sumber ketakutan di hadapannya itu. Sekali-sekala, tangannya bergerak-gerak tidak senang. Jantungnya berkompang kencang dan nadi-nadinya juga memainkan irama dampingan yang rentaknya berselang-seri. Peluh sejuk mulai mengalir menitis ke bumi.
"Oh Roi, kenapa ni? Aku tak gurau lah. Kau cakaplah nak mana satu? Aku akan bagi! Hehehe. Aku akan bagi. Jangan takut." Zet kembali melangkah dan kini, gengamannya lebih ketat berbanding tadi. Mata pisau itu digesir-gesir dengan mata parang. Dan bunyi nyiring pun bertahta untuk beberapa saat di bengkel. Kemudiannya, langkahnya kembali berhenti dan mata perak kedua-dua senjata pun dihulur ke arah Roi.
"aku aku Aku tak tak n nak. mmamamaamana mana pun aa aku tak nak, Zet. Kau Kau ja jangan la h buat a aku macam ni!".
"Oh, kau tak nak ya. Tak apa. Aku akan pilih untuk kau dan paksa kau rasa juga. hehehe, hehehehehehe."
Tawa seram itu hanya menambahkan lagi ketakutan Roi. kemudian pisau kecil itu pun di angkat tinggi dan langkahnya pula dimajukan ke arah mangsanya.
"Jangan takut, kau tak akan mati. Aku cuma mahu kau belajar dan berkawan dengan rasa sakit saja. Jangan takut."
Langkahnya berubah rentak. Setiap langkah bertambah lambat dan setiap perkataan bertambah jelas.
"Jangan Zet, Jangan Zet!" Roi yang tidak memiliki apa-apa kemakhiran seni mepertahankan dri itu hanya berbekalkan daging dan tulangnya yang sudah jelas lebih rapuh berbanding senjata tajam yang dipegang Zet.
"Aku tak akan terus tikam kau. Kau kawan aku, macamana aku tak kesian dengan kau? Aku kesian dengan kau." Zet pula menangis seperti seorang yang kematian kawan dan kemudiannya ketawa seperti orang gila!
"Aku hanya akan membuat kau cinta kepada kesakitan! Kau cuma takut kepada kesakitan sahaja bukan? Kalau tak sakit, kau tak akan takut! Tapi kau kawan aku. Kau kawan aku."
Air mata Roi mula membanjiri kelopak matanya. Dalam hatinya, dia hanya memohon keampunan dan pertolongan dari Tuhan agar dirinya tidak diapa-apakan.
"Roi, Zet dah tolong Roi pilih. Zet kata dia nak Pisau. Zet kawan Roi, dan Roi pun nak pisau. Lepas tu, parang pun Zet mau. Jadi Roi ambillah dua dua ya! hehehehe. heheheheheheheh" Ketawa Zet bertambah liar dan gila. Dengan sekelip mata pisau kecil itu pun ditikam ke arah Roi yang sudah terpejam matanya. -----------

Adakah kita takut kerana kesakitan yang bakal kita terima? Adakah kesakitan itu yang akan mendisiplinkan kita? Jika kesakitan itu akan menjadikan diri ini mulia, biarlah kesakitan itu dijadikan ingatan agar diri yang penakut ini bebas dari sebarang dosa yang bakal dilakukan atau sedang dilakukan. Ingat, kesakitan di dunia yang sudah kita takut ini tidak setanding dengan kesakitan yang bakal kita terima di neraka kelak. Tidak kira apa agama kita, hukuman di neraka sentiasa hukuman seburuk-buruk hukuman dan kesakitan yang akan dialami adalah sesakit-sakit kesakitan. Bayangkan bertapa pedihnya apabila kita dilukakan dengan luka yang pernah kita alami. Gandakan kesakitan itu dan bayangkan kesakitannya. Bayangkan apakah rasa sakit yang akan kita alami apabila kita diseksa dengan pelahan-lahan sehingga bboleh mengakibatkan kematian. Dan kita akan takut untuk melakukan dosa kerana kita seharusnya takut kepadanya.

(Sekadar menyeru ilham)