Dengan sengajanya, sejarah pun berulang dengan sendirinya. Entah mengapa sudah tahu betapa pahit kesannya, seakan-akan terlupa rasanya. Lalu, dengan lali yang mengatasi kepahitan pun membawalah kembali sejarah yang sudah pun dipelajari itu.
Sejarah bukan sahaja mengajar kita untuk tidak kembali bertemu dengan kesilapan lampau, tetapi juga menerangkan kepada kita mengapa kita mahupun mereka berkelakuan atau menjadi sedemikian pada hari ini mahupun masa hadapan. Dengan ilmu ini sekali pun, penghayatan yang tidak mendalam hanya menjadikan ilmu ini ilmu mati yang bernilai sekadar ilmiah bertulis. Namun, dengan pengajaran yang diterima, kepahitan lampau itu akan dilupakan jua. Hanya soal pajan pendek masa sahaja yang menyeru kepahitan itu kembali dirasai sekalian pelupa yang sudah dihakis memorinya.
Seakan-akan disumpah, kerana sekali demi sekali sejarah yang sama tercipta. Kitaran tanpa penghujung ini akan terus berputar selari dengan pengaliran masa. Tidak kira sekuat mana kita mencuba, akhirnya kita akan lupa dan dilalikan, dan lalu kepahitan itu pun menjadi sejarah yang bakal dicipta. Mungkin kerana disitu sentiasa tertanamnya kemanisan dalam kepahitan. Jadi, kepahitan itu pun dilupakan dan kemanisan itulah yang hendak dicapai. Sejarah juga memberi tahu kita bahawa kemanisan itu hanyalah musang berbulu ayam, illusi semasa gerhana realiti. Entah beberapa kali kita belajar, kita tetap terpedaya. Terpedaya dengan penipuan yang satu itu untuk beribu-ribu kali.
Mungkin yang dipelajari itu bukannya penghayatan. Mungkin yang dikatakan penghayatan itu tidaklah asli. Jadi, pengulangan yang sama seperti paku yang terbenam pada tayar menyentuh lantai setiap satu pusingan. Entah sampai bila paku ini akan tercabut daripada tayar yang tidak berhenti-henti menuju ke hadapan. Entah sampai bila kitaran ini akan berhenti. Entah bila kepahitan itu akan sesegar dan sepedih detik pertama ia hinggap pada deria rasa dan kemudiannya kekal tanpa dilalikan.
Hendak sekali berhenti terkurung dalam kitaran ini, tetapi daya yang diperlukan masih terlalu lemah untuk mencabar arus putaran itu. Tiada pilihan melaikan terus dibawa arus sehinggalah arus itu berubah lemah. Namun, sekali arus itu tiada lagi berdaya, sudah tiada sejarah yang akan dicipta lagi. Kerana disitulah penghujung yang sehujung-hujungnya untuk kitaran ini. Yang tercipta itu bukan lagi sejarah lama tetapi sejarah baru dalam kitaran yang baharu. Dan kitaran ini adalah kitaran yang jauh lebih panjang dan jauh lebih statik. Sampai ke saat itu, kepahitan tetap kepahitan detik pertama. Tiada lagi yang boleh menghakis ketebalan rasanya. Tidak sedikit pun terlebih dan tidak sedikit pun terkurang sehinggalah kepahitan itu ghaib sekilat mata dan diganti dengan kemanisan yang tidak ada penghujungnya.
Sebelum hari itu tiba, perangkap itu tetap di sana, berputar seper puting berliung yang menyedut, mengajak kita berputar dan ditikam berjuta kali oleh keris sejarah yang sudah kita sedia maklum nikmat tikamannya.
(Sekadar Tulisan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan