Al kisah, maka tersebutlah pada suatu pagi yang redup dengan senyuman Mentari di langit sana, kelihatanlah suasana luar serupa tanah tinggi di tanah rendah. Namun, sesiapa pun tidak sangka yang kabur itu bukan kabus, dan yang putih itu tidaklah nyaman. Itulah jerebu, perosak udara.
Masalah jerebu bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Seperti tahun-tahun yang lalu, langit tanah bertuah kita ini akan diselaputi asap tebal yang menukar warna Suria daripada kuning, putih atau jingga kepada merah. Dalam banyak peristiwa jerebu sebelum ini, tahun 2013lah yang paling saya ingati.
Masalah jerebu pada tahun lalu itu benar-benar serius sehinggakan beberapa buah sekolah terpaksa ditutup untuk mengelakkan implikasi yang negatif kepada golongan pelajar, khususnya kepada mereka yang masih lagi bersekolah rendah. Udara yang dicemari asap pembakaran secara besar-besaran ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi juga menghadkan jarak penglihatan. Tetapi, jerebu ini secara tidak langsungnya telah bertindak menjadi penapis kepada cahaya dan haba bingtang yang paling dekat dengan bumi kita. Jadi, hari pun tiadalah panas seperti yang sepatutnya. Cuaca yang sepatutnya cerah pun berubah reduplah.
Sejak bermulanya sambutan tahun baru Cina pada tahun ini bermula, setiap hari di Malaysia seperti kemarau di negara China. Bahang kepanasan ini menyejat air takungan dan mengakibatkan beberapa kawasan terputus bekalan air. Bahang kepanasan Matahari ini juga menghidupkan api dan muncul sebagai kilang pengeluar asap hasil pembakaran hutan dan ladang-ladang. Rumput kering tepi jalan juga hangus dimamah api dan sampah juga dibakar orang! Apabila api tidak lagi menjadi kawan, Bomba pun diseru menjadi lawan. Proses mempercepatkan hujan juga dirancang untuk melawan kepanasan yang sudah bertahta sebulan. Tetapi, sebelum terlewat, asap-asap hasil pembakaran ini pun cuba bertindak membaiki keadaan. Asap-asap ini berhimpun dan bertindak seperti awan, berhijrah mengikut angin dan menghalang cahaya keganasan Matahari.
Kenyataannya, redup buatan ini tidaklah membawa apa-apa manfaat kepada kita kerana keburukannya melebihi kebaikan yang ditawarkan. Baunya juga tidak begitu mengasyikan. Untuk apa kita mahu redup buatan seperti ini?
(Sekadar berkongsi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan