Saya tiada rumah. Nomat, macam orang zaman batu. Siapa sangka yang saya ini akan terus hidup di muka bumi ini dengan keadaan tanpa arah. Saya tidak tahu siapa saudara-mara, siapa rakan sebaya, siapa ibu bapa dan siapa sebenarnya saya. Saya saksikan bagaimana anak kucing dijilat ibunya. Saya menyaksikan manusia bercakap dengan lembu peliharaannya. Saya saksikan sisa bangkai ikan mereput dan menjadi sumber khasiat pokok mangga yang tumbuh sihat sejahtera. Saya juga saksikan sampah yang dikatakan tidak berguna itu dikitar semula. Mereka kembali diperlukan dan berguna, tidak seperti saya. Dalam hati sentiasa tertanya-tanya, mengapa saya wujud jika saya tiada peranan di dunia?
Hari ini, saya singgah di meja. Mungkin sehari dua, mungkin seminggu dua, mungkin setahun dua dan mungkin sedekat dua. Atau mungkin lagi lama. Kalau hari ini saya dihalau, esok lusa pun akan dihalau juga. Kerana saya tidak dimiliki bagi sesiapa. Tiada pun mereka yang hairan dengan kewujudan saya. Yang hairan pun hanya Khalifah bumi sahaja. Itu pun bila saya menjadi banyak bertenggek di kawasan kediaman mereka. Kalau dah hairan, ada yang buat tak tahu. Tapi ramai daripada mereka akan menghalau saya. Sebab mereka tak suka saya pun.
Semasa saya sedang baring malas di atas meja yang cukup sarat dengan bahan bacaan, saya dengan tiba-tiba ditiup kipas angin dan akhirnya terlekat pada pelekat kertas. Mulai saat itu, saya tidak terbang lagi walaupun angin mula bertiup kencang mahupun sayu. Kalau terbang sekali pun, saya akan bersama pelekat itu. Walaupun pelekat tak mahupun saya, justeru marah kepada saya kerana hilangkan fungsinya, saya tidak dapat terbang lagi. Mungkin inilah rumah saya. Rumah ini hanya nama sahaja dan tiada hubung kait dengan tempat yang seharusnya saya diami. Pelekat marah sangat sebab saya telah melemahkan fungsinya. Pelekat pun jadi tak berguna macam saya, barangkali?
Sementara terlekat dengan pelekat ini, saya sudah fikir lebih jauh. Kerana suatu hari nanti saya tahu saya akan kembali nomat semula. Sampainya hari itu, saya masih habuk yang tidak diperlukan dan tiada erti untuk sesiapa. Biarlah saya terus terlekat di sini. Terus dimiliki oleh pelekat yang tidak mahukan saya daripada pergi merantau, mencari sesuatu yang bernama tiada.
(sekadar menyeru ilham)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan