Mengapa harus memaksa lalang berhenti mengikut arus angin? Sedangkan lalang itu tidak mampu untuk berlawan arus. Biarlah lalang bebas, bukan sifatnya untuk tegak dan kukuh, kental dan kritikal, berpendirian yang satu. Dan Jauh sekali mahu lalang tegas tanpa dicabar angin.
Apabila lalang yang pandai melentur itu telah dikeraskan, maka lalang itu akan menjadi keras bak kelembutan. Tidak boleh setanding dengan dahan mahupun ranting. Kelenturan yang asalnya dikurniakan sudah disia-siakan. Sifat keras yang hendak dicapai pula kurang menjadi. Ibarat yang dikejar tak dapat, yang terkandung keciciran. Kerugian. Kerugian.
Mengapa sifat lentur yang semula jadi ini harus dikeraskan? Mengapa bakat ini harus dibiarkan karat dan mereput? Mengapa pemberian-Nya tidak dapat dimanfaatkan sebaliknya dibiarkan pasif dan tertutup? Kerugian. Kerugian.
Siapa yang tidak mahu diiktiraf? Semua daripada kita memerukan pengiktirafan. Bukan mahu menunjuk tetapi mahu dihargai. Tetapi kenyataannya, bukan semua kebolehan semula jadi dapat digilapkan dengan sebaik mungkin. Tidak dapat digilap kerana tidak diberi peluang, tiada wang, tiada persekitaran yang sesuai, tiada pengiktirafan dan limitasi masa. Sekiranya faktor-faktor ini tidak wujud, bakat semula jadi itu masih tidak diaktifkan dengan sebaik mungkin, kerugian. Kerugian.
Kerugian demi kerugian berlaku dalam semua peringkat masyarakat, di semua kawasan, pada setiap masa dan pelbagai bentuk. Kerugian-kerugian ini akan terus wujud kerana limitasi yang lahir dari banyak aspek. Ramai daripada kita berhadapan dengan kerugian tersebut. Malahan, ramai daripada kita berasa sangat kurang senang dengan kerugian tersebut. Salahkan keadaan ke? Salahkan orang ke? Salahkan dunia ke? Salahkan takdir ke? Salahkan Ilahi?
Sesungguhnya, kerugian yang lahir daripada sesuatu yang disengajakan adalah serugi-rugi kerugian. Biarlah semula jadi walaupun ia rugi daripada sengaja berubah dan membawa bersama kerugian.
(Sekadar menyeru ilham)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan