18 Oktober, 2012

Ilmu Baru Saya tentang Erhu.

Apa khabar kepada para pembaca yang sedang mengunjungi Halaman MejaLogam? Semoga dalam keadaan sihat dan sejehtera disamping kegembiraan. Untuk pengetahuan semua, saya sedang melibatkan diri dalam pancaragam Muzik Cina, (Chinese Orchestra) dan berperanan sebagai pemain Erhu. Walau bagaimana pun, masih terlalu jauh untuk saya bermain bersama-sama mereka yang membuat persembahan di atas pentas.

Pada masa yang sama, saya berpeluang belajar ilmu baharu berkaitan dengan Erhu daripada seorang "senior" yang juga seorang pemain Erhu. Saya telah mempelajari cara yang betul untuk mengikat Qian Jin pada Erhu dan saya mendapati cara ikatannya sangat unik. Malang sekali, saya tidak tahu bagaimana untuk terangkan langkah-langkah tersebut dalam ayat. Pada masa yang sama, saya juga telah didedahkan tentang langkah penyelaras kenyaringan bunyi dengan mngunakan ikatan benang selain daripada menggunakan penyelaras. Cara ikatannya tidaklah seperti qian jin tetapi tidak boleh diikat terlalu ketat. Ikatan itu harus kuat dan tidak mudah tertanggal. Kedudukan ikatannya adalah pada bahagian atas daripada ikatan qian jin dan harus berasingan mengikut tali. Tidak seperti Qian Jin yang diikat 15 lilitan atau lebih, dan 5 lilitan atau keatas pada kedua-dua tali di bahagian lehir Erhu, ikatan penyelaras ini adalah sedikit dan sekadar untuk mengubah kenyaringan bunyi sahaja.

Untuk bunyi Erhu yang sangat kuat sehingga boleh menganggu jiran bilik sebelah beradu, terdapat alat pengecil suara yang khusus untuk Erhu. Alat ini mengepit pada plastik yang terletak di atas kulit Sawa dengan tujuan mengurangkan getaran. Apabila getaran hasil geseran rerambut busur berkurang, bunyi Erhu pun pelahanlah. Malang sekali, pengecil suara ini tidak boleh dilaras macam pembesar suara. Bunyi Erhu akan dipelahangkan sebanyak 90% dan tidak lagi mengganggu orang lain semasa anda beraksi pada lewat malam.

Oh, ya. Sebelum itu, ingin saya bercerita tentang benang yang digunakan untuk mengikat Qian Jin. Sebaiknya, janganlah gunakan benang yang nipis. Tepal tak apa tapi janganlah tebal sangat. Tentang panjangnya, ukuran yang disarankan adalah satu depa orang dewasa. Sebenarnya, ukuran ini sudah lebih daripada cukup. Jadi, janganlah risau kalau tangan anda bukan panjang sangat macam tangan saya. (tangan panjang bukan bererti kuat mencuri tau). Seterusnya, tali itu akan mengikat lehir Erhu dengan 2 tali Erhu. Nak cerita caranya, masih seperti ayat saya di atas tadi, susah nak digambarkan pada ayat.

Sebelum tamatkan tulisan kali ini, saya ingin meminta maaf kepada anda yang sedang membaca kerana saya tidak dapat menulis sekerap bulan lalu. Kalau nak tahu lagi tentang erhu, teruslah membaca MejaLogam. (macamlah MejaLogam ni pandai sangat pasal Erhu.)

(Sekadar berkongsi)

Kerigian

Mengapa harus memaksa lalang berhenti mengikut arus angin? Sedangkan lalang itu tidak mampu untuk berlawan arus. Biarlah lalang bebas, bukan sifatnya untuk tegak dan kukuh, kental dan kritikal, berpendirian yang satu. Dan Jauh sekali mahu lalang tegas tanpa dicabar angin.

Apabila lalang yang pandai melentur itu telah dikeraskan, maka lalang itu akan menjadi keras bak kelembutan. Tidak boleh setanding dengan dahan mahupun ranting. Kelenturan yang asalnya dikurniakan sudah disia-siakan. Sifat keras yang hendak dicapai pula kurang menjadi. Ibarat yang dikejar tak dapat, yang terkandung keciciran. Kerugian. Kerugian.

Mengapa sifat lentur yang semula jadi ini harus dikeraskan? Mengapa bakat ini harus dibiarkan karat dan mereput? Mengapa pemberian-Nya tidak dapat dimanfaatkan sebaliknya dibiarkan pasif dan tertutup? Kerugian. Kerugian.

Siapa yang tidak mahu diiktiraf? Semua daripada kita memerukan pengiktirafan. Bukan mahu menunjuk tetapi mahu dihargai. Tetapi kenyataannya, bukan semua kebolehan semula jadi dapat digilapkan dengan sebaik mungkin. Tidak dapat digilap kerana tidak diberi peluang, tiada wang, tiada persekitaran yang sesuai, tiada pengiktirafan dan limitasi masa. Sekiranya faktor-faktor ini tidak wujud, bakat semula jadi itu masih tidak diaktifkan dengan sebaik mungkin, kerugian. Kerugian.

Kerugian demi kerugian berlaku dalam semua peringkat masyarakat, di semua kawasan, pada setiap masa dan pelbagai bentuk. Kerugian-kerugian ini akan terus wujud kerana limitasi yang lahir dari banyak aspek. Ramai daripada kita berhadapan dengan kerugian tersebut. Malahan, ramai daripada kita berasa sangat kurang senang dengan kerugian tersebut. Salahkan keadaan ke? Salahkan orang ke? Salahkan dunia ke? Salahkan takdir ke? Salahkan Ilahi?

Sesungguhnya, kerugian yang lahir daripada sesuatu yang disengajakan adalah serugi-rugi kerugian. Biarlah semula jadi walaupun ia rugi daripada sengaja berubah dan membawa bersama kerugian.

(Sekadar menyeru ilham)

08 Oktober, 2012

Aku tak suka Lipas

Aku cukup takut dengan lipas. Kau tahu, waktu aku kecil dulu, lipas berehat dalam bajuku. Selepas aku memakainya, mulalah berasa sesuatu yang sangat tidak selesa bergerak mengeletek belakangku. Aku penik. Aku mengelupur. Tapi lipas masih singgah pada bajuku. Entah apa yang lipas cari dengan baju tu.

Kenangan yang pahit itu menjadi model bahan ketawa rakan sebaya. Malah, aku juga menjadi mangsa buli mereka jika lipas berada berhampiran dengan aku. Jadi, aku cukup takut dan tak suka dengannya. Aku tak tahu mengapa makhluk tu mesti mudah dijumpai di rumahku. Yang lagi mustahak, mengapa lipas mesti melahirkan trauma dalam hidupku? Mengapa habitat lipas lebih kurang sama dengan manusia? Mengapa spesis lipas boleh bervariasi dari zaman beribu-ribu tahun dahulu sehingga tidak pupus pada hari ini?

Dalam mata sesetengah orang, lipas tu macam kucing di Malaysia. Boleh dibela dan dijaga sehingga besar. Panjang sampai 2 inci. Nasib baik aku bangsa Malaysia yang rakyatnya bencikan lipas. Kalau tak, habislah aku kena buli dengan lipas berdesir Madagascar rakan. Mungkin adik sendiri.

Lipas di Malaysia pula boleh terbang. Spesis yang dinamai Lipas Amerika ini cukup menakutkan. Boleh terbang tak apa sangat. spesis biasa yang Paling Besar pula tu. Lipas ni pantas berlari dan mengerikan. Yang dewasa boleh panjang sampai 4 cm. Geli geli geli!!! Besar dalam sais dah cukup bagus sebab susah nak masuk bilik aku tapi badan yang leper buat hal pulak. Dah leper macam tu, bawah pintu pun lut. Kenapalah lipas Amerika ada sayap? Kalau tak ada lipas macam lipas German kan bagus.

Kalau nak bunuh, memang tak habis. Dah lepak kat rumah, panggil pula lipan datang bersama. Tapi Lipan bagus sikit kerana lipan makan lipas. Tapi Lipan pun sama juga macam lipas, geli geli geli. Belambak pasang kaki. Aku tak suka lipaslah!!!!!!!!! Lipan pun tak suka

Selamat sejahtera kepada para pembaca MejaLogam Blogspot. Di sini, saya mengambil kesempatan untuk berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan lipas. Sebenarnya, lipas bukanlah serangga yang teruk sangat pun. Paling kurang, lipas makan sisa makanan manusia yang bersepah di merata-rata tempat. Sebagai cleaner percumalah katakan. Tapi, jangan sesekali beri peluang untuk lipas bersiar-siar di kawasan letak makanan. Sebab lipas bawa bersama kuman pada kakinya dan kuman-kuman ini boleh mengakibatkan keracunan makanan. Jadi, berjaga-jagalah semasa anda makan atau sakit perut dan cirit birit sepanjang hari.

(sekadar berkongsi)

Diari habuk 8 oktober

Saya tiada rumah. Nomat, macam orang zaman batu. Siapa sangka yang saya ini akan terus hidup di muka bumi ini dengan keadaan tanpa arah. Saya tidak tahu siapa saudara-mara, siapa rakan sebaya, siapa ibu bapa dan siapa sebenarnya saya. Saya saksikan bagaimana anak kucing dijilat ibunya. Saya menyaksikan manusia bercakap dengan lembu peliharaannya. Saya saksikan sisa bangkai ikan mereput dan menjadi sumber khasiat pokok mangga yang tumbuh sihat sejahtera. Saya juga saksikan sampah yang dikatakan tidak berguna itu dikitar semula. Mereka kembali diperlukan dan berguna, tidak seperti saya. Dalam hati sentiasa tertanya-tanya, mengapa saya wujud jika saya tiada peranan di dunia?

Hari ini, saya singgah di meja. Mungkin sehari dua, mungkin seminggu dua, mungkin setahun dua dan mungkin sedekat dua. Atau mungkin lagi lama. Kalau hari ini saya dihalau, esok lusa pun akan dihalau juga. Kerana saya tidak dimiliki bagi sesiapa. Tiada pun mereka yang hairan dengan kewujudan saya. Yang hairan pun hanya Khalifah bumi sahaja. Itu pun bila saya menjadi banyak bertenggek di kawasan kediaman mereka. Kalau dah hairan, ada yang buat tak tahu. Tapi ramai daripada mereka akan menghalau saya. Sebab mereka tak suka saya pun.

Semasa saya sedang baring malas di atas meja yang cukup sarat dengan bahan bacaan, saya dengan tiba-tiba ditiup kipas angin dan akhirnya terlekat pada pelekat kertas. Mulai saat itu, saya tidak terbang lagi walaupun angin mula bertiup kencang mahupun sayu. Kalau terbang sekali pun, saya akan bersama pelekat itu. Walaupun pelekat tak mahupun saya, justeru marah kepada saya kerana hilangkan fungsinya, saya tidak dapat terbang lagi. Mungkin inilah rumah saya. Rumah ini hanya nama sahaja dan tiada hubung kait dengan tempat yang seharusnya saya diami. Pelekat marah sangat sebab saya telah melemahkan fungsinya. Pelekat pun jadi tak berguna macam saya, barangkali?

Sementara terlekat dengan pelekat ini, saya sudah fikir lebih jauh. Kerana suatu hari nanti saya tahu saya akan kembali nomat semula. Sampainya hari itu, saya masih habuk yang tidak diperlukan dan tiada erti untuk sesiapa. Biarlah saya terus terlekat di sini. Terus dimiliki oleh pelekat yang tidak mahukan saya daripada pergi merantau, mencari sesuatu yang bernama tiada.

(sekadar menyeru ilham)