"Setiap daripada kita memeluk harapan untuk terus hidup bukan? Jika kita tahu harapan itu bukan lagi suatu harapan, atau harapan itu hanya ilusi semata-mata, adakah kita akan teruskannya?"
Tidak salah untuk mengharap tetapi harapan yang tidak bertempat adalah suatu kesalahan. Oops, mungkin bukan kesalahan tetapi kerugian. Harapan sebenarnya mempunyai sekurang-kurangnya satu perkara yang mahu dicapai. Hal ini kerana harapan dilahirkan bersama-sama impian dan kemahuan. Pada masa yang sama, harapan juga mengandungi kekecewaan dan kegembiraan. Hanya satu sahaja kandungan itu akan menjadi realiti iaitu kekecewaan atau kegembiraan. Harapan yang tercapai akan ditemukan dengan kegembiraan dan begitu juga dengan sebaliknya. Seperti pelaburan, semakin besar harapan, maka semakin hebatlah kesannya.
Selamat sejahtera kepada para pembaca yang sangat saya hormati. Sebenarnya saya ingin sampaikan pendapat saya sahaja berkaitan dengan harapan dan apa-apa yang seerti dengannya. Menaruh harapan merupakan sesuatu cara untuk menjadikan kita terus berusaha. Semakin bersungguh-sungguh kita mengimpikannya, maka semakin berusahalah kita untuk merealisasikannya.
"Kau boleh menjadi seorang pemandu F1 Ee Beng."
Ini adalah contoh harapan. Ee Beng tak bersalah untuk berharap tetapi apabila realitinya dia tidak boleh kerana masalah penglihatan, adakah dia harus berharap? Rugi kalau dia terus mengharap sebab harapan itu sudah menempah kekecewaan dari awal lagi. Jika orang yang berada di sekitarnya terus memberi sokongan kepadanya, sudah tentu Ee Beng akan cuba berusaha menjadi seperti Alonso. Apabila kenyataan itu semakin jelas terpangpang dengan keadaan Ee Beng yang sudah tinggi memanjat ke arah harapan, dia akan tersungkur dengan tinggi ke tanah kerana harapan yang selama ini yang dibaja tidak mendatangkan hasil. Dalam situasi ini, tidaklah begitu sesuai kita menggunakan konsep jangan putus asa sebab semangat yang tak bertempat ini hanya akan terus melihirkan kecewa yang berterusan.
Jadi, kita harus sedar bahawa bukan semua perkara kita boleh bergantung harapan kepadanya. Walaupun bunyi sedikit kejam, itulah realiti sebuah harapan. Pilihlah harapan yang betul-betul ada potensi dan bersedia untuk berhadapan dengan kegagalan jika memeluk harapan yang tinggi. Sesungguhnya, bukan kuasa mutlak kita untuk tentukan harapan itu tercapai atau tidak.
(Sekadar tulisan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan