Pada hari Selasa yang lalu, saya telah terlanggar sampah yang dibawa oleh seorang pekerja pembersihan berbangsa Indonesia di sekolah semasa sesi persekolahan. Peristiwa ini berlaku atas kecuaian saya juga. Semasa saya berselisih dengannya, saya terlalu menghampirinya. Sejerus selepas saya memberi selamat kepadanya, saya terus telanggar plastik hitam sampah yang dibawanya. Tetapi apa yang membuatkan saya terkilan adalah dia meminta maaf yang banyak-banyak dan berulang-ulang kali serta bertanyakan saya "Adik tidak apa-apa?" kepada saya. Hal ini telah membuatkan saya terasa sedih dan sedikit terharu. Pekerja itu sebenrnya tidak bersalah pun tetapi dia bergitu menyalahkan dirinya. Peristiwa ini telah menyedarkan saya bahawa keperibadian pekerja tersebut sangat merendah diri dan bersopan santun. Jika dibandingkan dengan pegawai yang berpangkat tinggi yang sombong, saya berasa pekerja pembersih itu jauh lebih mulia walaupun dia bekerja menguruskan sampah sarap dan najis di tandas.
Sesungguhnya, tugas pembersih ini sangat berat kerana mereka harus memastikan seluruh kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih. Cuba bayangkan kalau kita membersihkan seluruh sekolah setiap hari termasuklah semua tandas tidak kira lelaki atau perempuan, guru lelaki atau guru perempuan, setiap kelas termasuk semua tingkatan, semua bilik khas di sekolah. Saya percaya ramai daripada kita kurang sanggup melakukannya kerana tugas tersebut terlalu berat. Walau bagaimanapun, mereka adalah salah satu masyarakat yang sanggup melakukan sedemikian. Mungkin ini kerana desakan kewangan yang membuatkan mereka menjadi kuat seperti yang kita lihat pada hari ini.
Melalui tulisan ini, saya berharap rakan-rakan sekolah lebih hormat kepada pekerja pembersihan ini. Mereka bukan sahaja membersihkan kekotoran yang kita hasilkan tetapi melayan kita dengan bersopan. Adakah kita harus membalas kemuliaan mereka dengan menambahkan kerja dan berat beban mereka? Saya berharap rakan-rakan SMPK cuba sedaya upaya bertindak lebih automatik apabila melihat kekotoran yang boleh kita atasi sendiri.
Teruslah bersemangat untuk bekerja wahai kakak tukang sapu!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan