Sesungguhnya dunia ini dipenuhi air mata kesedihan, kekesalan, kekecewaan, kehampaan, kegelapan, tangisan dan putus harapan. Air mata ini tidak berhenti mengalir. Tidak pernah berhenti daripada terus mengalir dan percayalah, tidak akan berhenti mengalir.
Air mata ini luahan emosi. Luahan yang menghanyutkan segala mendapan kesedihan. Mendapan-mendapan yang membawa kengkangan dalam kehidupan. Siapa yang mahukan kesedihan? Tiada orang yang mahu. Tetapi seni kesedihan itu mengasyikkan. Sekali sedih, kesedihan itu harus terus mengalir seperti air mata yang sedang menangis. Seperti kegembiraan, kesedihan juga memerlukan perkongsian. Kesedihan juga mahu dikongsikan kepada semua isan ciptaan. Bukan disimpan dan diperam. Malangnya, kesedihan sentiasa dalam keadaan yang menyedihkan kerana bukan semua mengalu-alukan kehadirannya. Akhirnya, sedih yang tidak dapat dikongsikan tadi pun menjadilah sesuatu yang dipaksa untuk diterima orang. Sedih tadi mahu mendapat perhatian tetapi dengan paksaan. Dengan kekerasan. Dengan cemburu dan hilang pertimbangan. Bahayanya boleh memakan diri dan orang lain.
Peka dengan orang bersebelahan. Peka dengan mereka yang kita sayang. Peka dengan sahabat mahupun rakan. Peka kepada semua yang ada pertalian persaudaraan. Anda akan sedar bahawa mereka sedang menangis. Sedang sedih, keciwa, hampa, dan hilang gembiranya. Tidak semua mereka gemar menunjukkannya. Tapi semua mereka memerlukan perhatian. Bukan mudah untuk seorang yang sudah sedih dan hilang pertimbangan untuk memutuskan keputusan yang waras. Jadi disinilah kita memberi sokongan. Janganlah kita yang menambahkan beban. Kerana kita saling memerlukan. Dan percayalah bahawa kita juga berpotensi berhadapan dengan kesedihan dan juga mengalami kejatuhan. Sedih kita perlu dikongsi. Begitu juga sedih orang perlu kita dalami. Apabila kita mendalami kesedihan mereka, kita sebenarnya sedang belajar lebih tentang mereka. Jika mereka tangguhkan bantuan, janganlah berkeras tetapi berikan masa. Beri tahu mereka bahawa mereka bukan keseorangan dan sudah tentu air mata akan mengalir dengan tiada paksa. Air mata yang tidak membawa bersama mendapan. Air mata yang merdeka daripada sebarang kesedihan. Air mata yang menjadi simbolik perasaan terharu, iklas seperti mana keiklasan tangisan sebuah kesedihan.
(Sekadar menyeru Ilham)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan