27 Julai, 2012

Cerpen: "Tidurlah sayang, hari esok masih menunggu."

"Tidurlah sayang, esok masih menunggu." Pesanan ayah yang masih tertanam dengan begitu mendalam dalam memoriku. Kini, aku sudah pun hidup separuh dekat. Kehidupan ku sudah ditemani oleh ahli baru, mengantikan ayah, ibu dan abang. ya, isteri dan anak-anak ku. Aku juga sedar bahawa aku akan tidur tidak berapa lama lagi. Tidur tanpa hari esok, tidak seperti mana yang dikatakan Ayah suatu ketika dahulu. Sekarang, aku mula memahami secebis kata yang diluahkan olehnya. Ianya begitu ermakna setelah aku tidur dan bangun pada hari esok setelah lahirnya kata-kata itu.

Ayah merupakan seorang tentera darat yang berpangkat leftenan. Beliau sungguh gagah. Tubuhnya tegap dan padad dengan ketulan otot yang berkilat. Sungguh bergaya jika berpakaian seragam dan lengkap dengan senjata. Semenjak dari kecil, beliau sering menceritakan kisah-kisah perjuangan tokoh dunia tidak kira perjuangan dari segi fizikal atau pejuangan dari segi mantal.

Ayah berkata, mereka yang sanggup berjuang adalah kerana tertanamnya perasaan ingin mengubah sesuatu. Tetapi apakah yang mendorong ke arah perubahan itu? Katanya, kasih sayang adalah salah satu daripadanya. Kerana kita sayangkan sesuatu, kita tidak mahu kehilangannya. Kerana tidak mahu kehilangannya, kita sanggup hilang kerananya. Itulah yang ayah hujahkan.

Pada malam itu, aku masih teringat wajah ayah seperti biasa, mempamirkan senyuman yang amat mesra dan menenangkan. Katanya kepada ibu yang dalam tangisan, dia akan pulang, pulang dengan kebahagian kepada keluarga. Aku masih tidak sedar apa yang bakal berlaku walaupun kata-kata itu terlebih dahulu sudah memberikan gambaran. Imbas mukalah katakan. Setelah ibu mula tenang, kami sekeluarga bersama-sama bermakan malam dengan begitu mesra, tanpa aku sedar apa yang bakal berlaku pada esok ari.

Malam itu juga, aku tidak dapat tidur lena. jadi, aku pun seperti biasa meminta ayah menceritakan kisah perjuangan tokoh dunia yang terkenal. Tetapi, kali ini, ayah mengunakan nama aku dan dikarangnya sebuah cerita. Kisah seorang anak tentera yang kelak menjadi seorang yang berjasa kepada tanah airnya. Cerita ini berbeza dengan kisah yang sebelum ini. kisah pejuang ini tidak diceritakan sampai habis. Sebaliknya, ianya berakhir dengan "tidurlah sayang, esok masih menunggu.". Ayah seperti biasa membelai rambut lembutku dan memberikan ciuman pada dahiku sebelum aku tidur. Aku lalai dengan belaiannya sehingga aku terlelap dengan begitu lena.

Esok sudah melangkah, menziarah semua penghuni yang menyedut nafas di muka bumi ini. Gelarannya bukan lagi esok tetapi hari ini. Aku telah ditinggalkan ayah. Ditinggalkan buat selama-lamanya. Aku sedih. Aku sangat sedih kerana aku masih belum puas bersama ayah. Aku masih mahu ayah melihat sendiri bahagian sambungan tokoh berjasa yang mengunakan nama aku itu. Tetapi ayah sudah tiada lagi. Sambungan itu akan dilihat oleh ibu pula, mungkin? Hari demi hari berlangkah pergi. Aku semakin dewasa dan kisah tokoh itu pun berkembang dengan rancak. Kisah itu tidak sehebat mana. Tokoh berjasa itu hanya seorang guru, pendidik bangsa yang tidak seberapa. Tetapi aku bangga dengan tokoh itu. Paling kurang, tokoh itu memberi sumbangan kepada negara.

Kata ayah benar. aku harus tidur dengan lena. Hari esok masih ada, menunggu aku untuk berjaya. Tetapi, kejayaan tokoh itu sebagai mereka yang berjasa adalah kerana keyakinan ayah. Setelah hari yang tiada esok itu tiba, aku juga akan berkata kepada anak-anak ku bahawa "tidurlah sayang, esok masih menunggu". Akan ku pulang, pulang dengan kebahagian kepada mereka.

(Sekadar berkarya)

26 Julai, 2012

Secebis fomular, Smlm < Hrn < Esk

Hari ini harus lebih baik daripada hari semalam. Hari esok harus lebih cemerlang daripada hari ini.
Semalam < harini ni < Esok

Selamat sejahtera kepada para pembaca yang masih sudi meluangkan masa untuk membaca tulisan saya di Laman MejaLogam. Terlebih dahulu, ingin saya bertanya, adakah pembaca berpegang kepada konsep di atas? Sekiranya jawapan anda adalah "ya", anda layak mendapat pujian kerana mahu menjadi insan yang semakin maju dan cuba hindari keburukan. Tetapi, janganlah gunakan konsep ini pada situasi yang bakal anda baca nanti.

Konsep yang sesat
1. "Amir! sini kau! Kenapa kamu masih gagal dalam subjek Mathematic?"
"Saya dah lebih baik daripada semalam. Dulu saya dapat 0 dan kini saya dapat 1. Dan esok saya dapatkan 2."
"Tetapi kamu masih gagal kalau kamu bermatlamatkan markah yang 2 itu!"
"Kalau saya cemerlang, dapat 100, saya tidak dapat maju lagi."
2. "Kita harus cipta bom yang lebih hebat lagi. Bom yang dapat memusnahkan semua musuh kita tanpa berperang lagi."
"Ya, semalam kita dah ada bom atom. Hari ini kita dah ada bom neuclear dan esok, kita harus lebih maju, cipta bapak bom neuclear!"
3. "Semalam, saya dah lari 100 km tanpa henti. Hari ni, saya dah lari 102 km tanpa henti dan saya akan lari tanpa henti 104 km esok."
"Hari ni pun dah separuh mati. Apatah lagi esok? Jangan paksa diri."
"Saya harus menjadi lebih baik daripada semalam."

Kesimpulannya, fomular mengira isi padu spera iaitu 4 per 3 darap pie darap jejari bulatan (radius) kuasa 3 tidak boleh digunakan untuk mengira luas permukaan kubus, panjang darap lebar kali 6. Sebabnya lembu tidak boleh mengembek dan kambing tidak boleh menguak. Gunakanlah konsep ini serasional yang mungkin atau jadikan konsep ini sejahanam yang mungkin. Tepuk dada, tanya selera.

(Sekadar tulisan)

Isi Hati: Ketakutan

Takut?
Siapa yang tidak takutkan takut? Semua orang sebenarnya penakut, atau mereka takut digelar pengecut. Mereka takut dicela, jadi soroklah perasaan takut itu kerana takut orang tahu mereka sebenarnya penakut. Siapa yang mahu sentiasa dalam ketakutan? Tiada penakut yang suka ditakutkan. Tetapi ada juga penakut yang suka takutkan penakut kerana mahu lihat keseronokan. Mungkin juga mahu hindar perasaan takut itu? Sebenarnya, mereka yang telah takutkan penakut juga takut kepada ketakutan. Mereka takut suatu hari nanti, hari yang menakutkan itu tiba, dimana mereka yang telah ditakutkan itu menjadi mereka yang bukan penakut lagi.

Takut itu perkara yang biasa. Sentiasa takut mengingatkan kita supaya berbuat kebaikan. Takut yang keterlaluan melahirkan trauma, dan takut yang berpanjangan menjadikan hidup serupa tiada makna. Takut akan berhenti? Atau takut tidak patut berhenti? Saya mula takut berfikir tentang ketakutan. Malahan, takut yang ketakutan yang saya alami menjadi sangat menakutkan kerana berpanjangan. Tiada perlu takut sekiranya takut tidak diperlukan. Tetapi takut-takut kalau hilangnya ketakutan menjadikan kita takut akan penyesalan.

Jangan takut, jangan takut, takut tidak akan berpanjangan, atau takut akan menjadi lali apabila sering kita ditakutkan. Mungkinkah begitu?

(Sekadar tulisan hati)

21 Julai, 2012

Peperiksaan dah dekat rupanya.

Selamat sejahtera para pembaca. Maafkan saya setelah lebih kurang 3 minggu saya tidak sertakan apa-apa tulisan dalam blog ini. Untuk pengetahuan semua, semesta pertama saya di TARC akan tamat lebih kurang sebulan lagi. Ini juga bererti peperiksaan pun sudah hampir.

Memandangkan saya tidak dapat menulis tanpa mengunakan alat sokongan, saya telah menulis surat permohonan kepada pihak TARC tentang keperluan saya semasa menjawab peperiksaan nanti. Hasilnya, saya telah mendapat masa tambahan 45 minit dan menjawab mengunakan komputer yang telah pihak kolej sediakan di bilik korentin.

Di sini, ingin saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada beberapa pihak iaitu SMPK Setapak (bekas sekolah saya) yang telah sudi membantu dengan mengemukakan surat pekeliling dan jadual masa tambahan untuk golongan kelainan upaya semasa menjawab peperiksaan awam seperti SPM dan pihak TARC yang telah meluluskan permohonan saya. Semoga saya dapat menjawab dengan sempurna.

(Sekadar berkongsi)

Indera Bijaksana

Alkisah, maka tersebutlah seorang laki-laki yang terlalu bijak sana. Maka, katamlah segala kitab pendeta dengan masa terlalu singkatnya. Tiadalah terbanding segala isi negeri itu. Maka, laki-laki itu pun amat dikasihilah kedua orang tuanya itu. Diberilah nama laki-laki itu Indera Bijaksana oleh oranglah. Maka, Indera Bijaksana pun terlalulah megah tatkala didewakan oranglah!
Shahadan, maka tersebutlah suatu hari yang tiada tahu bila, Indera Bijaksana berjalan seoranglah. Terlihatnya segala isi hutan belantara itu. Maka, tiadalah gerangan yang tiada dalam kepalanya. Segala isi disebutnya jelas tiada salah lagilah. Tatkala, terlihatlah laki-laki itu seorang tua yang sakit terlalu dasyatlah. Maka, dihampiri yang tua tidak bermaya itu. Maka disapanya, "Wahai orang tua, sakitmu akan aku sembuhkan sekelip mata." Maka yang tua itu pun lihatlah wajahnya. Maka tiadalah terdaya untuk berkata-katalah kepada Indera Bijaksana itu. Maka, disentuhnya tubuh orang tua itu dengan penuh tertib. Maka, hilanglah sakit itu bagai berlalu dibawa angin. Maka, terlalulah kagum tiada terkata apa orang tua itu. "Hai orang tua, sakitmu diseru kakimu yang terkilas itu. Baiklah jangan berjalan rapat dengan akar agar tiada ditimpa kecelakaan." Maka, terlalu hairanlah yang tua itu mendengar Indera Bijaksana berkata. Semuanya benar tiada palsu.
Maka, Indera Bijaksana pun terus berjalanlah. Maka terlihatlah sebuah sungai terlalu besarlah. Maka adalah seorang nelayan memancing dengan terlalu marah. Maka ditanyalah Indera Bijaksana itu kepadanya. "Wahai nelayan, tiadalah perlu bermarah-marahan. Ikan tidak datang tanpa umpan." Maka, nelayan itu pun marahlah kepadanya dengan garangnya. "Aku sudah habiskan banyak umpan. Aku berikan cacing, aku berikan ikan kecil, semua tidak menjadi. Kau berambus dan jangan memandai." Maka diberitahulah Indera Bijaksana yang umpan itu bukan cacing, bukan ikan kecil tetapi umpan perhatian. Maka diceritalah segala buruk cela nelayan itu yang sudah takutkan isi sungai itu dengan garang gerangannya. "Hai nelayan, tiadalah ikan itu mahu datang jika kemarahanmu sudah tukar perhatian ikan itu dari umpanmu." Maka, tiadalah mahu nelayan itu mendengar. Maka terlalulah benci akan indera Bijaksana itu. Maka dicela nelayan itu secela-celanya. "Kau yang bodoh, tiadakah kamu tahu akulah yang paling bijaksana dalam negeri ini? Kau yang tiada ilmu lagi sombong. Hai celaka, kau fikir kau sudah cukup bijaksana sebagaimana aku?" Maka ditinggalkanlah nelayan itu.
Shahadan, maka Indera Bijaksana pun datanglah kembali ke sungai terlalu besar itu hari kemudiannya. Maka teringinlah Laki-laki itu melintas sungai. Dilihatnya ada dua jejambat sama rupa. Maka, dilihatnya tiada beza pun. Indera Bijaksana pun berfikirlah dalam hatinya, "Sesungguhnya, yang aku lintas ini selamatlah mana pun.". Dia pun melangkahlah. Maka dipijaknya jambatan yang kanan itu. Shahadan, ditegurlah Nelayan tempoh hari itu dengan kuatnya bagai tagar di langit. "Hi orang muda, tiadalah selamat jejambat itu dipijak. Pijaklah yang kiri itu nescaya kamu akan SELAMAT!". Maka difikir Indera Bijaksana itu, "Baiklah aku ikut nelayan itu." Maka, berpatahbaliklah Indera Bijaksana itu memijak yang kiri itu. Maka tersenyumlah Nelayan itu dengan gembiranya lalu ditawanya sekuat-kuat hati. Maka, Indera Bijaksana pun berlangkah kembali memijak yang kanan itu. "Hai nelayan yang celaka, kau cuba mahu kenakan aku?" Bisik laki-laki itu dengan merah padam di mukanya. Shahadan, Indera Bijaksana pun jatuhlah ke dalam sungai dan basah kuyuplah. "Hahahaha, Ikan besar! ikan besar!" Maka tiada tertahanlah gembira nelayan itu mendapat rezeki besar, tiadalah dipandang Laki-laki basah kuyup itu.
itu.

(Sekadar berkarya)