08 September, 2012

Sehari bertambah sejam

Sedar tidak sedar, sehari pergi bergitu sahaja. Sehari yang pergi itu melahirkan sehari yang baharu. Sehari yang sama panjangnya. Hanya 24 jam sahaja. Pabila kerja tidak dapat dilangsaikan kerja itu akan dikreditkan pada akaun hari ini (yang bakal begelar semalam) dan didebitkan pada akaun hari esok (yang bakal begelar hari ini). Ada dalam kalangan kita berasa masa yang sehari itu tidak cukup dan pernah juga ada dalam kalangan kita berasa sehari mengandungi lebih daripada 24 jam adalah sesuatu yang bagus, kerana masa sudah bertambah!

Jika lebih satu jam dalam sehari, seorang penulis boleh memanfaatkan masa itu untuk karyanya. Jika sehari ditambah satu jam, seorang guru boleh berehat setelah penat menanda hasil kerja pelajarnya. Jika bertambahnya 60 minit untuk sehari, seorang peniaga boleh menunggu lebih ramai pelangan untuk datang mencurahkan rezeki kepada mereka. Jika 3600 saat ditambahkan pada masa yang 24 jam itu, nescaya seorang pelajar dapat mengulang kaji lebih banyak bahagian yang dia lemah. Jika wujudnya pukul 13 dalam sistem masa di dunia, nescaya seorang penjenayah yang bakal mati digantung dapat melihat dunia dengan lebih lama.

Tetapi, satu jam yang ditambah itu membawa bersama beban juga. Kerana satu jam ditambah, waktu bekerja seorang penulis bertambah. Kerana 60 minit itu, seorang guru perlu bekerja lebih satu jam kerana masa bekerja pun mungkin ditambah setengah jam seperti beban kerjanya yang ditambah. Seorang peniaga perlu menambah kos overhead kerana waktu beroperasi pun telah ditambah secara tidak langsungnya. Tidak kurangnya seorang pelajar kerana memikul beban pelajaran yang bertambah akibat masa yang bertambah itu. Bagi penjenayah yang bakal digantung, bertambahlah satu jam perasaan takutnya untuk mati pada keesokkannya.

Bukan satu jam ditambah dalam sehari akan meringankan beban. Tambah beratus-ratus jam pun masa kekal tidak cukup. Mungkin sehari pada masa itu seperti sebulan lamanya, sebulan seperti setahun lamanya. Dengan erti lain, nama sahaja yang berubah tetapi nilainya masih sama. Mungkin pada masa dimana sistem masa telah dipanjangkan, yang berubah hanya bilangan hari jadi manusia!

(Sekadar tulisan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan