30 September, 2012

MejaLogam berehat seketika

Apa khabar kepada anda yang sedang melawat Laman MejaLogam? Semoga sentiasa dalam keadaan sihat dan sejahtera. Untuk kali ini, saya tidak menulis bahan yang baharu untuk tatapan / pendengaran anda pun. Tetapi hanya nak (sedih) beri tahu bahawa saya akan berhenti menulis buat seketika. Hal ini kerana saya akan berhadapan dengan minggu yang sebuk dengan peperiksaan pertengahan dan beberapa perancangan perbentangan yang sangat memakan masa. Semoga anda akan kekal melawat laman ini pada masa hadapan dan terus melawat tanpa bosan. Maaflah kerana terpaksa meninggalkan tanggungjawab saya sebagai pengurus laman maya ini buat seketika. Sesudah minggu yang sibuk ini berakhir, saya akan kembali hidupkan Laman ini. Nantikan ya!
**Skema betul lah penulis MejaLogam ni!!

(Sekadar tulisan)

23 September, 2012

saja nak tulis

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada para pembaca. Untuk pengetahuan semua, saya telah memasuki semesta ke 2 dalam cause PR saya di TARC. Melalui minggu sulung ini, saya telah diberi pengetahuan serba sedikit tentang apa yang bakal saya pelajari. Memang menarik subjek yang ditawarkan tetapi nampak gayanya lebih susah sedikit.hahahah... Mudah-mudahan, saya akan dapat menempuh cabaran baharu ini. Oh ya, kepada para sahabat yang bakal menempuh SPM, sudahkah anda menetapkan target anda untuk keputusan yang bakal terhidang pada tahun hadapan? Target tinggi-tinggi tak mengapa tetapi jangan cakap kuat-kuat sebab orang akan salah tafsir dan kata kita (poyyo) hahaha. Sebaiknya, target sederhana tinggi tetapi buat lebih daripada target itu. Sudahkah anda menyediakan diri anda untuk menjawab SPM? Jika jawapan bagi soalan tadi adalah belum, anda harus bermula dari sekarang. Masih ada masa lagi! Gunakanlah saat-saat terakhir ini untuk menjawab lebih banyak soalan-soalan SPM yang lalu agar dapat menyesuaikan diri dan secara tidak langsungnya mengulangkaji juga.
Semoga semua berjaya seperti apa yang diharapkan, malah lebih baik lagi!!

(Sekadar perkongsian)

Bayangan bayang-bayang

Apabila bayang-bayang wujud, bererti disitulah cahaya. Cahaya memberi bayangan kepada kita bahawa setiap daripada sasaran sinarannya berwarna, berparas rupa. Kisah bayang-bayang memberi tahu kita bayang-bayang hilang bersama cahaya. Tetapi sebenarnya, bayang-bayang menjadi lebih besar tatkala cahaya tiada. Sebenarnya, bayang-bayang bukan wujud akibat wujudnya cahaya tetapi, bayang-bayang wujud kerana ketiadaan cahaya.

Selamat sejahtera kepada para pembaca yang sangat saya hormati. Terima kasih saya ucapkan kerana masih meluangkan masa untuk membaca tulisan di Laman MejaLogam. Sebenarnya, saya sering membayangkan sesuatu dengan mengunakan logik akal (common sense). Malangnya, bukan semua perkara tepat dengan apa yang dikatakan logik akal itu. Sebagai contoh yang terbaik, dalam ilmu psikologi, sesuatu hipotesis tidak boleh dilakukan dengan mengunakan logik akal sahaja. Sebaliknya, bukti harus dikemukakan secara saintifik. Sama juga dengan sesuatu yang kita pernah baca atau dengar. Dimulakan dengan bayangan atas apa yang dibaca. Seterusnya, fikirkannya. Akhir sekali, kaji berasaskan bukti yang ada. Tetapi, kerana terlalu bergantung kepada bukti dan saintifik, limitasi berlaku. Sesungguhnya, banyak perkara tiada jawapannya. Kerana terlalu susah untuk dijawab, kerana tidak kukuh jawapan, kerana terlalu banyak kontroversi, kerana terlalu banyak pemikiran dan pendapat, kerana terlalu banyak halangan dalam konteks ilmu dan peralatan dan terlalu jauh dengan norma masyarakat.

Ada sesetengah soalan tidak perlu dijawab pun. Tetapi bukan semua jawapan adalah tiada jawapan. Seperti ciptaan yang lain, semuanya mempunyai limitasi, jadi tiadalah perlu mencabar di luar kemampuan diri. Jadi, kepada mereka yang menantikan jawapan yang tidak muncul-muncul itu, hampalah anda dan terus diseksa pertanyaan mengapa, bagaimana, dan sebagainya.

Kisah Bayang-bayang yang wujud kerana cahaya hanya bayangan semata-mata.

(Sekadar menyeru ilham)

19 September, 2012

Bersyukur?

Kau/hang/kamu/anda/kalian/dia/mereka/depa/kawe ni tak tahu bersyukurlah! Kalau jadi insan yang bersyukur, kita gembira dan terima dengan apa yang ada di sisi kita. Jangan meminta yang terlalu banyak dan jauh sesekali untuk kita belajar tamak. Kalau dah tahu syukur itu adalah nilai yang bagus, kenapa kita tak terus mengamalkannya? Kita harus bersyukur dengan apa yang sedia ada! Tetapi, kenapa ada yang masih bising kata air tak bersihlah, berbaulah, tak dapat berniagalah, sekolah/guru tak cukuplah, tak dapat alaunlah, tandas tak bersihlah, tak selamatlah, gula,minyak, beras, dan banyak keperluan asas mahallah sabsidi kuranglah, serta banyak lagi rintihan yang mengambarkan kita yang tidak bersyukur? Rumah dah ada, boleh tinggal, cukuplah. Air boleh guna cukuplah! Masih sesuap nasi untuk hidup cukuplah! Dah boleh terus hidup cukuplah! Masih boleh hidup pun sudah cukuplah!!! TOLONG Belajar Bersyukur!!

Adakah penyataan di atas menepati maksud kesyukuran yang sebenar? Tanya saya, saya pun pening. Nak kata ya, tak juga nak kata tak, macam ya pun ada. Oo, penyataan di atas hanya penyataan merdeka dan tiada hubungan persaudaraan dengan semua yang masih hidup, yang tidak hidup atau pun yang telah mati. Jauh sekali bertindak sebagai propaganda yang menghasut pemikiran orang atau membangkitkan kemarahan kerana termakan dengan tulisan. Harus diingatkan ini hanya "[{()}]" semata-mata. Tapi, tolong gunakanlah perkataan "tak bersyukur" pada situasi yang sepatutnya agar perkataan ini tidak jauh daripada maksudnya yang asal.

Sekali sekala, hujah yang bertemakan nilai kesyukuran ini digunakan sebagai alasan untuk menentang mereka yang membela hak sendiri. Bagi saya, hak harus dibela dan tiada hubung kait dengan kesyukuran dan kesyukuran tidak berhak untuk membataskan/menghakis/menengelamkan hak seseorang individu, sekumpulan masyarakat, sebuah organisasi yang sama kepentingan, sesebuah kerajaan dan semua hidupan. (mana-mana masyarakat lain yang harus diberikan hak juga boleh diterima). Cuba bayangkan jika kita mahu makan nasi sepinggan tetapi dipaksa makan nasi sesuap atas alasan (kesyukuran dan jangan tamak atau "- harus belajar bersyukur dan menerima apa yang sedia ada.". Seronokkah kita? Sukakah kita? Puas hatikah kita? Adilkah mereka?

(Sekadar tulisan)

Fikir positif dan gunakan dengan positif

Jatuh tersungkur mendidik kita berdiri lebih tegak. Kalah teruk membuka pintu kemenangan kelak. Pengalaman pahit melahirkan daya penolak. Kritikan membina menempatkan kita di puncak.

Setiap perkara yang negatif membawa kepada yang positif. Mungkin patut kata setiap yang negatif menjadi toping kepada yang positif. Namun begitu, perkataan "setiap" harus digugurkan pada ayat di atas kerana bukan semuanya yang negatif adalah toping.

Memang bagus jika fikiran yang positif sentiasa menjadi pegangan kita. Jadi, perkataan "setiap" itu boleh diletakkan semula dalam dua ayat tersebutlah. Bukan mudah boleh berfikir sewaras itu, dan bukan senang untuk mengunakan kewarasan itu pada tempat yang waras. Dengan erti lain, bukan senang berfikir positif. Tetapi sekiranya sudah dapat berfikir sedemikian rupa, susah pula mengaplikasikannya.

Fikiran yang positif meleraikan kekusutan. Fikiran yang positif mewujudkan persefahaman. Fikiran yang positif mengelakkan pertempuran. Fikiran Positif kunci kesejahteraan. Namun, fikiran yang positif bukan semudah melepaskan angin dari --, (harum). Semestinya bukan mudah juga untuk menggunakannya. Mungkin patut disamakan dengan api. Bila kecil, dia kawan. Bila besar, juga kawan. Bila sangat besar, juga kawan? Atau jika besar, sudah jadi lawan? Bila besar, jadi lawan. (aduhai, pening pening bahasa, pening lagi penulisnya). Sebenarnya, fikiran yang positif perlu dalam diri kita tetapi gunakanlah kelebihan itu pada tempat yang betul. Tidak mungkin seorang pahlawan gagah lengkap bersenjata ditugaskan untuk menggunakan senjatanya yang tajam terhunus memotong bawang dan sayur di dapur. Tidak mungkin seorang tukang masak Barat mengunakan kemahirannya membuat Mi Itali untuk memasak Mi Bandung dan jauh sekali seorang perenang berenang di udara, di darat dan di angkasa. (agak-agaklah Bro!) Biarlah kita memajukan diri dengan menyerap apa yang baik dan GUNAkannya dengan cara yang betul agar kesan yang maksimum dapat dicapai.

(Sekadar tulisan)

14 September, 2012

Tetamu Abu, Joyah

Alkisah, tersebutlah sebuah kisah entah hari berapa dan bulan berapa, di mana keluarga Pak Abu dilawati keluarga sepupunya, keluarga Mak Joyah. Maka, dikemaskanlah rumah itu bak istana gerangannya dengan hiasan bau-bauan yang indah-indah. Setelah sudah, maka tibalah Mak Joyahnya dengan anak beranak berserta laki tuanya dengan penuh tertipnya. Serba mula, Pak Abu pun berikanlah kerusi yang sedap-sedap beserta layanan VIP lakunya dengan bicara kononnya Mak Joyah penat datang berjuta pelaung jauhnya. Lagi mereka anak beranak sudahlah bersepupu dan tetamu pula. Lalu, malulah Mak Joyah dengan dilayan sedemikian rupa. Tidak berapa lamanya, manisan dan air mawar dihidanglah. Manis gula, manis di hati, tersenyum di muka, penuh berseri. Mak Joyah pun merahlah mukanya, malu-malu kucing. Lalu diperkatakanlah kepada Pak Abu yang mesra itu, "Hai Abu, tak payahla macam tu. Malulah aku. Tuan punya kerusi yang sedap ni, aku duduk. Air yang manis-manis ni, aku yang minum. Anak-beranak kau macam mana? Isteri-isteri kau macam mana? Kau pula macam mana?". Lantas tersenyum besarlah Pak Abu yang berbini tiga itu lalu berkata-kata. Begitulah bicaranya, "Tak apalah, anak-anak aku minum air biasa sudahlah. Lantai tu kan boleh duduk juga. Isteri-isteri aku tak kisah pun. Buatlah macam rumah sendiri.".
"Oh, begitu... Terima kasih lah. Abu. Aku duduk dan minum dulu ya!" Lantas, air pun diteguk dan kerusi pun diduk dan disandarlah.

Shahadan, bicaralah kononnya setahun pun berlalu sudah. Mak Joyah anak-beranak datanglah ke rumah Pak Abu. Maka, disambut mesralah oleh Pak Abu seperti masa-masa dahululah. Dilihatnya kasut dan selipar terlalu banyaklah bertempiaran. Lalu disoal Mak Joyah. Beginilah bunyinya, "Abu, rumah kau ada ttetamu lain ke?". Pak Abu pun senyumlah dengan manis lalu berkata, "Anak aku yang paling sulung dan keluarganya dah balik dari bandar. Katanya nak bercuti kat kampung.". Setelah sudah dengan berkata-kata, Mak Joyah pun disambutlah ke dalam rumah dengan mesranya. Tikar dibentang dan kuih dihidang. Air suam-suam demam bertakung bercawan-cawan dihidang bersama untuk Joyah sekeluarga. Maka, tiadalah puas hati Joyah itu dengan muka merah-merah. Lalu, diumpatlah yang duduk di kerusi yang sedap dengan air yang manis itu dengan sepenuh hatilah. Begini marahnya, "Hai celaka anak Abu, Aku juga tetamu. Bukan kau saja tetamu. Dulu, aku dapat semua tu tapi sekarang? Chis, Kerusi tu aku yang punya dan air manis tu aku yang punya!!!". Lalu dihampirilah Pak Abu lalu berkata -kata, "Hai, Joyah, maaflah, air manis dah habis. Kerusi pun tak cukup. Maaflah.". Namun, tidak mengapa di mulut joyah, panas berbahang dalam hatinya.
Begitulah mulutnya yang tidak berkata bahasa hatinya.

(Sekadar tulisan)

Hari tua

Apabila sampai ke hari tersebut, dunia sudah tidak seerti yang kita kenal dahulu. Erti yang dahulu indah bercampur hodoh, bahagia bercampur zalim, manis disalut pahit, gembira berpasang sedih, kejayaan bersisikan kejatuhan, semuanya nilai-nilai kehidupan yang menarik. Sesudah tua dan tiada arah yang hendak dituju, hidup ibarat warna kelabu, kabur tak terlihat hadapan mahupun belakang, yang jelas hanya teman, bernama kesyunyian.

Saat itu, segala-galanya tiada lagi perlu, hanya perhatian anak cucu, hanya rumah yang damai untuk dihuni, hanya makan dan minum cukup dan lebih tiada perlu. Hidup itu hanya dihabiskan duduk selesa, tidur dengan lena, dan yang selebihnya sudah lebih daripada cukup. Daya sudah kurang... Hati hendakan gunung, tenaga sekepal tanah. Apakandaya?

Tibanya hari itu, kita akan berehat kerana kita dalam sejarah sudah pun kuat menghabiskan daya tenaga. Jadi berehatlah, jangan agrasif lagi. Hari ini rehat untuk menunggu hari esok yang rehat juga dan hari esok adalah penunguan hari rehat yang seterusnya sehinggalah hari esok yang terakhir itu. Penatlah berehat! Tetapi rehat perlu kerana sudah pun penat.

Selamat sejahtera kepada para pembaca. Jangan hairan dengan tulisan ini. Ini hanya tulisan yang saya tulis setelah berkata-kata dengan nenek saya yang sudah berumur itu dan tulis bedasarkan perasaan saya semasa berkata-kata dengan beliau. Tulis pun membabi buta sahaja. Hahahaha. Tetapi, saya harap sesiapa yang tua kelak, janganlah jadi macam tu.

(Sekadar tulisan)

Penghawa dingin dan kepanasan

Dalam saat kepanasan itu, mereka berlindung di bawah pepohon yang rendang lagi segar dengan bayu dingin, menikmati keindahaan ciptaan-Nya. Itu kisah dahulu di mana dunia ini masih kekal dengan pohon rendang, Rimba yang tenang dan air jernih yang mengalir menuruni gunung, mengalir bercabang, membentuk pelbagai bentuk polar saliran yang menarik dan mengalir terus ke laut. Hari ini bumi kekal tanpa pemandangan yang tulin lagi. Kerana manusia yang bersalah? Hari semalam telah menjadi sejarah dan bertindak seperti pendeta, mendidik khalifah bumi maju ke hadapan. Pembangunan mengambarkan kemajuan dan kemurnian akhlak mengambarkan kemajuan. Kedua-duanya bersatu membentuk ketamadunan. Hutan pohon berganti hutan batu, Hutan rimba berganti lautan manusia. Lantas, panas diseru, lautan bertambah luas dengan ais kutub yang sedang menangis menahan kepanasan.

Pada abad ke-21 ini, penghawa dingin menjadi duri dalam daging manusia. Daging sedap di makan tetapi pedih apabila duri membenam lelangit, lidah mahupun gusi. Itulah jentera yang sering dipanggil pendingin hawa itu. Selalunya, kalau panas, apa yang kita biasa lakukan? Tekan alat kawalan, hidupkan jentera yang sejukkan rumah kita, panaskan rumah hijau yang sedia panas lagi berbahang. Ya, tidak lain tidak bukan alat kuat makan bil elektrik itu, "aircon". Sedang kita menikmati kedinginan yang sangat mengasyikkan, pejalan kaki di luar sana sedang panas. Oh, mereka pun akan balik bilik mereka, hidupkan "aircon" mereka untuk sejukkan diri, panaskan orang lainlah. Mungkin mereka kata, "Orang ada aircon, aku tak ada ke?". Maka, kayalah syarakat penghawa dingin itu!

Apabila bahang dirasai, bukan sahaja manusia tetapi haiwan pun akan mencari pelindungan. Jadi, hidupkan Air con tak salah sepenuhnya. Tetapi Gas CFC yang terlepas ke atmosfera akan memecahkan cantuman 3 zaraf Oksigen (3O) atau nama umumnya ozone Layer dengan secara tak sengaja, juga tidak langsung menipiskannya. Semestinya pemanasan global tidak ada hubung kait yang rapat dengan Air con tetapi pemanasan global ini diakibatkan oleh peratus gas karbon dioksida dalam atmosfera semakin banyak. Gas cantuman satu zaraf karbon dan dua zaraf oksigen ini berkemampuan untuk memerangkap haba seperti batu konkrit di bandar metropoletan. Kesannya, pulau tanpa tanah pun wujudlah. Pulau haba nama diberi! Namun begitu, motor air con yang berada di luar sana tu pun sebarkan haba (yang digunakan oleh sesetengah pihak untuk keringkan baju semasa musim tengkujung.) dan sekali gus menyumbang kepada kepanasan selain kenderaan bermotor dan pokok yang berkurangan menabung haba.

Ingin sekali menikmati penghawa dingin yang tulin. Saya percaya bukan saya seorang tetapi semua.

(Sekadar menyeru ilham)

08 September, 2012

Sehari bertambah sejam

Sedar tidak sedar, sehari pergi bergitu sahaja. Sehari yang pergi itu melahirkan sehari yang baharu. Sehari yang sama panjangnya. Hanya 24 jam sahaja. Pabila kerja tidak dapat dilangsaikan kerja itu akan dikreditkan pada akaun hari ini (yang bakal begelar semalam) dan didebitkan pada akaun hari esok (yang bakal begelar hari ini). Ada dalam kalangan kita berasa masa yang sehari itu tidak cukup dan pernah juga ada dalam kalangan kita berasa sehari mengandungi lebih daripada 24 jam adalah sesuatu yang bagus, kerana masa sudah bertambah!

Jika lebih satu jam dalam sehari, seorang penulis boleh memanfaatkan masa itu untuk karyanya. Jika sehari ditambah satu jam, seorang guru boleh berehat setelah penat menanda hasil kerja pelajarnya. Jika bertambahnya 60 minit untuk sehari, seorang peniaga boleh menunggu lebih ramai pelangan untuk datang mencurahkan rezeki kepada mereka. Jika 3600 saat ditambahkan pada masa yang 24 jam itu, nescaya seorang pelajar dapat mengulang kaji lebih banyak bahagian yang dia lemah. Jika wujudnya pukul 13 dalam sistem masa di dunia, nescaya seorang penjenayah yang bakal mati digantung dapat melihat dunia dengan lebih lama.

Tetapi, satu jam yang ditambah itu membawa bersama beban juga. Kerana satu jam ditambah, waktu bekerja seorang penulis bertambah. Kerana 60 minit itu, seorang guru perlu bekerja lebih satu jam kerana masa bekerja pun mungkin ditambah setengah jam seperti beban kerjanya yang ditambah. Seorang peniaga perlu menambah kos overhead kerana waktu beroperasi pun telah ditambah secara tidak langsungnya. Tidak kurangnya seorang pelajar kerana memikul beban pelajaran yang bertambah akibat masa yang bertambah itu. Bagi penjenayah yang bakal digantung, bertambahlah satu jam perasaan takutnya untuk mati pada keesokkannya.

Bukan satu jam ditambah dalam sehari akan meringankan beban. Tambah beratus-ratus jam pun masa kekal tidak cukup. Mungkin sehari pada masa itu seperti sebulan lamanya, sebulan seperti setahun lamanya. Dengan erti lain, nama sahaja yang berubah tetapi nilainya masih sama. Mungkin pada masa dimana sistem masa telah dipanjangkan, yang berubah hanya bilangan hari jadi manusia!

(Sekadar tulisan)

Sajak ingin sekali aku kembali memijak

Mungkin aku sudah
tinggi bak angkasa
jadi didukung bersama
angkuh, ego beserta bongkak.

Dahulunya,
angkasalah yang ku kejar
kerana di sana
kononnya
serupa surga yang indah lagi selesa.

Normah manusia
yang baik
bertuankan mereka
yang buruk
tinggal berbaki
kepada diri.

Kerana itulah
darat hijau berselit
biru, kuning, merah, ungu
dan mungkin emas dan perak
tiada pun hebat
bak langit angkasa
yang biru, putih dan kelabu itu.

tatkala diri itu tinggi
tinggilah jiwa setinggi langit
maka mabuk diseru arak
sebuah kejayaan.

aku berasal dari tanah
jasatku terapung disokong darat
kukuh kerana berkaki dua
ke langit sekali pun
merangkak mula
dari gumpalan
tanah begelar darat.

Aku di langit
dengan kemewahan kejayaan
terus pandang ke angkasa

Ingin sekali
aku kembali memijak
tanah yang lembut
dan menyegarkan itu.

(Sekadar berkarya)