17 Februari, 2013

Bukan lagi biasa

Pernah aku terfikir juga kalau suatu hari nanti, mereka itu berpisah, tinggalkan saya keseorangan. Pernah juga aku terfikir jikalau mereka bersama-sama meninggalkan saya keseorangan. Mereka pergi dengan kehendak-Nya. Setiap kali itu saya terbayang, setiap kali itulah saya tidak dapat menahan air mata.

Dari kecil lagi, mereka sering marah dengan perkataan "kalau mak/ayah dah tak ada nanti macam mana?" jika saya atau adik engan menbuat kerja-kerja rumah. Tapi, waktu itu tidaklah terbayang sebegitu. Yang terbayang hanyalah marah kepada mereka kerana disuruh melakukan kerja-kerja rumah.

Setiap yang hidup pasti akan mati. Itu adalah fitrah alam. Itu juga kenyataan yang tidak akan berganjak dari hukum sebuah kehidupan. Saya sentiasa cuba, memberanikan diri, malahan berfikir positif kepadanya tetapi air mata ini tidak juga terhalang. Siapa suruh saya ini seorang yang mudah menangis.

Waktu kecil, saya pernah berpisah dengan keluarga. Sedih. Setiap kali berpisah, setiap kali itulah menangis. Sekarang sudah tidak lagi. Bukan kerana sudah dewasa tetapi rasa itu sudah menjadi perkara biasa. Ada terasa juga mahu pergi sahaja daripada mereka kadang-kalanya kerana tidak mahu mereka lihat betapa menyedihkan diri ini.

Sehari demi sehari berganti dan hari yang akan datang itu semakin dekat. Saya tahu ianya akan datang akhirnya. Saat-saat itu, saya sudah tidak tahu bagaimana hendak digambarkan dalam bahasa. Perasaan yang sangat-sangat berat sentiasa sahaja tersangkut pada hati. Ramai nasihatkan saya agar bersikap positif dan terima sebagaimana ianya berlaku tetapi saya gagal.

Akhirnya, hari itu pun tiba. Seorang daripada mereka sudah pergi dan tidak lama kemudiannya, seorang lagi pun pergi jua. Detik-detik itu, saya rasa macam nak gila. Sebab merekalah saya mengejar impian saya. Sebab merekalah saya terus berjuang untuk membuat mereka gembira. Kini, mereka sudah pergi, pergi meninggalkan saya. Sumber tenaga saya, sumber inspirasi saya dan sumber kasih sayang saya berkecai serentak, berkecai bersama pemergian itu. Erti kejayaan yang belum sempat saya buktikan kepada mereka hanya tinggal harapan yang tidak mungkin dapat direalisasikan.

Beberapa hari pun berlalu begitu. Berlalu dengan ketiadaan mereka. Perpisahan itu tidak boleh terhalang pula air matanya. Tidak terhalang kerana terasa ianya bukan lagi biasa. Setiap kali terkenang senyum mereka, belaian mereka, kelembutan sentuhan mereka, tangisan pun datanglah.

(Sekadar menyeru Ilham)

10 Februari, 2013

Selamat tahun baru Cina

Selamat sejahtera kepada anda yang sedang membaca Laman MejaLogam. Terlebih dahulu, ingin sekali saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh warga Malaysia dan jika boleh, kepada semua yang berkongsi ciri-ciri biologi Cina di dunia. Pada masa yang sama, saya juga ingin memohon maaf kerana agak kurang aktif semenjak kebelakangan ini. Untuk pengetahuan semua, saya telah melanjutkan pengajian saya ke semesta yang ketiga di TARC. Mudah-mudahan, saya akan berjaya dalam pengajian saya. Doa-doakan ya.

Oh ya, sebelum saya menghentikan tulisan ini, saya ingin sekali kembali aktif dalam penulisan blog tapi .......... hahaha. Mudah-mudahan saya akan kembali aktif semula. Akhir kata, Selamat tahun baru cina.

(Sekadar berucap)