09 Januari, 2013

Pengenalan ringkas Ilmu psikologi

Apa khabar kepada anda yang sedang melawat Laman MejaLogam? Semoga sentiasa dalam keadaan yang terbaik dari segi fizikal mahupun Mental. Seperti tajuk yang telah saya pilih, tulisan ini akan menceritakan lebih banyak ilmu tentang Psikologi.

Terlebih dahulu, apakah itu psikologi dalam pandangan anda? Adakah ianya pengajian perangai manusia? Adakah ilmu berkaitan dengan mentaliti dan perkembangan emosi? Adakah berkaitan dengan kajian perbuatan dan kelakuan? Sebenarnya, kesemuanya merupakan sebahagian daripada psikologi. Merujuk Dr. Coon dan Mitterer (2010) dalam buku mereka, psikologi ditakrifkan sebagai pengajian atau pembelajaran secara SAINTIFIK tentang kelakuan dan aktiviti pemprosesan mental. Perkataan 'saintifik' telah dimasukkan kerana ilmu psikologi menekankan ilmu sains dalam membuktikan kelakuan dan aktiviti mental. Oleh yang demikian, bidang-bidang yang menerangkan kelakuan dan perangai manusia melalui kedudukan bintang (astrologi), bidang yang meramalkan masa depan manusia melalui retakkan tulang, dan menerangkan sikap melalui corak tulisan tangan tidak boleh ditafsir sebagai bidang psikologi tetapi Pseudopsikologi. Pseudo boleh didefinisikan sebagai 'yang tidak wajar' dan apabila kedua-dua perkataan 'pseudo' dan 'psikologi' dicantum, maka maknanya sudah jelas menolak bidang-bidang ini tidak boleh disamakan dengan ilmu saintifik ini.

Terdapat 4 kata kunci penting dalam tujuan psikologi iaitu menyatakan tingkah laku, menerangkan tingkah laku, meramalkan tingka laku dan mengubah/mempengaruhi tingkah laku. (Cherry 2013) Dalam tujuan yang pertama, ia membolehkan kita memahami dengan lebih mendalam dan membezakan tingkah laku semula jadi atau kejangalan. Tujuan yang kedua pula menekankan persoalan yang timbul untuk menerangkan sesuatu kelakuan seperti mengapa dan apa faktornya bagi sesuatu kelakuan atau tindak balas. Dalam tujuan yang ke tiga pula, ilmu psikologi telah digunakan untuk membuat jangkaan ke atas sesuatu kelakuan berpaksikan hasil kajian yang pernah dijalankan. Dan yang terakhir sekali, Psikologi digunakan untuk mengubah atau mempengaruhi kelakuan di mana ia sering digunakan dalam bidang seperti kaunseling, rawatan mental, sesi terapi minda dan motivasi.

Baiklah, saya rasa setakat ini dahulu tulisan yang serba ringkas ini. Untuk tulisan yang akan datang, saya akan cuba untuk kongsikan lebih banyak lagi ilmu yang berkaitan dengan bidang psikologi. Nantikan ya!

Sumber Rujukan:
1. Coon, D & Mitterer, J.O 2010, Introduction to psychology: Getway to mind and behavior, 12th edn, Thomson Wadsworth, California.
2. Cherry K 2013, http://psychology.about.com/od/psychology101/f/four-goals-of-psychology.htm
(sekadar berkongsi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan