09 Februari, 2014

Sambutan Tahun Baru Cina 2014

Mungkin kerana sambutan tahun baru cina kali ini sedikit tawar kerana tiadanya bunyi riuh rendah seperti satu dekat yang lalu, ramai daripada saudara-mara dan sahabat handai yang meraikan perayaan bersejarah ini berpendapat bahawa Tahun Baru Cina sekarang tidaklah seistimewa mana.

Walau bagaimanapun, saya sedikit kurang bersetuju kerana saya merasai kemeriahannya. Pada hari pertama perayaan, kami sekeluarga baru bertolak dari rumah, pulang ke kampung kami yang terletak di bahagian selatan Negeri Perak, iaitu Teluk Intan. Kebiasaannya, kaum Cina akan memastikan memastikan mereka berada di kampung sebelum hari perayaan itu tiba kerana mereka mahu makan besar bersama semua ahli keluarga yang ada, tetapi keluarga kami sudah beberapa tahun meninggalkan kebiasaan ini. Dalam lagenda tahun baru cina, makan besar ini merupakan saat-saat penting untuk mengumpul kesemua ahli keluarga bersama sebelum mereka pergi ke puncak bukit atau gunung untuk mengelakan diri daripada diserang Raksasa yang akan datang tepat hadirnya tahun Baru. Saat-saat ini sungguh berharga kerana waktu kualiti dan hubungan siraturahim dapat dikuatkan semula. Ditambah pula dengan meja bulat yang melambangkan kesepaduan, makan besar ini bertambah nilai pentingnya.

Perjalanan kami bermula kira-kira 2 petang dan menghabiskan kira-kira 3 jam untuk sampai ke destinasi kami. Kami telah menggunakan jalan lama mengantikan Lebuh Raya kerana kami dapat menziarahi mak Uda kami yang tinggal di Sekinchan, iaitu sebuah pekan yang popular dengan Sawah Padi dan Makanan Laut! Tetapi malang, kami tidak ditakdirkan berjumpa di sana kerana tuan rumah sudah jauh pergi ke utara dan singgah bersantai di ibu negeri Perak itu.

Seterusnya, kami tumpukan perhatian kami dengan menghabiskan saki-baki bahan bakar kereta kami menuju ke Teluk Intan, iaitu tempat kelahiran kami sekeluarga. Seperti biasa, bangunan mercu tanda iaitu binaan menara condong ratusan tahun itu yang menjadi buruan mata kami sekeluarga! Ternyata, tiada apa yang banyak berubah tentang menara kenangan itu tetapi tidak bagi susunan dan struktul pekan itu. Beberapa jalan pun dah berubah dan hiasannya juga sudah tidak lagi serupa. Seterusnya, apa yang kami perhatikan adalah rumah aruah nenek yang sekarang ini dihuni Pak Lang. Selalunya, rumah itulah yang kami akan tinggal sepanjang perayaan yang bermakna ini. Bagi Ayah, rumah ini merupakan kenangan bagi segala-galanya kerana dua dekat yang sulung dalam perjalanan hidupnya dihabiskan di sini. Ayah pernah memberi tahu saya bahawa rumah ini tidak seperti apa yang saya lihat hari ini. Kerana kediaman ayah yang pertama ini merupakan rumah papan yang berkaki empat dan bukan rumah batu! Keadaan geografinya juga jauh lebih menarik sebelum ini. Ayah berkata rumah itu dikelilingi longkang besar yang dihubungkan dengan titi kecil. Bukan itu sahaja, di satu bahagian lagi, terdapat pokok buah-buahan yang berbagai-bagai. Udara pula nyaman dengan air tawar dari sungai Perak menghidupkan parit yang berikan itu. Embun sentiasa ada sahaja apabila hari menjelang senja.

Pada saya, keadaan sekeliling rumah itu sedikit berubah jika dibandingkan dengan apa yang terakam dalam memori saya. Pokok Rambutan yang besar lebat dengan daun sudah botak kering. Pagar zink pula diganti pagar dawai. Mantari juga boleh dilehat dengan jelas tanpa lagi diselindung daun-daun. Rumah itu pula bertambah usang seperti mana Wajah Pak Lang. Malam itu, kami tidak pergi ke mana-mana dan hanya menghabiskan masa bersama sepupu kami yang sudah lama tidak berjumpa. Oh ya, rumah Pak Lang juga sudah didatangi Pak Tam dan cucu-cucunya yang tinggal di Petaling Jaya. Dengan kehadiran gelak tawa dangan tangis budak-budak, dengan suara dewasa sembang sakan, rumah itu pun meriah seperti parti besarlah!!

Hari esoknya, kami pun mulakan misi sapu angpau dari semua ahli keluarga kembangan dari keluarga sebelah ayah mahupun ibu. Bagusnya tentang kedua-dua ahli keluarga kembangan ini adalah mereka tinggal sekampung dan tidak perlu pergi berpeluh Kilomiter untuk menziarahi satu rumah ke satu rumah. Ayah pula ada "event" istimewa iaitu pertemuan semula dengan semua bekas rakan sekelas semasa sekolah rendah dahulu. Kami juga berpeluang bertemu dengan Guru Kelas Ayah saya semasa dia masih budak mentah lagi. Beliau adalah Cikgu Lee dan kini sudah berumur 84 tahun!! Apa yang mengkagumkan saya adalah keadaan fizikal dan mentalnya yang masih tajam seperti seorang yang muda! Beliau bukan sahaja masih boleh berjalan dan duduk dengan tegak tetapi boleh melihat dan mendengar dengan jelas dan mengenali wajah-wajah bekas pelajarnya. Hebat bukan!! Semoga saya dapat bertemu dengan beliau lagi di tahun hadapan.

Setelah penat memburu angpau, kami pun kembali berehat pada sebelah malam. Oh ya, sebelum terlupa, saya dapat melihat dan menyentuh kelip-kelip pada malam semalam. Memang cahayanya terang pada penglihatan biasa tetapi bukan saya. Namun begitu, dapat membiarkan serangga comel itu singgah di telapak tangan sudah jauh daripada mencukupi bagi saya. Saya benar benar bersyukur kerana masih diberi peluang sebegini pada zaman yang sudah modern ini. Ayah dan Ibu pernah memberi tahu bahawa serangga ini bersepah sepah di mana-mana sahaja semasa zaman kecil mereka. Dan sekarang, bertemu dengan kelip-kelip ini seperti melihat gerhana mentari ibaratnya.

Keesokan harinya, kami bertolak awal untuk pulang ke rumah dan menyambung sambutan Tahun Baru Cina di rumah kami. Secara keseluruhannya, walaupun kami sudah tidak bermain mercun dan main kejar-kejar seperti mana pada zaman kecil dan pada perayaan tahun Baru Cina yang dahulunya, saya masih dapat merasakan riuh rendah dan suasana panas yang sepatutnya dirasai dalam permulaan tahun baru dalam kalender cina ini. Semoga tahun kuda ini akan menjadi lebih bermakna buat saya, semua ahli keluarga, guru-guru dan semua rakan-rakan saya! Akhir kata, selamat Tahun Baru Cina kepada semua!! (Maaf, mungkin sedikit terlambat hahaha)

(Sekadar Berkongsi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan