14 Disember, 2011

Kisah plastik (Pembungkus Makanan)

Kini, tiba giliran plastik pembungkus makanan pula memulakan hujah tentang kehidupannya yang penuh dengan kesensaraan. Nasi dan lauk serta macam-macam sampah lain mengalihkan perhatian mereka kepada plastik yang sudah dikotori dengan sos cili dan batang lidi. Pada mulanya, nasi (dalam Tulisan Kisah Hidup Nasi) sahaja yang berasa hidupnya penuh dengan kesedihan. Setelah memasang telinga memerangkap suara plastik, nasi bertambah simpati pula dengan kisah kehidupan plastik yang tidak kurang sedihnya.

Plastik lahir di sebuah kilang pembuatan plastik pembungkus makanan. Plastik mempunyai ahli keluarga yang ramai dan mereka sentiasa bersama-sama dalam sebuah bungkusan yang tebal yang dipanggil mereka bapa. Bapa sangat tebal dan kuat jika dibandingkan dengan mereka. Setiap hari, bapa menyatakan bahawa kehidupan sebagai plastik adalah panjang dan sentiasa berada dalam satu kitaran bulatan. Ini kerana mereka merupakan keturunan Turmoplastik yang boleh dicairkan dan dibentuk semula. Setiap kali mereka dibuang, (dalam tong sampah kitar semula), maka kehidupan mereka yang seterusnya akan bermula, sebagai plastik juga. Tetapi, bagi plastik pembungkus makanan itu, kehidupan sebagai plastik yang terlalu panjang sangat membosankan. Membosankan kerana terpaksa mengulangi perkara yang sama bagi setiap kali kitaran.

Satu hari, plastik pembungkus makanan telah dikeluarkan oleh pegerai makanan segera untuk mengisi kentang goreng panas dan bebola ikan yang dicucuk dengan lidi. Pada saat terakhir dia melihat bapa, plastik berpengalaman itu sempat tersenyum dan mengucapkan selamat menempuh kehidupan yang penuh dengan manis pahit di dunia.

Kini, sejumlah kentang dan secucuk bebola ikan sudah pun dimasukkan ke dalam plastik dengan ditemankan cecair merah yang menyelerakan. Orang muda yang membelinya mengantungkan senyuman sahaja (tersenyum kerana makanan dan tidak ada kaitan dengan plastik) sambil menikmati hasil yang ditukarkan dengan wang ringgit. Inilah kali pertama plastik melihat manusia tersenyum. (Pegerai yang menjual hanya bermasam muka sepanjang masa bersama plastik). Fikir plastik, dia telah membahagiakan orang lain. Di sudut hatinya, (Walaupun tidak berhati), plastik sangat gembira dan dia sudah mula faham mengapa bapa sangat seronok dengan kehidupannya yang berulang-ulang tanpa berasa bosan.

Setelah pemuda itu menghabiskan makanannya, plastik itu dicampakkan di dalam tongsampah (Rumahnya) yang tidak ada lebel dengan simbul kitar semula seperti mana yang pernah dikatakan oleh bapa. Tetapi plastik tidak menghiraukan semua itu. Dalam hatinya, setiap manusia akan mengitarsemulakan plastik. Plastik dimasukan ke dalam tong sampah yang mengisi beraneka sampah lain, bukan plastik sahaja. Setelah mendengar Kisah Kehidupan Nasi, barulah dia tahu bahawa kehidupannya akan tamat di situ sahaja. Hidupnya terlalu pendek dan tidak sempat menadah pengalaman seperti mana yang dinyatakan oleh bapa. Kini, giliran nasi, lauk, tin biskut dan macam-macam lagi memujuk plastik yang menangis tidak berair mata itu.

(Sekadar untuk menyeru ilham!)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan