09 April, 2014

Kekurangan

Sedar tidak sedar, deploma telah pun berlalu dan kini saya ditinggalkan dengan kuasa untuk memilih jalan dalam meneruskan pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi. Terlalu sukar untuk saya mengambil keputusan teruskan degree dalam Perhubungan Awam atau tidak. Sekiranya diteruskan, saya bakal berhadapan dengan beberapa cabaran yang hebat kerana subjek-subjek yang ditawarkan memerlukan penggunaan mata.

Setahun yang lalu, semasa saya memberi kerja sama kepada seorang senior yang membuat kerja kursus berkaitan dengan OKU kategori penglihatan terhad, saya dengan penuh bersemangat memberi tahu bahawa "OKU boleh melakukan perkara-perkara seperti mana yang dapat dilakukan insan biasa". Apabila berfikir kembali tentangnya, saya mula berasa yang saya ini masih budak mentah yang masih tidak jelas akan betapa tingginya langit. Sepanjang hidup saya, sudah terlalu ramai yang telah memberi motivasi dan kata-kata semangat yang berbunyi seperti "kecacatan bukan penghalang" atau mana-mana yang serupa maknanya dalam banyak jenis bahasa. Mungkin sebab itulah saya juga menggunakannya kembali apabila diminta menyumbang maklumat kepada Kerja Kursus Senior itu. Sebenarnya, saya pun berasa saya akan bercakap seperti itu apabila memberikan motivasi kepada rakan senasib. Mungkin sebab inilah ayat pertama yang muncul.

Kenyataannya, kekurangan ini mula saya rasai selepas saya mengambil Deploma di TAR University College. Kekurangan ini bukan sahaja menghadkan pilihan saya. Kemampuan saya dalam banyak perkara juga menjadi sukar berkali ganda. Semenjak kecil lagi, saya tidak berasa diri saya ini kekurangan. Walaupun saya tidak dapat bermain kebanyakkan permainan video, menonton secara live aksi serang menyerang di padang bola sepak, melihat aksi hebat Dato Lee Chong Wei, boleh nampak dan berjalan-jalan pada waktu malam seperti mana adik, mak, ayah, jiran-jiran dan yang lain-lain, saya tidak rasa kekurangan. Tetapi bukan lagi setelah saya mengenali kepentingan "mata" dalam dunia pekerjaan. Namun, kekurangan ini tidak ada kaitan dengan kedua-dua orang tua saya yang sudah cukup penat membesarkan saya. Sebaliknya, saya mungkin tidak boleh membalas jasa mereka dengan mencari sebuah kerja yang menjanjikan "survival" saya sendiri.

Setiap kali saya memikirkan kekurangan ini, perasaan saya bercampur aduk. Antara gembira dengan sedih. Antara bangga dengan kecewa. Gembira kerana saya boleh membanggakan kedua-dua orang tua saya. Sedih kerana saya juga salah satu sumber masalah yang bermain dalam fikiran mereka. Bangga kepada diri saya kerana saya masih boleh melanjutkan pelajaran saya sehingga tahap ini. Kecewa kerana saya tidak mempunyai kemampuan dalam banyak perkara.

Setiap kali saya mula berfikir ke arah yang negatif, saya mula merawat fikiran itu dengan menambahkan nilai positif dalam fikiran itu. Nak tak nak, guna jugalah ayat motivasi yang sudah terlalu banyak kali diperkatakan iaitu "Kecacatan bukan Penghalang". Tetapi, kenyataan tetap kenyataan dan saya harus belajar untuk mengubahsuai diri dan mencari akal untuk terus bermain dalam rentak sejagat yang dimainkan semua. Oh ya, satu lagi cara untuk saya merawat pemikiran yang negatif itu ialah dengan membandingkan saya dengan mereka yang lebih bernasib malang. Mungkin ini fitrah manusia yang akan berasa diri mereka lebih bernilai apabila mereka mengetahui mereka sudah sangat-sangat beruntung berbanding orang lain. Kadang-kala, saya juga memberi motivasi kepada diri saya bahawa saya mempunyai keunikan yang tersendiri. Keunikan yang tidak terdapat pada sesiapa pun. Jadi, syok sendirilah!

Walau apa pun yang terjadi, kenyataan ini tetap kenyataan. Kekurangan tetap kekurangan dan saya sudah boleh menerimanya dari awal lagi. Dengan dilihirkan dengan keadaan sebegini, saya sudah jauh lebih beruntung jika dibandingkan dengan mereka yang kehilangannya. Cuma saya perlu berusaha dengan lebih gigih, itu sahaja. Hmm, Mungkin saya masih belum benar-benar memahami erti sebenar potongan kata "kecacatan bukan penghalang"

(Sekadar luahan hati)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan